- Iklan -
Rencana

Selamatkan nyawa, halang rentas negeri untuk Aidilfitri

Pandemik yang masih berlarutan mungkin menjadikan orang ramai sekali lagi tidak dapat balik ke kampung halaman Aidilfitri tahun ini.

Zanari Alias
2 minit bacaan
Kongsi
Lebuhraya Utara-Selatan Malaysia.
Lebuhraya Utara-Selatan Malaysia.

Pengumuman cadangan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba supaya rentas negeri untuk balik raya pada tahun ini ditangguhkan mengundang suram dan geram ramai pihak.

Tak kata kepada sesiapa, waima para pegawai dan staf di kementerian kesihatan Malaysia (KKM) sendiri pun tentu berasa suram dan kecewa jika kerajaan tak benarkan kita pulang sambut raya di kampung pada tahun ini.

Walaupun ia baru di peringkat cadangan pakar dari KKM dan belum diputuskan, kebarangkalian cadangan itu disokong Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri adalah tinggi berdasarkan kepada situasi jangkitan kes yang berlaku saat ini.

Sekiranya larangan tersebut menjadi kenyataan, maka tahun ini adalah kali kedua umat Islam tidak dapat pulang ke kampung. Ia pasti mengundang duka lara yang berpanjangan di hati sanubari rakyat Malaysia.

Dalam apa pun emosi yang melanda diri terhadap keadaan ini, masyarakat di Malaysia tiada pilihan lain, melainkan akur dan patuh terhadap keputusan yang dibuat.

Walau dalam keadaan penuh kecewa dan sedikit marah, namun kita tidak wajar bertindak menggunakan emosi dan menampakkan kekurangan kecerdikan berfikir untuk situasi ini.

Azab dan bencana lebih besar akan menimpa kita sekiranya masing-masing cuba untuk melayan perasaan dan melanggar arahan yang ditetapkan dalam apa jua cara sekali pun.

Jangan jadi masyarakat Malaysia yang pelik dan dunggu. Mahu sektor ekonomi rancak kembali dan mahu jumlah kes positif Covid-19 mendatar, tetapi dalam masa sama kita sendiri tidak mahu akur kepada arahan yang ditetapkan.

Jika kenangkan kampung halaman, apa salahnya kita manfaatkan kemajuan teknologi komunikasi yang ada sekarang. Seperti juga tahun lepas, gunalah video call, zoom meeting dan sebagainya untuk berhubung mereka di kampung atau sanak saudara yang berada di mana sekalipun.

Adaptasi dan sedarlah bahawa inilah keadaan sebenar norma baharu kita waktu ini. Ia mungkin akan berlarutan sehingga tiga atau empat tahun sekiranya masing-masing masih degil untuk mematuhi arahan.

Pesan saya, bersiap sedialah untuk kita berhari raya di kawasan rumah masing-masing asalkan tidak melebihi radius yang ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) MKN.

Zanari Alias adalah pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.