Dalam pada negara mendepani cabaran Covid-19 dengan tekad Malaysia untuk mencapai imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat Malaysia. Semestinya lebih ramai sukarelawan diperlukan bagi membantu petugas awam utamanya bagi proses pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Ditambah, hanya sekitar 280,000 petugas kesihatan awam dalam negara yang mana bukan semuanya bertugas untuk tujuan PICK.
Atas kesedaran itu, Armada menerusi seruan ketua pemudanya, Wan Ahmad Fayhsal telah menggerakkan kempen secara dalaman kepada seluruh ahli Armada segenap peringkat untuk mendaftar sebagai sukarelawan MyVAC yang merupakan sebuah inisiatif kerajaan Malaysia di bawah kementerian belia dan sukan bagi membantu kerja-kerja sukarela menguruskan penerima vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV).
Syukur ke hadrat ilahi, hasil dari kempen dalaman ini, seramai 342 orang ahli telah tampil untuk membantu dan mendaftar sebagai ‘Sukarelawan Bukan Kesihatan’ melalui program MyVAC tersebut. Kesemua lebih 300 sukarelawan ini adalah merupakan ahli-ahli Armada dari seluruh Malaysia yang akan membantu di PPV terpilih dalam kawasan masing-masing. Dari jumlah tersebut, seramai 127 ahli Armada telah pun memulakan tugasan mereka.
Armada akan meneruskan iltizam sayap Parti Bersatu ini yang membulatkan tekad membantu masyarakat sebagai wadah dalam menterjemah politik khidmat, moga jiwa kesukarelawan dalam kalangan ahli Armada terus subur dan terus menerus bersemangat menabur jasa dan bakti demi agama, bangsa dan negara.
Mohd Ashraf Mustaqim adalah ketua penerangan Armada Nasional
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow