- Iklan -
Rencana

Di celah-celah kematian

Kematian datang berupa pelbagai bentuk, antaranya hantu ganas dalam fikiran yang berupaya meragut nyawanya.

Zahid M Naser
3 minit bacaan
Kongsi
Pandemik membuat sepi kota Kuala Lumpur. Penghuninya terus berjuang berdepan hidup.
Pandemik membuat sepi kota Kuala Lumpur. Penghuninya terus berjuang berdepan hidup.

Tahun lalu, ketika hadirnya berita-berita tentang Covid-19 di meja. Saya tidak begitu terkesan dan bahkan hanya berdepan dengannya dengan terus menjalankan tugas seadanya.

Setelah itu, tidur tanpa apa-apa kebimbangan.

Namun, entah mengapa tahun ini begitu berbeza. Ada atmosfera yang sukar digambarkan. Suasananya begitu kasar. Begitu melelahkan – setidak-tidaknya selepas angka-angka berkaitan wabak yang telah menelan lebih 3,000 penduduk Malaysia ke perut bumi tak kunjung kebah.

Setakat saya menulis coretan ini, dunia telah mencatat 3,762,625 korban. Sementara 174,738,762 jangkitan terus menambah angka-angka baru.

Ia ditambah pula dengan kes-kes melibatkan keluarga terdekat. Sepupu isteri meninggal dunia di usia muda, rakan-rakan diuji positif. Ibu bapa teman sekerja dan teman dekat dimasukkan ke ICU.

Apa yang dilihat jauh sebelum ini, mulai datang mendekat.

Sayup-sayup kedengaran suara kasar virus itu menempik. Mahu mengasak.

Di sini, bibit kebimbangan mulai datang. Mulai menjadi paranoia.

Sebagai petugas di lapis kedua di belakang rakan-rakan wartawan, kami sering menggembirakan hati dengan lelucon daripada keletah ahli politik.

Lelucon daripada perangai-perangai selebriti yang membuat tajuk berita.

Namun, kehadiran berita kesengsaraan orang lain sering mematikan ketawa kami di balik komputer riba.

Ya, berita demikian lebih banyak daripada cerita orang-orang yang beruntung. Antara sedar dan tidak sedar, kesengsaraan itu mulai turut menghimpit.

Kematian – seperti talkin di atas kubur telah mengikrarkan bahawa ia adalah kebenaran yang pasti.

Kalaupun tidak datang kerana koronavirus, ia akan datang dalam bentuk yang lain.

Merupakan dirinya sebagai kebimbangan yang besar, kemurungan yang tajam mencucuk emosi, serupa hantu.

Tahun lalu sahaja, Malaysia mencatat lebih 200 kes bunuh diri sepanjang pandemik.

Apa yang merupakan dirinya sebagai hantu itu juga turut bekerja ketika virus kecil bergerak dalam masyarakat. Ia menjadi pembunuh dalam senyap.

Mental yang dibebani kebimbangan dan kemurungan sebetulnya boleh dianggap telah mati. Mereka yang merasainya merasakan dirinya sudah sia-sia. Kehidupan yang tiada tanding nilainya sudah dirasakan tidak berguna persis kain buruk.

Kain buruk yang dihumban masuk ke tong-tong bersama sisa-sisa manusia.

Begitulah kematian jiwa yang mulai dirasakan ramai orang ketika ini. Apa mungkin ada jalannya untuk menghidupkan semula jiwa?

Mungkin ada yang akan memberikan jawapan ia akan hidup semula dengan harapan, namun harapan yang bagaimana?

Kala ini, ketika ramai yang tertekan dengan kehidupan akibat pandemik. Harapan itu sering dihubungkan dengan negara. Entah-entah negara menjadi harapan terakhir orang-orang yang tidak lagi memiliki pertimbangan dek tekanan hidup.

Namun negara itu pun, betapa gah dan besar kerajaannya bukanlah dahan yang boleh kita berpaut untuk menyelamatkan diri. Harapan yang diuar-uarkan negara hanya mampu membuat kita berlepas diri daripada tenat di hujung hari.

Esoknya, negara pun tidak mampu membuang kesepian, kesengsaraan dan kesempitan sendiri.

Kerana itu, elok-elok saja saya menjauhkan diri untuk bergantung harap sepenuhnya dengan tanah dan sempadan – yang dinamakan orang sebagai negara itu.

Saya mulai melihat ke dalam diri, apakah fikiran-fikiran tentang mati ini betul-betul telah saya rungkaikan. Sungguh, ia misteri yang mungkin tak akan pernah terjawab.

Lagi-lagi kematian jiwa dan fikiran yang semakin ramai dirasakan orang saat berdepan pandemik. Dibunuh hantu-hantu yang saya katakan tadi.

Hantu rindu nak berteman, hantu keseorangan yang membuat keracauan, hantu kemurungan yang lahir daripada desakan hidup. Bahkan mungkin mencekik-cekik dalam senyap.

Namun, percayalah.

Jika ada hari saya atau kita bernasib baik. Kita pasti dapat membunuhnya.

Bukan dengan harapan. Tetapi dengan kesedaran bahawa masih banyak hal yang kita bakal dan boleh terokai.

Dunia ini masih besar untuk kita hadamkan. Untuk saat itu, buat saat itu. Mari diriku, mari kawanku, kita terus bersabar dan nikmati hidup.

Zahid M. Naser menulis puisi, esei dan cerpen, selain menterjemah dan menyunting. 

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow