Armada Bersatu menyambut baik inisiatif kerajaan yang telah mula menggerakkan pemberian vaksin dos pertama kepada pengamal media. Langkah yang diambil kerajaan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan atas hak para rakan media untuk menjalankan tugas mereka dengan selamat.
Kita tidak boleh menafikan peranan media selaku “frontliners” atau petugas barisan hadapan adalah begitu penting atas keperluan masyarakat negara untuk terus disajikan dengan berita serta informasi terkini yang lebih beretika dan tepat. Biarpun dalam situasi pandemik ini, ketetapan aturan kehidupan bukanlah semuanya berlaku secara maya.
Masih terdapat kejadian yang perlu dilaporkan memperuntukkan kehadiran secara fizikal kalangan para wartawan, jurugambar serta segenap cabang skop pekerjaan pengamal media. Pertemuan secara fizikal ini benar-benar membahayakan keselamatan para rakan media.
Justeru adalah wajar bagi pihak kerajaan mempertimbangkan untuk memberi fokus kepada para pengamal media bukan sahaja yang bertugas di Lembah Klang, malah di segenap pelusuk di negeri-negeri. Ini kerana terdapat laporan dari kesatuan sekerja terkait bidang kewartawanan yang menyatakan beberapa negeri seperti di Johor, Kedah, Melaka dan Perak masih belum ada dalam kalangan rakan media yang mendapat janji temu vaksin.
Armada menggesa untuk dipercepatkan proses ini selain Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) memberi fokus sepenuhnya kepada senarai nama pengamal media, utamanya yang berada di lapangan bagi mendapatkan suntikan dalam kadar segera. Hakikatnya kelewatan untuk pengamal media ini adalah suatu yang tidak wajar berlaku, kerana peranan media selaku barisan hadapan, tidak dapat ‘dunia’ nafikan.
Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir adalah ketua penerangan Armada Nasional
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow