- Iklan -
Rencana

Mansuh UPSR langkah berani KPM demi masa depan pewaris negara

Peluang harus diberikan kepada anak-anak di sekolah rendah mencari kreativiti dan kemahiran pembelajaran mereka sambil dibantu guru tanpa tekanan.

Mohd Hilmi Abdul Latiff
3 minit bacaan
Kongsi
Murid-murid dapat meneroka kreativiti dalam kemahiran kendiri ketika mereka tidak lagi menhadapi tekanan peperiksaan.
Murid-murid dapat meneroka kreativiti dalam kemahiran kendiri ketika mereka tidak lagi menhadapi tekanan peperiksaan.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada Menteri Pendidikan Radzi Jidin dan kementeriannya kerana mengambil langkah berani memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika ramai yang menyangka peperiksaan tahun ini mungkin ditangguhkan seperti juga tahun lalu.

Sebagai bekas guru, saya bersetuju dengan keputusan berkenaan yang pastinya dibuat selepas dilakukan penelitian yang  mendalam dan terperinci serta mengambil kira pandangan semua pemegang taruh melalui sesi libat urus yang menyeluruh.

Tidak keterlaluan andai dikatakan penularan Covid-19 turut membawa rahmat yang terselubung apabila kementerian mendapat peluang melakukan penilaian susulan penutupan sekolah akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang turut menyaksikan UPSR 2020 dibatalkan.

Saya percaya dengan penegasan Radzi bahawa kementeriannya sudah mengkaji dan meneliti secara holistik pelaksanaan peperiksaan itu, termasuk mengambil kira amalan terbaik sistem pentaksiran sekolah rendah di pelbagai negara seperti Finland, Norway, New Zealand dan Scotland.

Walaupun UPSR dimansuhkan, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana KPM mempunyai sistem pentaksiran untuk menilai kelayakan kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh pada 2020 nanti dan ia terbukti berjaya kerana sudah digunakan bagi pengambilan sesi 2021 selepas pembatalan peperiksaan itu pada 2020.

Secara peribadi, saya telah melihat sendiri kesan peperiksaan ini kepada sesetengah murid dan ibu bapa, bagaimana perasaan mereka apabila mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan.

Ketika rakan-rakan lain yang cemerlang diraikan pihak sekolah atau diwawancara oleh media, mereka mengasingkan diri. Lebih malang lagi apabila ibu bapa sendiri tidak memberikan sokongan untuk mengembalikan moral anak-anak yang jatuh merudum hanya kerana keputusan buruk peperiksaan yang sebenarnya tidaklah memberi kesan.

Apa tidaknya,  saya mengenali bekas pelajar yang cemerlang di universiti walaupun tiada satu A pun diperoleh mereka dalam peperiksaan UPSR. Ada antara mereka kini menjadi profesional berjaya, usahawan yang kaya raya malah ada yang bergelar doktor, sama ada lulusan jurusan perubatan mahupun doktor falsafah (PhD)

Bagi guru-guru pula, UPSR sudah menjadi bagai petunjuk prestasi utama (KPI)mereka sehingga ada yang banyak’mencuri’ masa mata pelajaran lain kerana mahu memberi tumpuan kepada subjek UPSR semata-mata, melakukan latih tubi berterusan tanpa mengambil kira perasaan calon-calon yang hanya kanak-kanak baru berusia 12 tahun.

Pembelajaran peringkat rendah sepatutnya menjadi pengalaman menimba ilmu dalam suasana menyeronokkan, bukan semata-mata fokus kepada ulang kaji atau latih tubi UPSR sehingga mereka tiada ruang untuk mendalami ilmu dalam mata pelajaran lain.

Bagi murid-murid Tahun 6 yang berpotensi dalam sukan atau kokurilum, hanya mampu melihat rakan-rakan di  kelas lebih rendah berlatih dan mewakili sekolah kerana selalunya mereka tidak dibenarkan diganggu supaya fokus kepada USPR tidak tersasar

Sebab itu, saya sangat bersetuju dengan pandangan pakar-pakar pendidikan bahawa UPSR tidak memberi manfaat terbesar kepada perkembangan pendidikan murid apabila mereka berusia 12 tahun diasingkan dan semata-mata dinilai menggunakan pencapaian peperiksaan yang terhad ukurannya, sekali gus tidak menggambarkan keupayaan keseluruhan seseorang murid.

Media melaporkan, setiap tahun dianggarkan 500,000 murid menduduki UPSR dengan purata hanya 10% memperoleh A bagi semua mata pelajaran dan diraikan dengan pujian serta penghargaan.

Apa kesannya kepada 90% murid lain yang mungkin akan menjadi lemah konsep kendiri mereka, mungkin tidak percaya pada kebolehan diri dan menganggap mereka adalah insan yang tidak berjaya.

Sebaik-baiknya, berilah peluang kepada anak-anak di sekolah rendah mencari kreativiti dan kemahiran pembelajaran mereka sambil dibantu guru tanpa tekanan kerana hanya memberi tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran, bukannya peperiksaan awam.

Walaupun keputusan KPM itu mungkin tidak memuaskan hati semua pihak, apa yang penting ia dibuat secara objektif dan bertunjangkan asas kukuh dengan analisis mendalam yang pastinya akan mengubah budaya pengajaran dan pembelajaran di sekolah, sekali gus melahirkan generasi pewaris negara yang lebih berketerampilan.

Mohd Hilmi Abdul Latiff adalah seorang pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.