- Iklan -
Kolum

Panggung Ruby

Ini filem Pak Tunggal aku. Filem wajib aku tengok.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Cikgu Zaleha Sidek diarahkan untuk berpindah dari Sekolah Melayu Tapak Jempol, Kuala Pilah ke Sekolah Melayu Kuala Klawang B, Jelebu pada tahun 1955.

Pada ketika itu Tanah Melayu sekali lagi menjadi tanah jajahan Inggeris setelah Perang Dunia Kedua tamat.

Pada 15 Ogos 1945, Jepun mengaku kalah tanpa syarat kepada Tentera Berikat.

Ini setelah bom atom meledak di Hiroshima pada 6 Ogos, dan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945.

Pada 13 September 1945, di Victoria Institution, Kuala Lumpur Panglima Besar Pasukan ke-29 tentera Jepun Leftenan Jeneral Teizo Sishiguro, Ketua Turus Angkatan Tentera Major Jeneral Noachi Kawahara dan Kolonel G-Oguri mewakli Maharaja Jepun menandatangani surat mengaku kalah dengan wakil Baginda Queen: Pegawai Pemerentah Tentera British Leftenan Jeneral Roberts.

Pada hari itu Tanah Melayu secara rasmi menjadi tanah jajahan Inggeris sekali lagi.

Dari tangan Jepun kembali ke tangan Inggeris.

Dari mulut buaya masuk ke rahang harimau.

Ketika aku sampai ke Kuala Klawang umur aku baru hendak masuk empat tahun.

Tapi aku mula mengumpul ingatan lebih awal lagi.

Pada petang sampai ke Kuala Klawang, aku macam tak percaya betapa moden pekan ini berbanding dengan Padang Lebar atau Batu Kikir.

Bayangkan aku seorang budak kampung dari pedalaman buat pertama kali melihat lampu neon dan lampu jalan api elektrik.

Budak Sakai Biduanda mendongak ke langit melihat lampu elektrik yang dikerumuni kelkatu dan seribu jenis serangga yang berterbangan.

Kuala Klawang ialah ibu kota untuk pentadbiran daerah Jelebu.

Pejabat Daerah, rumah pasung, rumah pegawai daerah (DO), pejabat Officer in Charge of Police District (OCPD), mahkamah dan pejabat pos semuanya ada dalam pekan Kuala Klawang.

Goverment English School (GES) terletak di tepi pekan.

Kakak aku yang masuk GES memberitahu guru besar GES Kuala Klawang pada ketika itu ialah Mr J A Lewis – anak keturunan Serani dari Seremban.

Rumah rasmi guru besar di tepi sekolah.

Di atas bukit dalam kebun getah di sebelah GES, ialah Sekolah Melayu Kuala Klawang A.

Di sebelah GES di hadapan rumah guru besar ada kem askar Gurkha.

Gurkha ialah tentera upahan penjajah Inggeris yang dibawa dari India.

India juga merupakan tanah jajahan Inggeris.

Di hadapan kem Gurkha ini ialah pejabat penerangan, tempat pejabat wayang propaganda.

Kalau di Jelebu semua orang panggil jabatan penerangan ini Wayang Mail Pengandar.

Ismail yang berbadan gemuk ini adalah seorang juruhebah – juru propaganda – yang petah dan pandai bercakap bagi pihak kerajaan Inggeris dan kerajaan boneka Inggeris.

Jalan masuk ke GES dipasang kawat berduri dan kubu dari guni yang diisi dengan pasir.

Di belakang guni pasir ini ada beberapa orang tentera Gurkha yang sentiasa berkawal dengan senjata lengkap.

Hospital Jelebu di Petaling terletak dua batu dari pekan Kuala Klawang dalam kawasan hijau berbukit yang segar.

Doktor, matron dan misi terdiri daripada Orang Putih.

Ada juga misi Cina ada misi Melayu.

Manakala Ayaa, tukang sapu dan tukang basuh perempuan India.

Penjaga dan pengawal hospital semuanya lelaki India.

Berhampiran dengan rumah pasung ialah Kaman Keling – wilayah kediaman buruh India, Public Works Department(PWD).

Dalam kawasan ini ada bangunan bekas penjara yang diubah suai untuk menjadi pejabat PWD.

Di belakang tembok batu bekas dinding penjara ini semua lori PWD tidur.

Pekerja PWD ini tinggal dalam rumah teres setengah batu setengah papan.

Ada lima baris rumah teres ini.

Ada juga sebuah bangunan seluas dua gelanggang badminton.

Bangunan ini dibahagi untuk menjadi bilik-bilik.

Tiang batu bangunan ini amat tinggi.

Bahagian bawah ini dijadikan tempat rehat oleh penghuni bangunan ini.

Aku tidak tahu kenapa wilayah pekerja PWD ini dipanggil Kaman Keling.

Pada ketika itu di Jelebu, orang India dipanggil Keling.

Menggunakan panggilan Keling tidak akan menimbulkan apa-apa perbalahan.

Ini kerana orang Melayu difahamkan dari sejarah Melaka, sosok yang berkulit hitam ini berasal dari Benua Keling.

Konsep Keling ini tidak menghina.

Malah semua orang Melayu di Jelebu dan mungkin juga semua anak Nogori akan memasang niat satu hari nanti akan sampai ke Tanjung Keling, Melaka untuk merayakan Mandi Safar.

Di hadapan Kaman Keling ini ialah padang bola milik Sekolah Kuala Klawang B.

Sekolah papan beratap zink bertangga batu ini ada dua bangunan.

Satu bangunan besar untuk bilik belajar dan satu lagi bangunan kecil untuk bilik masak-memasak.

Sekolah Kuala Klawang A untuk murid lelaki.

Sekolah Kuala Klawang B untuk murid perempuan.

Justeru ada bangunan khas untuk masak-memasak lengkap dengan dapur tungku batu dan dapur minyak api.

Di sebelah GES ada sebuah Gereja Kristian.

Ini untuk orang Cina pengikut Nabi Isa.

Di tengah pekan di bawah bukit rumah kediaman rasmi Tuan DO, ada sebuah Tok Pekong Cina.

Tok Pekong ini di bawah pokok kayu yang besar, betul- betul di simpang jalan tepi pekan.

Masjid Kuala Klawang di belakang pejabat kerajaan.

Masjid ini tidak jauh dari padang tenis dan rumah kelab pegawai kerajaan.

Di permulaan jalan masuk ke pekan Kuala Klawang, antara rumah pasung dan Pejabat Tuan DO ialah sebuah padang bola yang luas.

Kadang kala menjadi padang kriket.

Tak jauh dari padang antara rumah pasung dengan kem Gurkha ialah Rumah Rehat Kuala Klawang.

Di sebelah belakang pekan Kuala Klawang ada sebuah kuil Hindu dalam kawasan yang agak luas.

Kuil Hindu ini tidak jauh dari pasar.

Depan kuil Hindu ini ada sebuah lagi pejabat PWD.

Di sebelah kuil Hindu ini tegak berdiri Panggung Ruby.

Panggung ini tidak berapa jauh dari Sungai Teriang.

Untuk aku Panggung Ruby ialah simbol mercu kemodenan warga Kuala Klawang.

Aku dan warga Jelebu berbangga dengan Panggung Ruby.

Pada tahun 1955 aku merasakan Kuala Klawang adalah sebuah pekan yang amat lengkap.

Aku belum pernah kenal pekan-pekan lain saperti Seremban, Kuala Pilah atau Tampin.

Kuala Lumpur aku hanya mendengar nama, belum pernah sampai.

Ketika aku membesar di Kuala Klawang aku tidak sedar reka bentuk pekan aku ini semuanya mengikut SOP perancangan pekan dan bandar-bandar kecil di United Kingdom.

Apa yang aku sedar hanyalah kemustahilan aku untuk menyamakan pekan Padang Lebar dengan kehebatan Kuala Klawang.

Padang Lebar tak ada panggung wayang.

Dalam ingatan aku kali pertama keluarga kami masuk ke Panggung Ruby ialah untuk menonton filem dari Mesir.

Ketika itu abah aku pulang bercuti.

Abah aku bekerja sebagai anggota Special Constables (SC) berpangkat koperal.

Abah mengajak kami adik beradik menengok wayang di Panggung Ruby.

Aku tak sabar nak menengok wayang panggung, bukan wayang padang atau Wayang Mail Pengandar.

Aku ingat lagi Panggung Ruby ini ada menjual empat jenis tiket.

Tiket Reserve: RM1.40, Kelas Pertama: RM1, Kelas Kedua 65 sen dan Kelas Ketiga 40 sen.

Tiket 40 sen hanya kerusi panjang tanpa nombor di mana penonton duduk berasak-asak mendongak memandang layar putih.

Malam itu kami sekeluarga menapak ke Panggung Ruby yang tidak jauh dari rumah kami.

Sebenarnya aku tidak faham pun cerita filem ini.

Ianya dalam Bahasa Arab Mesir.

Imej yang aku masih ingat hingga ke hari ini ialah satu keping batu dihempapkan ke atas dada seorang lelaki berkulit hitam.

Sehari kemudian abang aku menerangkan.

“Itu cerita Bilal.”

Apa dan siapa Bilal aku pun tak tahu. Yang aku ingat aku dapat masuk Panggung Ruby kali pertama.

“Kek Panggung Ruby laaa… Aman di tangkap dengan Pak Teh kau.”

Emak aku membuka surah apabila abang aku menimbulkan hal menonton wayang.

Surah Aman ditangkap Jepun ini pernah aku dengar.

“Kek mano mak?” Aku bertanya lagi.

“Kek pintu dopan yang kito masuk tu malam tu.” Emak aku menerangkan.

“Ooo kek pintu depan tu Pak Teh dan Pak Tunggal kena tangkap…pintu yang kita lalu malam tu.”

Pintu depan di mana Pak Tunggal aku di tangkap hanya untuk laluan pemegang tiket Reserve dan Kelas Pertama.

Panggung ini ada lima pintu.

Dua di dinding kiri dan dua di dinding kanan.

Pintu kanan dan pintu depan yang digunakan. Pintu kiri tidak pernah dibuka.

“Mak raso masa Pak Teh dan Aman nengok wayang Jepun tu .. tak ramai orang…pintu lain tutup.. satu pintu bukak… pintu depan …askar Jepun menunggu.” Emak aku menerangkan lagi.

Bila aku teringat surah Pak Tunggal Aman di tangkap Jepun dalam Panggung Ruby pandangan aku terhadap panggung Ruby berubah.

Setiap kali aku berdiri di hadapan pintu Panggung Ruby ingatan aku merayap ke petang itu.

Petang Pak Tunggal dan Pak Teh Ramli ditahan Jepun.

Aku dapat mengambarkan wajah Pak Teh Ramli.

Ini kerana hingga ke saat aku mengetik tulisan ini dia masih lagi hidup.

Tetapi wajah pemuda Cina adik angkat abah aku yang kami panggil Pak Tunggal Aman tidak ada dalam bayangan aku.

Aku hanya mendengar surah.

Untuk aku dan mungkin juga ramai murid sekolah yang merayau-rayau dalam pekan Kuala Klawang akan menjadikan Panggung Ruby tempat wajib dilawat.

Datang ke hadapan panggung untuk melihat poster besar dan gambar-gambar filem yang diiklankan untuk tayangan akan datang.

Panggung Ruby Kuala Klawang ini tidak besar.

Boleh memuatkan tidak lebih daripada 250 orang penonton.

Tapi amat jarang panggung ini penuh.

Skrin layar pun kecil.

Aku sebenarnya tidak sedar Panggung Ruby memiliki skrin layar yang kecil.

Ketika aku mula mengenal wayang apa itu skrin besar dan skrin kecil ini tidak aku ketahui bezanya.

Aku tidak pernah memasuki panggung lain selain dari Panggung Ruby.

Tiba-tiba pada tahun 1957 perubahan besar berlaku.

Ini ketika aku sudah masuk darjah satu.

Aku mula belajar membaca, menulis dan mengira.

Maklumat diiklankan Panggung Ruby akan meggunakan skrin besar, cinemascope.

Ada empat kotak kaca iklan filem melekat di dinding panggung.

Satu: Coming Soon.

Tiga lagi kotak iklan: Next Change, Tomorrow dan Now Showing.

Dalam kotak Coming Soon ada tertera “The Bridge on The River Kwai” – Cinemascope.

Ini bermakna Panggung Ruby akan menggunakan layar cinemascope yang luas.

Skrin layar yang kecil akan diganti.

Dan filem cinemascope pertama yang akan ditayangkan di Panggung Ruby pada tahun 1955 ialah The Bridge on The River Kwai.

Aku melihat poster filem The Bridge on The River Kwai.

Ada gambar kereta api atas jambatan kayu melintasi sungai.

Ada gambar ramai lelaki Inggeris tidak berbaju.

Ada gambar askar Jepun.

Melihat gambar-gambar ini aku faham ini filem perang.

Ini filem askar Orang Putih lawan askar Jepun.

Setiap kali aku ke pekan aku akan singgah untuk melihat poster dan iklan filem.

The Bridge on the River Kwai masih lagi dalam kotak iklan Coming Soon.

Satu petang ketika aku melihat poster dan gambar-gambar filem aku berjumpa dengan Zainal, anak muda yang lebih tua dari abang aku.

Zainal ini pemain bola.

Dia bekerja di pejabat PWD.

Ada beberapa kali aku melihat dia bermain bola untuk pasukan PWD.

“Ni… mesti tengok ni…filem ni.”

Jarinya menunjukkan filem The Bridge on The River Kwai pada aku.

Aku senyap tidak menjawab.

Kerana aku tak tahu apa-apa.

Semua dalam tulisan Inggeris.

“Ni cerita perang Jepun… Jepun buat jambatan… buat jalan kereta api di Siam.”

“Iya ke.” Aku bersuara.

Mata aku terbuka besar.

Telinga aku terpasang jelas apabila mendengar perkataan membuat jalan kereta api di Siam.

Mata aku memandang Zainal kemudian beralih pada poster The Bridge on the River Kwai.

Akhirnya mata aku beralih ke pintu depan Panggung Ruby di mana Pak Tunggal aku ditangkap kemudian dihantar untuk membuat jalan kereta api di Siam.

Aku pandang sekali lagi pada iklan Coming Soon: The Bridge on the River Kwai.

Ini filem Pak Tunggal aku. Filem wajib aku tengok.

Coming Soon: Ini bermakna aku masih ada masa lagi untuk mengumpul 40 sen.