- Iklan -
Kolum

Apa yang rakyat mahu?

Kluster balik kampung adalah contoh terbaik di mana apabila rakyat yang menggagalkan usaha kerajaan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Rakyat tidak mahu dijangkiti Covid-19.

Kerajaan juga tidak mahu rakyat dijangkiti Covid-19, oleh sebab itu mereka berkali-kali mengingatkan rakyat dan pemimpin untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Adanya SOP bermakna cara kehidupan berubah.

Dan SOP susah untuk digubal untuk menepati citarasa semua golongan menyebabkan ramai yang mempertikaikan dan juga melanggarnya.

Rakyat mahukan kebebasan hidup terjamin dan tidak suka didenda.

Kerajaan juga mengharapkan rakyat, termasuk pemimpin mematuhi SOP dan tidak perlu mendenda rakyat.

Hakikatnya, semua lapisan rakyat dan pemimpin mempunyai masalah untuk mematuhi SOP sepenuhnya.

Ramai yang terlepas denda kerana melanggar SOP.

Namun jika ada yang didenda, mereka mempersoalkan mengapa orang lain tidak kena dengan setimpal terutamanya pemimpin dan selebriti.

Ini menimbulkan tuduhan terhadap kerajaan bersikap dwi-standard.

Jika hendak betul-betul berlaku adil, sepatutnya apabila seseorang itu mengaku melanggar SOP sehingga menyebabkan kluster Covid-19 ketika datang merawat di hospital, dia patut didenda melanggar SOP selepas sembuh dirawat.

Rakyat mengharapkan punca rezeki tidak terputus.

Kerajaan juga mengharapkan sektor ekonomi terus berkembang supaya negara dapat terus subur dan menjana lebih banyak pekerjaan kepada rakyat.

Masalahnya, penularan Covid-19 susah dikawal apabila ada pergerakan manusia yang rancak, dan ramai yang menyalahgunakan surat majikan dan Miti untuk keperluan peribadi seperti balik ke kampung halaman.

Apabila jumlah jangkitan Covid-19 terus naik, ada rakyat yang terus menuduh kerajaan gagal walhal yang memangkin wabak terus merebak ialah keperluan untuk memenuhi kehidupan semua.

Rakyat mahu wabak Covid-19 hilang serta merta dan kehidupan mereka dapat kembali menjadi normal.

Kerajaan juga mahukan wabak Covid-19 hilang dan berharap rakyat dapat meneruskan kehidupan tanpa kebimbangan.

Akan tetapi, rakyat mengharapkan kerajaan sepenuhnya untuk menghilangkan wabak Covid-19 tanpa menyusahkan mereka.

Kerajaan pula mengharapkan rakyat dapat membantu dalam perang menghilangkan Covid-19 ini.

Kluster balik kampung adalah contoh terbaik di mana apabila rakyat yang menggagalkan usaha kerajaan.

Rakyat mahu dilindungi daripada wabak Covid-19.

Kerajaan mengharapkan semua rakyat dapat menerima vaksin secepat mungkin.

Masalahnya, ketika jangkitan tidak melebihi 5000 sehari, rakyat sibuk mempertikaikan tahap keselamatan vaksin dan ada yang mahu kebebasan menentukan apa vaksin yang dikehendaki sehingga kerajaan terpaksa membuka pendaftaran untuk vaksin tertentu.

Apabila jangkitan meningkat, tiba-tiba semua vaksin direbut rakyat sehingga sistem pendaftaran tidak dapat menampung sambutan yang datang.

Realitinya, kadar pengvaksinan negara masih lambat.

Tapi perkara ini di luar kawalan kerana pembekal seluruh dunia kekurangan bahan mentah untuk menghasilkan vaksin.

Hakikatnya, apa yang rakyat mahu sama dengan apa yang kerajaan mahu.

Pilihan sekarang hanya satu iaitu memastikan 70 peratus rakyat divaksin secepat mungkin untuk menamatkan wabak Covid-19 ini di Malaysia.

Sementara menunggu lebih ramai divaksin, pemimpin perlu menunjukkan teladan yang baik dan rakyat perlu membantu melindungi diri daripada Covid-19 dengan menjaga SOP.

Semua ini penting demi menghalang keruntuhan sistem kesihatan negara, yang akan turut melumpuhkan sektor ekonomi negara.

Masa itu, semua akan gagal teruk, termasuklah batu-batu api yang ingin berpolitik sepanjang masa.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.