Alhamdulillah semalam Menteri Pendidikan Mohd Radzi Jidin telah mengumumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021. GPMS menyambut baik keputusan yang telah dibuat tersebut.
Hal ini adalah satu perkara yang akan menjadikan sistem Penilaian Bilik Darjah (PBD) akan lebih terbuka dan relevan kepada semua tahap kemampuan murid. Murid akan dinilai dengan lebih konklusif tanpa minda berasaskan peperiksaan yang dilihat terlalu memberi tekanan kepada murid-murid.
GPMS melihat bahawa kejayaan seseorang murid tidak boleh dinilai hanya menerusi akademik sahaja. Kita semua mesti adil dan saksama dalam penerimaan bahawa kemenjadian seseorang murid itu mesti dinilai secara holistik samada daripada akademik, kokurikulum, ko-akademik, kepimpinan, sahsiah dan kesihatan fizikal. Oleh yang demikian, menerusi PBD yang akan diperkasakan penilaian yang lebih terbuka akan dapat dilaksanakan.
Dengan pengumuman menteri pendidikan semalam, GPMS mengharapkan tiada lagi polemik dan juga pertikaian mengenai keputusan yang sudah dibuat oleh kementerian pendidikan. GPMS menyeru agar semua pihak terutamanya guru dan ibu bapa dapat berganding bahu merencana laluan terbaik buat murid-murid agar mereka akan menempa kejayaan yang lebih cemerlang satu hari nanti.
Mohd Alif Anas Md Noor adalah presiden GPMS.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.