Angka jangkitan harian virus Covid-19 naik mendadak lagi di negara, dan sekaligus harapan untuk rakyat Malaysia untuk merentas negeri dan balik kampung untuk berhari raya musnah berkecai.
Apakah yang sudah berlaku?
Pada Mac, angka jangkitan harian sedikit demi sedikit menurun hingga pada satu hari, ia dapat mencecah di bawah paras 1,000 iaitu tiga angka saja.
Ketika itu rakyat Malaysia mengukir senyum dengan menaruh harapan, angka itu akan terus menurun hingga boleh mencapai dua angka, seperti mana pernah dicapai tahun lalu.
Apabila Selangor dapat menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan masuk kepada PKP Bersyarat, ia menambah lagi harapan menjelang Hari Raya Aidilfitri, merentas negeri akan dibenarkan dan orang ramai boleh balik kampung.
Tidakkah balik kampung itu merupakan peristiwa paling bermakna bagi orang Melayu?
Kampung halaman merupakan pusat jati diri bagi kebanyakan orang Melayu.
Di situlah ada ibu bapa, tempat di mana individu Melayu dibesarkan dengan dikelilingi suasana alam menghijau jauh dari hiruk-pikuk kota dan adanya saudara mara.
Sementara rumah pusaka yang masih terpelihara menjadi warisan bagi satu jati diri sesebuah keluarga besar.
Di kampung jugalah terletaknya tanah perkuburan ayah, bonda dan datuk, nenek masing-masing.
Sementara Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemuncak bagi orang Melayu setiap tahun.
Acara balik kampung pada hari raya adalah jiwa budaya penting bagi orang Melayu walaupun sudah banyak berlaku proses perbandaran dengan kehidupan di rumah teres yang menghilangkan suasana kampung.
Setelah tidak dapat balik kampung untuk berhari raya pada tahun lalu, maka harapannya adalah dapat menikmatinya pada tahun ini.
Dengan penurunan angka jangkitan itu beserta proses vaksinasi yang sudah bermula, ramai orang yakin negara ini dapat melawan Covid-19 sebelum Ogos lagi, iaitu bila mana Darurat berakhir.
Penurunan angka jangkitan itu membuat orang ramai bertambah lega dan yakin untuk hidup secara normal.
Mereka keluar dan melakukan pelbagai urusan, membeli belah, makan dan minum di restoran, melancong, mengadakan dan menghadirkan acara, kunjung-mengunjung dan menganjurkan kenduri-kendara serta pergi ke surau dan masjid, yang kesemuanya menggerakkan ekonomi ke arah pemulihan.
Tetapi dalam keyakinan orang ramai itu, para pakar termasuk dari pihak berkuasa membayangkan penurunan angka jangkitan pada Mac lalu itu bukannya suatu yang berkekalan.
Kemungkinan akan berlaku gelombang keempat dan pada bulan Mei, barulah angka jangkitan itu akan menurun.
Itupun kalau orang ramai mematuhi SOP.
Maka apabila berlaku kenaikan yang mendadak ketika negara memasuki bulan Ramadan, maka keyakinan orang ramai terhadap suasana yang membaik berkecai.
Bukan saja harapan untuk balik kampung untuk berhari raya sudah tiada, tetapi timbul persoalan mampukah Malaysia dapat mengatasi wabak Covid-19 dalam tahun ini.
Mungkinkah kesemuanya ini adalah kerana kegagalan polisi dan langkah-langkah kerajaan dalam menangani wabak Covid-19?
Lebih-lebih lagi sebahagian besar rakyat negara ini tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pergolakan politik ekoran daripada Langkah Sheraton mengganggu juga tumpuan bagi melawan Covid-19.
Ketika mana rakyat menyalahkan kerajaan, pihak berkuasa pula menyalahkan orang ramai.
Sememangnya sebahagian daripada orang ramai tidak mengambil berat terhadap wabak Covid-19 ini.
Ada yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) walaupun denda sudah dinaikkan berganda-ganda tingginya.
Orang ramai masih bertumpu juga pada tempat-tempat yang bersesak-sesak.
Mereka pula tidak memakai pelitup muka.
Jadi kenaikan jangkitan terkini dilihat berpunca daripada apa yang berlaku dua minggu lalu.
Sejak zaman Covid-19, kiraan tempoh waktu adalah dalam jangka dua minggu.
Dua minggu baru ada simptom.
Kena kuarantin pun dua minggu.
Kesemuanya dua minggu.
Kira-kira dua minggu lalu, ada cuti sekolah panjang menjelang Ramadan.
Pada hujung minggu itu, kelihatan jalan dari Kuala Lumpur menuju ke Pantai Timur penuh dengan kenderaan.
Mereka menuju Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Persoalan yang timbul ialah bagaimanakah mereka memperoleh kebenaran polis?
Agaknya tentulah mereka mempunyai sebab.
Kesannya ialah angka jangkitan di Kelantan naik mendadak.
Hinggakan Bazar Ramadan di sana dirahkan supaya dibatalkan.
Malah banyak kawasan Kelantan diisytihar PKP.
Puncanya, banyak orang mengadakan kenduri-kendara tidak mengikut SOP.
Kebenaran yang diberikan oleh polis pula disalahgunakan.
Maknanya mungkin, sebab yang diberikan oleh pemohon ketika meminta kebenaran adalah suatu perkara saja, tetapi mereka pergi banyak tempat.
Tentulah setelah mendapat kebenaran rentas negeri, mereka mengambil peluang untuk pergi banyak tempat.
Maka ada antara mereka membawa virus Covid-19 ke Kelantan tanpa disedari.
Maka Kelantan menyumbang banyak angka jangkitan pada peringkat nasional.
Tetapi bukan saja Kelantan, angka di negeri lain juga naik.
Cuti sekolah itu bukan saja menggalakkan pelancongan domestik yang dibenarkan, tetapi rentas negeri juga berlaku.
Angka Selangor juga naik mendadak.
Apabila orang Selangor yang pergi ke Kelantan kembali, mereka mungkin membawa virus yang tersebar di sana.
Begitu juga dari negeri lain.
Hinggakan banyak sekolah di Selangor diarahkan tutup.
Faktor geografi memainkan peranan penting dalam penyebaran wabak Covid-19.
Selangor berada di tengah-tengah Semenanjung dan menjadi pusat pada kegiatan ekonomi yang menjadi tumpuan bagi penduduk negeri lain.
Adakah kenaikan angka jangkitan virus Covid-19 ini merupakan gelombang keempat yang boleh memaksa pihak berkuasa mengenakan semula PKP?
Bukan saja Malaysia, Eropah khususnya Jerman menyaksikan kenaikan angka jangkitan hingga dikenakan PKP.
India sedang menyaksikan krisis wabak Covid-19 serius.
Tetapi pada waktu sama pula, ada negara yang melonggarkan sekatan.
Di bahagian-bahagian tertentu United Kingdom, kelonggaran keluar untuk makan sudah dibenarkan.
Begitu juga di Amerika Syarikat.
Presiden Joseph Biden sudah mengisytiharkan wabak Covid-19 dapat dibendung ekoran vaksinasi besar-besaran.
Sementara beberapa tempat di Eropah mula membenarkan kedatangan pelancong Amerika termasuk kapal-kapal siar.
Kenaikan angka jangkitan virus Covid-19 di negara ini tidak patut berlaku jika SOP dipatuhi dan program vaksinasi berjalan dengan segera.
Polisi yang tepat boleh dibuat untuk perkara itu kerana kuasa dan pelaksanaannya berada pada pihak kerajaan.
Tetapi memang sukar untuk mendisplinkan masyarakat.
Adalah berbeza antara cara negara autoritarian seperti China yang diperintah oleh Parti Komunis dengan negara demokratik seperti India yang diperintah oleh parti populis agama.
Tetapi setiap kerajaan perlu bukan saja mengalahkan virus Covid-19 tetapi juga dalam memelihara kesihatan ekonomi negara.
Apa yang menambah tekanan pada orang ramai, bukan saja kerana tidak boleh balik kampung atau tidak boleh berhari raya secara normal, bukan saja stres hilang pendapatan dan harga barang naik, atau tidak pergi melancong atau beribadat bebas di masjid, tetapi juga adalah kerana melihat ketidakadilan kehidupan antara golongan berpengaruh dengan orang kebanyakan ketika semua orang susah menghadapi Covid-19.
Tanpa ketelusan, rakyat akan beranggapan betapa orang berpengaruh bebas melanggar SOP tanpa hukuman, bebas merentas negeri dan keluar negara, mendahului dapat vaksin dengan pendapatan besar mereka tidak terjejas.
Virus Covid-19 hanya mengenal manusia tanpa mengira darjat mereka.
Tetapi dalam melawan wabak ini, terserlah perbezaan darjat dalam masyarakat.
Selama ini, iaitu sejak negara ini merdeka, darjat ini sudah wujud dengan mereka yang berpengaruh sentiasa memperoleh kelebihan.
Tetapi wabak ini menyerlahkan lagi kewujudan darjat-darjat ini dan orang ramai, tidak seperti dahulu, sudah tidak dapat menerimanya.
Rakyat menuntut persamaan hak dan layanan selaku warganegara yang saksama dalam sebuah negara demokratik.