- Iklan -
Kolum

Anggaplah diri anda pembawa Covid-19

Hanya dengan cara ini, kita akan lebih serius dalam mematuhi SOP kesihatan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Anggaplah kita semua adalah pembawa virus Covid-19 yang tidak bersimptom.

Maka dengan itu, secara tersendirinya, kita dapat melindungi orang tersayang.

Jika kita adalah pembawa Covid-19, sudah tentu kita tidak mahu melawat ibu bapa kita yang tua, apatah lagi bersalam dan berpeluk dengan mereka.

Sekadar panggilan video adalah luahan kasih sayang tertinggi berbanding pelukan dan salam yang boleh membawa maut.

Jika kita adalah pembawa Covid-19, sudah tentu kita akan duduk di rumah dan tidak merayau.

Kita akan sedaya upaya menjaga jarak dan kebersihan di rumah.

Kita tidak akan terfikir ingin keluar berjalan-jalan, berjogging mahupun mencari alasan membeli makanan.

Kita akan mencari alternatif supaya asalkan tidak menjangkiti orang lain termasuklah menggunakan perkhidmatan dalam talian untuk memesan makanan.

Jika kita adalah pembawa Covid-19, sudah tentu kita cuba mengelakkan berjumpa sahabat-sahabat meskipun rindu.

Kerana sayangkan mereka, kita mahukan mereka sentiasa sihat dan selamat.

Oleh itu, dengan tersendirinya kita akan mengelak berjumpa dengan mereka meskipun diajak bertalu-talu.

Norma baru ini adalah luahan kasih sayang tertinggi.

Jika kita adalah pembawa Covid-19, sudah tentu pelitup muka dan menjaga jarak sosial menjadi suatu kebiasaan demi melindungi orang tersayang.

Ramai yang tidak mampu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan kerajaan kerana masing-masing menganggap diri adalah bebas Covid-19 dan virus itu susah menjangkiti diri.

Ramai yang juga tidak mampu membayangkan betapa susahnya keluarga terdekat apabila kita terkena Covid-19.

Semua terpaksa dikuarantin.

Kita terpaksa tinggalkan anak-anak, cucu-cucu, isteri, suami dan ibu bapa lalu berpindah ke pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

Rakan-rakan sekerja kita juga terpaksa dikuarantin.

Operasi syarikat terganggu sehingga menjejaskan pendapatan, dan mungkin menyebabkan syarikat terpaksa membuang pekerja untuk terus hidup di dalam situasi ekonomi yang mencabar.

Bayangkan kalau jika kita terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

Ketika sakit merana, hidung disumbat bantuan oksigen, tiada siapa yang boleh melawat.

Jika mati, tiada ahli keluarga yang boleh bersama di dalam perjalanan terakhir.

Oleh itu, beringatlah kita sebelum kena.

Hanya dengan menganggap diri kita sebagai pembawa Covid-19, maka segala SOP menjadi mudah untuk dipatuhi, dan itu adalah luahkan kasih sayang yang tertinggi untuk keluarga, sahabat dan manusia sejagat selain mengambil apa-apa vaksin yang ada dengan kadar segera.