- Iklan -
Rencana

Antara Ain dan ‘sekolah tak selamat’

Siasatan telus dan bersasar perlu dijalankan dalam kes adik Ain yang tular kerana dakwaan guru membuat jenaka rogol.

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir
4 minit bacaan
Kongsi
Sekolah merupakan penyokong kedua selepas rumah dalam pendidikan sahsiah dan etika anak-anak. Gambar: Bernama
Sekolah merupakan penyokong kedua selepas rumah dalam pendidikan sahsiah dan etika anak-anak. Gambar: Bernama

Semua orang mahu persekitaran yang selamat, sistem pendidikan yang lebih baik, itu tiada penafian. Demi negara tercinta sememangnya perlu tambah baik sistem pendidikan kita!

Apatah lagi atas semangat kebangsaan sekiranya kita mahu tolak sekolah pelbagai aliran (vernakular) dari peringkat awal sebagai contoh sehingga tamat pengajian sekolah menengah, wajib pastikan sistem yang mencerminkan gagasan negara dan semangat bangsa Malaysia yang memeluk erat Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan.

Semua kena bawa iltizam ini sebagai teras pembangunan negara, bukannya ia terpisah sepertimana terpisahnya teras sosialisasi berfaktorkan pendidikan dan sekolah sepertimana selama ini terjadi dalam pendidikan anak-anak kita.

Contoh asas bersendikan Perlembagaan adalah penguasaan Bahasa Melayu yang benar-benar diperkasa amalannya di peringkat tertinggi, kerajaan perlu memikirkan untuk meletakkan nilai komersial Bahasa Melayu dan bahasa kaum lain dilaksana secara elektif wajib atas semangat berbilang kaum selain Bahasa Inggeris dijadikan antara bahasa pengantar.

Gerakan #MakeSchoolASaferPlace adalah baik, tapi janganlah keghairahan ramai sampai menidakkan profesionalisme perguruan.

Jika dilakukan secara semberono, pasti ia bakal mengguris hati mereka yang layak bergelar sebagai guru!

Hakikatnya satu kajian yang telus dan bersasar perlu dilakukan dalam menilai sejauh mana soal “tak selamat” terutama di sekolah-sekolah kebangsaan.

Bercakap tentang tidak selamat, wujud keperluan bidang profesionalisme yang utama dalam membangunkan negara ini sering disemak-imbang.

Kita selaku masyarakat tidak boleh nafikan mentaliti, pembawakan sikap seorang guru boleh dipengaruhi faktor persekitaran.

Sudah tentu ia boleh menjadi kebimbangan umum.

Selain itu, masalah bebanan ke atas mereka demi memastikan prestasi murid bertambah baik serta kebimbangan masalah keciciran murid kadang-kadang membuntukan para guru dan mempengaruhi emosi mereka.

Hakikatnya, guru juga manusia, ada masalah rumah tangga, ada bebanan lain yang mempengaruhi penilaian serta tingkah laku mereka.

Apatah lagi sikap kebanyakan ibu bapa yang sememangnya lepas tangan, ya! Atas alasan mencari rezeki menampung keluarga. Namun perlu diingatkan proses sosialisasi paling awal berlaku di rumah.

Bagi umat Islam, selaras dengan anjuran agama yang bertepatan dengan perkembangan ilmu moden, mendidik anak di rumah adalah sosialisasi pertama mereka.

Dari soal adab dan nilai sehinggalah hal-hal asas yang diwajibkan agama seperti solat dan puasa.

Dalam sebuah riwayat Amr bin Syu’bah, Rasulullah bersabda:

“Perintahkan anak-anak kamu untuk mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh (7) tahun. Pukullah mereka jika tidak mengerjakannya ketika mereka berumur 10 tahun. Pisahkanlah tempat tidur mereka.” (HR Abu Daud)

Oleh itu jelas, asasnya bermula dari rumah!

Jika difikirkan semula persoalan sekolah, sejauh mana sekolah menjadi sebuah tempat yang tidak selamat?

Persoalan ini perlu dirungkai dengan jujur. Adakah para guru yang bertekad setia membangun anak bangsa ini dan sedar akan peranan dan sumpah setia mereka memang betul-betul mahu merosakkan anak murid mereka?

Atas matlamat dan sumpah setia kerjaya perguruan, saya yakin tidak sama sekali!

Namun, tidak dinafikan dalam setandan pisang bukan semuanya baik, ada yang mungkin berperilaku seperti yang tular akhir-akhir ini.

Manusia memang mempunyai kekurangan kerana sifat lemahnya.

Namun tidak adil untuk pukul rata melabelkan persekitaran sekolah sekali gus merendahkan kerja perguruan serta memburukkan sistem sekolah kebangsaan yang memang sentiasa perlu sentiasa ditambah baik.

Sekolah, hakikatnya telah melahirkan ramai insan-insan hebat dalam negara.

Jadi, dalam kes adik Ain, betul kita bersolidariti atas nasib yang menimpa beliau. Kita tidak boleh pandang remeh sekiranya guru yang menjadi teladan dalam mendidik telah salah dalam metod pengajaran atau pendekatan pedagogi mereka. Penilaian terhadap mereka perlu dilakukan.

Namun dalam bab ini, masyarakat juga wajar terus berada dalam pertimbangan yang benar.

Memang kita patut marah dan risau, namun kerisauan tidaklah hingga perlu menimbulkan polemik merosakkan institusi pendidikan negara.

Dalam bab guru perlu diambil tindakan, bukannya semudah itu pula kita nak lihat guru itu diberhentikan. Kerana suatu naziran pasti akan, sedang, mahupun telah dilakukan dalam menilai pendekatan atau tindakan guru tersebut.

Kerja di mana tempat pun bukan semudah itu hendak kita berhentikan kerana kita memiliki ‘hak pekerja’ walaupun seseorang itu memiliki masalah disiplin.

Apatah lagi penjawat awam, suatu kajian yang teliti perlu dilakukan sebelum diambil pertimbangan dan keputusan.

Ya, memang benar semua orang mahukan keadilan.

Dalam isu adik Ain, dia diberhentikan setelah diberi amaran oleh pihak sekolah.

Ianya jelas bukanlah terkait atas faktor tingkahnya dalam membela diri beliau dan menimbulkan kesedaran dalam masyarakat.

Hakikatnya termaktub dalam undang-undang sistem persekolahan dan amaran secara jelas oleh pihak sekolah kerana adik Ain telah ponteng berturut-turut.

Dalam bab ini ibu bapa wajar mainkan peranan nasihatkan dan bimbing anak-anak sekiranya jujur anak ini masih mahu bersekolah. Tapi hal ini tampaknya jadi populis dan dipolitikkan pula!

Mengikuti isu adik Ain ini, beliau ada nyatakan masih sayangkan sekolah, jika benar, kembalilah ke pangkuan guru untuk dibentuk.

Tidak dinafikan adik Ain lebih terampil dibandingkan mana-mana murid seusianya. Namun sebesar mana ilmu dan kehebatan kita, tetap memerlukan seorang guru.

Jika persekitaran sekolah tidak selamat bagai dikata, pohonlah kepada pihak PPD untuk ke sekolah lain. Hidup dan mekar mendalami ilmu dan pendidikan dalam persekitaran baru yang diyakini selamat.

Menyentuh soal sistem yang turut dibangkitkan, jika pendidikan awal anak-anak yang bermula dari rumah telah ditekankan baik bab agama, etika, nilai, adab dan lain-lain yang membentuk jati diri dan sahsiah anak-anak.

Mungkin tidak perlu lebih masa untuk anak-anak dihantar ke kelas agama tambahan.

Menyoroti kes adik Ain KPM dan KPWM disarankan supaya mengeluarkan satu garis panduan etika yang jelas sebagai contoh di sekolah termasuk dalam pendekatan pedagogi sewaktu PdP. Ini bagi mengelak perlakuan mahupun tuduhan ‘gangguan seksual’ berlaku dalam kalangan murid mahupun pelajar.

Mengenai sistem dan berbalik atas citra ‘kebangsaan’ dan pemerkasaan sistem sekolah ‘kebangsaan’ bagi menarik masyarakat Malaysia seluruhnya untuk kekal di bawah satu bumbung. Sememangnya perlu dinilai semula subjek atau silibus apa yang wajar dilaksanakan bersesuaian dengan keperluan zaman dalam tempoh waktu PdP sehingga ia mampu menarik minat pendokong sistem vernakular.

Subjek yang memberi penekanan atas Perlembagaan dan Rukun Negara serta sejarah wajib ada di peringkat sekolah rendah sebagai contoh.

Mungkin seeloknya pengkhususan agama dapat dibawa dalam kelas-kelas khas wajib ‘KAFA’ di sebelah petang usai PdP di sekolah kebangsaan.

Ditambah kini, dengan pemansuhan UPSR, anak-anak tidak lagi terbeban dengan peperiksaan awam yang lebih menekankan gred daripada kefahaman.

Dalam pada Malaysia terus memastikan elemen STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts, Mathematic) dapat menjana ketamadunan negara bangsa Malaysia.

Kita doakan agenda ini bakal melahirkan insan cemerlang dalam negara dan di pentas dunia. Ayuh sama gembleng tenaga, bukannya menuding jari semata!

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah presiden Angkatan Gerak Minda Malaysia (Agra)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.