- Iklan -
Kolum

Minggu penuh ketegangan di Lembah Klang

Dalam keadaan program vaksinasi negara dianggap lambat, keluar pula berita 10,000 orang di Kelantan yang tidak hadir janji temu vaksin.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Rabu lalu berlaku suasana tegang dalam perasaan penduduk Lembah Klang yang diakibatkan daripada dua peristiwa hinggakan ada warganet menyuarakan kebimbangan kemungkinan negara ini berada dalam keadaan di hujung tanduk.

Pada Khamis, suasana itu mula kendur dengan tiga tindakan drastik kerajaan.

Namun begitu perasaan marah, tidak puas hati dan bimbang terus berada dalam perasaan orang ramai dengan angka jangkitan baru Covid-19 terus memecahkan rekod.

Apabila sampai hujung minggu, dengan perasaan tertekan kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), orang ramai mungkin lebih sedar keadaan sebenar wabak ini dan hakikat hidup perlu diteruskan dengan semangat untuk mengatasi segala cabaran yang datang.

Dua peristiwa yang berlaku itu tentunya ialah rebutan untuk mendaftar suntikan vaksin AstraZeneca dan kemalangan transit aliran ringan (LRT).

Apa yang menyumbangkan kepada ketegangan ialah respons mereka yang bertanggungjawab dalam menghadapi keadaan itu.

Cara Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman mengendalikan sidang media memalukan bukan saja kepada kerajaan, tetapi juga negara.

Ia menimbulkan kemarahan bukan saja kepada pihak pembangkang, tetapi orang ramai juga.

Respons daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin bagaimanapun tidaklah seburuk Tajuddin.

Beliau menjawab dengan tenang kepada soalan-soalan yang dikemukakan secara tidak beradab dari seorang anggota khalayak awam.

Namun orang ramai kelihatan tidak puas hati dengan pengendalian proses vaksinasi negara.

Kerajaan bertindak drastik terhadap reaksi orang ramai itu dengan perkhidmatan Tajuddin selaku pengerusi Prasarana ditamatkan serta merta.

Sementara vaksin AstraZeneca pula dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Pfizer dan Sinovac.

Tindakan-tindakan ini meredakan suasana.

Satu lagi tindakan ialah mengenakan kompaun pada orang terkenal yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di mana perbuatan mereka tertular di media sosial.

Antaranya ialah menteri dan selebriti, terdiri daripada penceramah agama dan penyanyi.

Suasana tegang ini mempunyai akar umbinya dari keadaan di mana angka jangkitan baru terus naik.

PKP yang dikenakan menambahkan lagi tekanan kepada orang ramai.

Apabila mengetahui apa yang berlaku di India, maka orang ramai bertambah bimbang.

Dengan pelbagai laporan serta gambar mengenai kematian akibat Covid-19 serta pusat rawatan pesakit yang sesak ditularkan melalui media sosial, maka kesedaran orang ramai terhadap keperluan vaksin bertambah meluas.

Maknanya, cara untuk mengatasi Covid-19 ini hanyalah melalui vaksin.

Tidak kiralah vaksin apa. Sama ada Pfizer, AstraZeneca atau Sinovac.

Sebelum ini orang hanya menunggu Pfizer yang dianggap terbaik dan dipilih oleh kementerian kesihatan.

Sementara AstraZeneca dianggap sebagai opsyen untuk orang ramai yang memilihnya secara sukarela.

Wawancara dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang seharusnya menyemai keyakinan orang ramai dalam menghadapi pandemik memberi kesan sebaliknya.

Daripada reaksi warganet, mereka tidak puas hati dengan apa dan cara beliau ucapkan.

Sememangnya penyokong-penyokong pembangkang akan sentiasa mencari salah kerajaan, tetapi reaksi orang biasa juga negatif.

Dalam keadaan program vaksinasi negara dianggap lambat, keluar pula berita 10,000 orang di Kelantan yang tidak hadir janji temu vaksin.

Keadaan ini menimbulkan kemarahan ramai orang yang tidak sabar untuk menunggu giliran mereka terutama di Lembah Klang.

Ternyata apa yang dirasakan ialah kegagalan negara mengatasi wabak Covid-19 bukanlah semata-mata kelemahan kerajaan tetapi juga sikap rakyat Malaysia yang tidak berdisiplin.

Orang Malaysia melanggar, SOP dan peraturan PKP.

Mereka kunjung-mengunjung semasa Hari Raya Aidilfitri.

Kisah-kisah kluster hari raya mula terdedah dan ditularkan dalam media sosial sepanjang minggu lalu.

Iaitu 14 hari selepas hari raya. Apabila diajak vaksin, ada yang enggan atas pelbagai alasan remeh.

Sementara yang sudah daftar tidak pula hadir pada hari yang dijadualkan. Juga atas alasan remeh.

Soal agama juga menjadi halangan dalam usaha memerangi wabak.

Ungkapan-ungkapan seperti, “Jangan takut pada virus, takut pada Tuhan” dan “Jangan percaya pada vaksin, boleh jatuh syirik: hanya percaya Tuhan” yang dilontarkan oleh anggota masyarakat dalam percakapan dan media sosial menceminkan minda dan sikap mereka.

Fikiran seperti ini mendorong orang melanggar SOP untuk pergi ke surau dan enggan mengambil vaksin.

Selain itu, soal agama dan kunjung-mengunjung waktu hari raya membawa kepada dimensi perkauman.

Ada komen dalam kalangan orang Cina di media sosial memberi gambaran seolah-olah menyalahkan orang Melayu.

Ini kerana sebahagian orang Melayu tidak berdisiplin kerana melanggar SOP waktu bulan Ramadan dan hari raya.

Sebahagian daripada mereka pula menyalahkan kerajaan kerana gagal membendung wabak ini.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula dianggap sebagai kerajaan Melayu-Islam.

Sementara dalam kalangan warganet Melayu pula membalas balik dengan menimbulkan soal betapa pengunjung-pengunjung pusat perjudian melanggar SOP.

Mereka mempersoalkan pada kerajaan mengapakah masjid disuruh tutup sedangkan pusat perjudian dibenarkan buka.

Pada bulan Ramadan, ada peningkatan jangkitan dalam kalangan orang Cina.

Antaranya adalah daripada majlis-majlis makan malam.

Sebenarnya tiada soal perkauman dalam wabak ini dan usaha membendungnya.

Rakyat Malaysia sama-sama sedang menghadapi wabak ini.

Perangai rakyat Malaysia tidak kira kaum adalah serupa sebagai manusia.

Sebahagiannya berdisiplin dan mematuhi SOP, yang lain tidak.

Oleh kerana masing-masing hidup dalam gelembung budaya berbeza, tentulah pelanggaran SOP yang berlaku adalah berlainan.

Dalam suasana begini, pendaftaran untuk vaksin AstraZeneca dibuka pada Ahad lalu untuk mereka yang berusia 60 tahun ke atas di kawasan-kawasan tertentu termasuk Lembah Klang.

Setelah ditutup pada hari Isnin, dikatakan masih ada lebihan yang akan dibawa ke fasa berikutnya, iaitu pendaftaran untuk orang berusia 18 tahun ke atas.

Ketika mana warga Lembah Klang menanti pembukaan pendaftaran AstraZeneca, keluar berita mengenai pelanggaran LRT secara berdepan.

Tentu perkara ini mengejutkan. Ia sesuatu yang tidak wajar berlaku.

Kereta api tidak ada pemandu. Pengangkutan canggih ini dikendalikan secara jarak jauh menggunakan sistem automatik.

Apa sudah jadi? Mengapakah negara ini begitu malang sekali?

Sistem pengangkutan yang dibanggakan rakyat hingga diabadikan ada kertas wang tunai itu mengalami kemalangan yang diisytiharkan sebagai “human error” atau kesilapan manusia.

Maknanya ada yang tidak kena pada manusia dan sistem yang mengendalikannya.

Kemalangan itu sedikit sebanyak menggugat keyakinan rakyat terhadap teknologi pengangkutan awam negara serta sistem dan pengurusan yang berkaitan dengannya.

Namun selepas sidang media oleh pengerusi Prasarana, perasaan timbul bukan sahaja kereta api dan syarikat itu tidak diuruskan dengan baik, tetapi keseluruhan kerajaan khususnya lantikan-lantikan politik.

Walaupun dua peristiwa itu kelihatannya tertumpu di Lembah Klang tetapi kawasan yang merangkumi Kuala Lumpur dan bahagian besar Selangor merupakan nadi kepada negara.

Bila Lembah Klang demam, seluruh negara sakit.

Sungguhpun hidup seharian berjalan terus dalam keadaan PKP, tetapi timbul juga perasaan kebimbangan kalau kalau negara ini berada di hujung tanduk.

Tetapi rakyat Malaysia wajar bangkit dengan memainkan peranan masing-masing untuk keluar daripada keadaan ini.

Laungan Malaysia Boleh merupakan satu klise tetapi ia masih boleh menjadi azam untuk bangkit.