- Iklan -
Rencana

Rakyat tunjuk rasa percaya kepada program imunisasi

Goreng pisang panas pun belum tentu habis dalam masa empat jam berbanding pendaftaran vaksin AstraZeneca.

Nurul Atiqah
2 minit bacaan
Kongsi
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan pada Februari lalu, ia kini memasuki fasa kedua menyasarkan warga emas dan mereka yang berisiko tinggi.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan pada Februari lalu, ia kini memasuki fasa kedua menyasarkan warga emas dan mereka yang berisiko tinggi.

Goreng pisang panas pun belum tentu habis dalam masa empat jam. Ramai yang terlepas dan rasa kecewa.

Begitu juga berita mengejutkan apabila pendaftaran untuk rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan vaksin Covid-19 AstraZeneca dibuka pada tengah hari Ahad 2 Mei 2021 telah penuh selepas tak sampai empat jam berikutnya.

Pendaftaran untuk 268,000 tempat atau penerima itu diumumkan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) Khairy Jamaluddin beberapa hari sebelumnya.

Ia dibuka kepada penduduk Lembah Klang berusia 18 tahun ke atas yang telah pun mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penerimaan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca itu dilakukan atas dasar konsep siapa cepat dia dapat. Manakala temu janji vaksinasi pertama akan dibuat pada Rabu 5 Mei.

Ternyata idea membuka kepada orang awam yang berminat untuk terima vaksin Covid-19 ini suatu pendekatan yang mendapat minat ramai orang.

Apatah lagi Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sendiri telah memberi jaminan bahawa vaksin jenis ini diakui selamat dan berkesan melalui suatu kenyataannya pada 26 April 2021.

Bukan itu sahaja, Dr Adham turut bertindak mengumumkan bahawa kementerian kesihatan Malaysia akan menggunakan vaksin AstraZeneca untuk imunisasi golongan berusia 60 tahun ke atas yang dinilai sebagai paling sesuai menerimanya.

“Vaksin AstraZeneca selamat untuk digunakan serta berkesan. Ia akan digunakan untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas sebagai paling sesuai,” kata Adham ketika memberitahu yang vaksin jenis ini selamat digunakan.

Saya percaya, sedikit sebanyak rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi dan kepercayaan penuh terhadap kenyataan Adham dan Khairy dalam usaha kita membentuk imuniti kelompok di negara ini.

Buktinya tidak sampai setengah petang, jumlah penduduk Lembah Klang yang ingin disuntik vaksin Covid-19 jenis AtraZeneca telah penuh dan menimbulkan rasa kecewa ribuan yang lain yang tak sempat mendaftar.

Kita boleh simpulkan bahawa, walaupun dalam situasi ramai pihak menyebarkan anasir kebencian dan teori demi teori untuk mengagalkan PICK, namun pada hakikatnya lebih ramai yang berada di luar sana masih percayakan dua orang menteri yang bekerja menggerakkan PICK ini.

Kepada mereka yang masih ragu, ketika dicucuk vaksin itu cuba baca “Bismillah Lima” dan berdoa “Saya berlindung daripada semua kalimah Allah, daripada segala keburukan semua mahkluk…”.

Sebenarnya tidak ada asas untuk ragu-ragu kerana menurut pakar, peratus mereka yang alami risiko pembekuan darah ini hanya empat orang berbanding satu juta yang dicucuk.

Justeru, hakikat yang baik perlu diakui baik. Jangan kita memperbodohkan atau menipu diri sendiri dengan terpengaruh kepada anasir-anasir yang jahat lagi negatif di sekeliling kita.

Mereka mungkin ada agenda tersembunyi untuk melihat kita semua gagal dalam membentuk imuniti kelompok di Malaysia menjelang awal tahun 2022 nanti.

Nurul Atiqah merupakan pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi