- Iklan -
Rencana

TV3 lakar sejarah 37 tahun

TV3 secara rasmi mula bersiaran di Lembah Klang pada pukul, ia dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mohd Fudzail Mohd Nor
4 minit bacaan
Kongsi
Sri Pentas TV3 di Damansara. Gambar: Facebook
Sri Pentas TV3 di Damansara. Gambar: Facebook

Pada 1 Jun 2021, TV3 mencecah usia 37 tahun. Ia telah berusia dengan tahap pengalaman dan kepakaran sehingga boleh dikatakan sebagai stesen TV terulung di Malaysia.

Saya bekerja di TV3 seawal 1992 hingga 2010 sebagai pengurus IT dan berakhir sebagai pengarah pantai timur dan Malaysia Timur untuk Mega TV. Saya banyak menyimpan kenangan manis sewaktu bersama TV3 dengan para sahabat yang sama-sama bekerja untuk sesuap nasi.

TV3 adalah saluran televisyen bebas udara yang dimiliki konglomerat Media Prima pada hari ini. TV3 dilancarkan pada 1 Jun 1984 sebagai saluran televisyen swasta pertama dan tertua di negara ini. Pada tahun 2013, TV3 kekal sebagai stesen televisyen yang paling banyak ditonton di Malaysia, walaupun jumlah penonton televisyen menurun

TV3 secara rasmi mula bersiaran di Lembah Klang sempena tarikh hijrah pada hari pertama Ramadan 1404H (1 Jun 1984) pada pukul 5 petang dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad. 

Dengan siaran enam jam dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam. Ketika penubuhannya, pemiliknya Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB), diperbadankan pada 15 September 1983 dan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad adalah antara aset media Malaysian Resources Corporation Berhad. Saluran televisyen biasa disiarkan dari sebuah bangunan di Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur. 

Pada 22 September 2003, kedua-dua Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad dipisahkan dari Malaysian Resources Corporation Berhad dan bergabung menjadi Media Prima Group sambil mengekalkan jenama masing-masing. Sri Pentas kemudian menjadi markas untuk semua saluran televisyen dan radio Media Prima. 

Sri Pentas atau “The Stage” adalah pusat operasi TV3. Ia dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 22 Oktober 1997.

Sri Pentas menempatkan tiga studio utama yang menyediakan pengeluaran berita dan urusan semasa.

Bilik kawalan utama (MCR) dan konti juga terletak di sini.

Selain dari Sri Pentas, premis lama di Jalan Liku di Bangsar masih dihuni oleh beberapa unit operasi.

Operasi telah melampaui penyiaran. TV3 selama beberapa tahun terakhir telah banyak melabur dalam produksi filem, industri muzik dan album, animasi dan penyewaan peralatan.

Semenjak pelancarannya, TV3 telah mendahului stesen televisyen lain di Malaysia dan telah dua kali menjangkau 41% bahagian penonton (12 Januari – 18 Januari 2003 dan 29 Jun – 5 Julai, 2003), peratusan penonton tertinggi pernah dicapai oleh sebuah stesen televisyen Malaysia. 

Dari segi pendapatan pengiklanan, syarikat mengekalkan kedudukan kepimpinannya dan berterusan menghasilkan pertumbuhan hasil yang kukuh daripada iklan-iklan. TV3 terus meningkatkan perkakasnya untuk pengeluaran dan transmisi, dan kakitangannya menerima latihan dan pendedahan berterusan dalam penerbitan televisyen. Ini membolehkan TV3 kekal sebagai penyiar komersial persendirian yang terkemuka.

Dengan pemulihan ekonomi Malaysia, telah terdapat satu permintaan yang seiring untuk program tempatan, termasuk berita, hal ehwal semasa, majalah-majalah, perbincangan, sukan, dokumentari, drama atau filem. Dengan satu asas yang kukuh pengeluar televisyen telah merevolusikan pengeluaran kandungan tempatan kepada tahap mengagumkan dalam industri penyiaran.

Stesen TV3 telah menjadi perintis fesyen dengan menghasilkan pengeluaran rancangan tempatan berkualiti dan telah manarik perhatian dan kesetiaan penonton Malaysia. 

Percaya bahawa kandungan tempatan adalah caranya, TV3 terus melabur dalam pekerja dan peralatan bagi menghasilkan kandungan tempatan yang berkualiti. 

Sejarah operasi TV3

Sistem Televisyen Malaysia Berhad atau TV3 mula beroperasi pada 1 Jun 1984. Rumah siaran awalnya ialah di Jalan Liku, Bangsar. Manakala pejabat pentadbiran di bangunan Pernas, Kuala Lumpur. 

Bahagian kejuruteraan luar di bawah seliaan jurutera Yusof yang ditempatkan di Sungai Besi. Sebelumnya siaran percubaan selama dua bulan bermula pada bulan April. 

Kakitangan paling awal juga menyertai stesen itu pada bulan April tahun yang sama. Kebanyakan kakitangan melaporkan diri pada 1 April, kerana hari tersebut ialah hari Ahad.

Kebetulan pula 1 April disambut di seluruh dunia sebagai April Fool.

Antara kakitangan awal termasuklah Jaafar Daud, Allias, Mahani, Sabri, Malini, Ahmad Merican Rancangan, Ahmadi Hassan, dan Mohd Noor Salleh sebagai Pengurus Besar.

Lain-lain termasuklah Sherkawi Jirim, Puan Rohani Yusof bagi bahagian drama dan beberapa orang lagi. Manakala kakitangan teknikal dan penerbitan kebanyakannya datang dari RTM.

Olimpik Los Angeles adalah mukadimah siaran lansung yang memberi cabaran yang akhirnya membawa kejayaan cemerlang pada stesyen TV3.

Pada Januari 1985, bermulalah episod baru dimana TV3 menerbitan berita sendiri. Sebelum itu berita hanya diambil dari RTM. Mahadhir Lokman adalah pembaca berita pertama. Selain beliau, pembaca Buletin Utama ketika itu ialah Ab. Razak Abdullah, Fitri Aziz, Christin Lim.

A.Samad Ismail atau Pak Samad (Allahyarham) merupakan orang yang memberi bimbingan sehingga Buletin Utama menjadi sebutan sehingga ke hari ini.

Selain itu bahagian berita dan majalah memulakan penerbitan programnya sendiri. Antaranya rancangan Kuali dan Nona dikendalikan oleh Anwardi Jamil dan Karim Mohamad. Manakala Salleh Kasim yang bertanggungjawab di bahagian majalah pula menerbitkan Majalah 3. 

Manakala bahagian hiburan pula menerbitkan rancangan hiburan pertama Juara Lagu kemudian dinamakan Muzik-Muzik. Juara Lagu pula dijadikan anugerah tahunan.
Bahagian hiburan turut menerbitkan program tahunan ‘ Golden Kite World Song Festival. Ianya disiarkan secara langsung kebeberapa negara yang menjadi destinasi MAS.

Antara kakitangan awal yang terlibat dalam penerbitan ini ialah Kak Zu (penerbit-sekarang menetap di German). Wan Maharuddin. Manakala kakitangan teknikal pula ialah Mohd. Mahendran dan Limat Yon. Mereka berdua adalah penerbit teknikal pertama di stesen ini.
Sebenarnya TV3 meraih pelbagai kejayaan sepanjang operasinya. Tetapi kejayaan-kejayaan itu hanya diraikan oleh kakitangan penerbitan sahaja.

Manakala kakitangan kejuruteraan hanya dianggap mesin dan tidak pernah diraikan dalam apa bentuk sekalipun.

Seterusnya TV3 bertambah popular dengan kehadiran Wan Zaleha Radzi yang mengacarakan program Majalah 3 dan Ezzah Aziz Fauzi yang mengacarakan rancangan Nona. Namun sebelum itu pembaca susunan rancangan, Habibah dan Fauzen menjadi personaliti awal yang meraih populariti di stesen ini.

Sehingga ke hari ini TV3 masih unggul walaupun pelbagai cabaran ditempuhi.

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah bekas pekerja TV3

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow