- Iklan -
Rencana

Lim Guan Eng, hentikan wayang penyamaran ‘sesumpah’ anda

Pemuda Bersatu nasihatkan Lim Guan Eng bermuhasabah dan jangan hipokrit saat bicara soal perkauman.

Mohd Ashraf Mustaqim
3 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menempelak negarawan Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan rasminya semalam. Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) terpanggil untuk mencadangkan agar YB Lim Guan Eng bermuhasabah serta hentikan hipokrasi beliau saat bicara soal perkauman.

Ini kerana apa yang ditonjolkan terutama sewaktu berada di tampuk kuasa sebegitu, dalam beberapa siri kenyataan beliau ibarat “angguk bukan, geleng ya” kerana seringkali tindak tanduk beliau jelas bertentangan dengan aspirasi yang dinyatakan dan ternyata lain di mulut, lain di hati (perbuatan).

Mengambil petikan kenyataan rasmi beliau, yang menyebut; “DAP kecewa dengan naratif bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad. Naratif ini adalah salah, tidak berasas dan tersasar apabila DAP tidak pernah berkiblatkan kaum atau berasaskan agama.” menerusi kenyataannya semalam. Kenyataan ini membuatkan Armada ‘kaget’ kerana jika disorot kembali peranan yang dimainkan setiausaha agung DAP selama ini adalah begitu ketara saat mempertahankan ‘perkauman’ sebagai contoh terkait sekolah Cina apabila terangan menolak agenda integrasi nasional atas teras Perlembagaan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan dan menghimpun ‘anak bangsa Malaysia’ seluruhnya di dalamnya.

Setiausaha agung DAP itu pada 6 September tahun lalu, turut mengapi-apikan dan mendesak Ketua Aramada Nasional, YB Senator Wan Ahmad Fayhsal untuk memohon maaf, kononnya memainkan ‘kad perkauman’ ketika beliau membingkiskan perihal ‘penyatuan bangsa Malaysia’ dengan memfokuskan kepada integrasi dari peringkat asas sosialisasi menerusi pendidikan dan mencadangkan sekolah vernakular mula diasimilasikan sebagai sekolah kebangsaan secara berperingkat.

Kenyataan Lim Guan Eng bertarikh 14 September 2020, malah turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas ketua Armada yang juga merupakan timbalan menteri (KBS) untuk dipecat sedang ternyata apa yang dipersoalkan beliau sendiri adalah ‘tidak berperlembagaan’.

Tidak cukup dengan itu, pada 8 November 2020, Pemimpin utama DAP ini telah mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina yang mengatakan bahawa kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) hanya memperuntukkan RM177 juta kepada masyarakat Cina dan mendakwa jumlah ini 77% lebih rendah daripada ketika dia berkuasa. Lagi hal ‘perkauman’ ditonjolkan.

Terus terang, doktrin ‘Malaysian Malaysia’ yang ditanamkan oleh pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng ini adalah lebih untuk menganjurkan supaya ‘anak Melayu’ berkompromi perihal ‘jatidiri kebangsaan’ (baca: ‘kebangsaan’ bukan sebaliknya; rujuk, Melayu) termasuk menidakkan Perlembagaan Persekutuan mahupun kontrak sosial yang menjadi akar kepada pembinaan negara sekian lama. Kononnya bertepatan dengan citra ‘global’ dalam retorik gagasan idea mereka. Sebaliknya mengambil kesempatan atas ‘keterbukaan minda’ anak bangsa dan menyasarkan mereka dan tidak pula secara jujur mengisi ruang membentuk sebuah semangat kebangsaan yang jitu.

Ini belum lagi bicara soal ‘Jawi’ dan pemerkasaan Bahasa Melayu atas teras Perlembagaan yang ada dianggap oleh sebilangan pemimpin utama DAP sebagai ‘tidak komersial’ atau tiada nilai! Ya, secara optiknya kini, DAP berjaya tonjolkan ‘kebangsaan’, mungkin oleh sebilangan kecil pimpinan muda mereka. Namun sejauh mana kejujuran atau kebenaran ‘agenda’ para pembesar atau ‘war lord’ DAP yang mendominasi ‘naratif’ parti itu hakikatnya jelas sehingga saat ini menampakkan DAP tetap lebih ‘kecinaan’ daripada kebangsaan (mungkin sedikit kurang sepertimana yang dinyatakan Mahathir).

Ini terbukti melalui kenyataan salah seorang ‘War Lord’ -nya, Ronnie Liu baru-baru ini. Malah ‘game’ good cop bad cop yang ditonjolkan antara YB Hannah Yeoh yang dilihat lebih progresif tetap tidak menafikan bahawa setiausaha Agung DAP selaku teraju utama kekal diam membisu saat ‘War Lord’ seperti Ronnie dan Ramasamy ‘LTTE’ terus-menerus biadab mencabar keharmonian negara.

Mohd Ashraf Mustaqim bin Badrul Munir adalah ketua penerangan Armada Nasional

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.