Geobencana seringkali ditafsirkan mempunyai maksud yang sama dengan geobahaya. Adakah wujud persamaan atau perbezaan takrifan bagi geobencana dan geobahaya?
Geobencana boleh ditakrifkan sebagai kejadian atau proses geologi semulajadi yang menyebabkan kemudaratan dan bahaya kepada manusia, harta benda dan aktivitinya serta alam sekitar. Contoh kejadian geobencana termasuklah gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, kegagalan cerun, aliran puing, penenggelaman dan lubang benam.
Manakala geobahaya merujuk kepada suatu keadaan geologi yang tidak stabil dan berpotensi untuk mencetus kemudaratan. Geobahaya juga boleh disimpulkan sebagai suatu keadaan yang berpotensi menyebabkan geobencana berlaku. Geosaintis percaya terjemahan yang tepat mampu memberi implikasi yang besar terhadap proses tindakan yang terbaik dalam semua peringkat.
Malaysia mempunyai iklim yang mempunyai kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Hal ini dapat menyumbang kepada kejadian geobencana seperti kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun. Malah saban tahun, kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di pelbagai lokasi di Malaysia.
Sesetengah daripadanya telah menjadi mimpi ngeri dan tragedi hitam yang terpahat dalam sejarah negara kerana ada diantaranya telah mengorbankan puluhan nyawa. Menyingkap semula kisah duka negara pada tahun 2011 dimana bencana tanah runtuh telah meragut nyawa 16 orang penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat. Sehingga kini, kejadian duka ini masih teguh terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia.
Dalam setiap kejadian geobencana, siasatan dan pemeriksaan terperinci perlulah dijalankan supaya kejadian berulang dapat dielakkan dan langkah kawalan serta mitigasi dapat dirancang dan dirangka. Di peringkat ini, kepakaran ahli geologi boleh dimanfaatkan dengan pelaksanaan kerja-kerja geoforensik.
Geoforensik umumnya merujuk kepada suatu kerja penyiasatan untuk mengenalpasti skala, impak dan punca berlakunya suatu geobencana melalui aplikasi teknik geologi. Berdasarkan prosedur operasi standard siasatan bencana tanah runtuh yang dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, geoforensik adalah gabungan beberapa aplikasi teknik geosains untuk membuat suatu interpretasi dan mengenalpasti kegagalan struktur kejuruteraan atau fitur semulajadi yang boleh digunakan sebagai bahan bukti dalam sistem perundangan.
Aplikasi teknik geosains ini termasuk siasatan geologi kejuruteraan, aplikasi teknik geofizik, kajian hidrogeologi, penderiaan jauh dan interpretasi geomorfologi. Artikel ini cuba menerangkan beberapa aplikasi geosains yang dijalankan dalam kerja-kerja geoforensik pasca geobencana.
Kerja-kerja pemetaan dan pemerhatian geologi serta interpretasi geomorfologi seperti retakan, tubir runtuhan, tirisan air dan lain-lain adalah penting untuk mengenalpasti dan mencirikan mekanisma kegagalan cerun seterusnya pengawasan pergerakan tanah dapat dijalankan.
Pemetaan geologi terrain untuk penghasilan peta pengelasan terrain dan peta-peta tematik juga boleh dijalankan untuk mengenalpasti bentuk muka bumi, hakisan, kekangan fizikal dan zon-zon tidak stabil. Pemetaan ini dijalankan berasaskan kepada penilaian empat (4) atribut iaitu kecerunan cerun, terrain atau morfologi, aktiviti yang dijalankan serta hakisan dan ketidakstabilan cerun.
Penghasilan peta-peta ini dibuat menggunakan sistem GIS untuk menganalisa data dari kesemua atribut yang telah dinyatakan tadi. Selain itu, analisis makmal untuk mendapatkan maklumat indeks keplastikan, had cecair dan had plastik sampel tanah cerun juga boleh dijalankan untuk penentuan sifat konsistensi dan tingkah laku tanah. Ini kerana, sifat dan tingkah laku tanah berbeza-beza bergantung kepada kandungan air. Tanah yang berinteraksi dengan air berpotensi mengembang serta menyusut dan hal ini mempengaruhi kekuatan struktur tanah.
Kejadian geobencana tanah runtuh dan kegagalan cerun sering dikaitkan dengan kadar hujan yang tinggi. Kandungan air bawah tanah biasanya menjadi mekanisma yang menyebabkan kejadian tanah runtuh. Semasa hujan lebat, tanah menyerap air hujan dan menyebabkan lapisan tanah mempunyai berat tambahan. Apabila kadar serapan tanah telah mencapai tahap maksimum, pergerakan tanah boleh berlaku. Keadaan bertambah teruk jika suatu cerun diselaputi dengan simen shortcrete yang tidak dipantau lubang saliran airnya. Oleh itu, siasatan hidrogeologi perlu dijalankan untuk memahami mekanisma geobencana ini selain kerja pemantauan yang berterusan.
Aplikasi pelbagai teknik geofizik dalam siasatan geoforensik bukan lagi perkara baru malah ianya berkembang bermula sekitar awal 2000-an. Umumnya teknik geofizik ini digunakan untuk kerja-kerja penyiasatan persekitaran sub-permukaan. Teknik geofizik yang biasa digunakan adalah kaedah keberintangan geoelektrik dan kaedah pengutuban teraruh. Kaedah keberintangan geoelektrik ini dijalankan untuk mendapatkan perubahan sifat keberintangan bahan bumi yang berkait dengan pelbagai parameter geologi seperti kandungan air dan mineral, keporosan, kadar ketepuan air dalam lapisan sub-permukaan dan struktur geologi.
Menerusi kaedah ini, satu imej 2D keberintangan geoelektrik mengikut kedalaman dapat dihasilkan. Berdasarkan imej ini, geosaintis akan membuat interpretasi seperti penentuan kawasan tinggi air serta ketebalan lapisan tanah tinggi air. Selain itu, kewujudan struktur geologi yang boleh menyumbang kepada geobencana seperti struktur sesar juga boleh dikenalpasti melalui imej tersebut. Interpretasi tersebut akan menyumbang kepada pemahaman mekanisma suatu geobencana itu berlaku.
Di Malaysia, dalam menghadapi sebarang bentuk bencana termasuk geobencana, kerajaan telah menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada tahun 2015 yang bertindak sebagai penyelaras kepada agensi-agensi kerajaan yang terlibat dengan penguatkuasaan bencana. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) adalah dua agensi utama yang memainkan peranan penting dalam geobencana seperti tanah runtuh dan kegagalan cerun. JMG berperanan dalam memberikan maklumat dan laporan siasatan geosains bagi membantu mengenalpasti punca dan risiko serta membantu dalam mencadangkan langkah-langkah mitigasi.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia, terdapat beberapa pusat penyelidikan yang menumpukan kajian geobencana seperti Kluster Penyelidikan Geologi Kejuruteraan & Bencana Geologi, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara dan Pusat Penyelidikan Bukit Fraser.
Kluster Penyelidikan Geologi Kejuruteraan & Bencana Geologi ini merupakan salah satu kluster penyelidikan di bawah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar dan kluster ini menfokus kepada penyelidikan pemetaan dan penilaian geobencana serta pengurusan dan mitigasi geobencana.
Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara atau Seadpi (Southeast Asia Disaster Prevention Research) pula adalah sebuah pusat penyelidikan berkaitan bencana yang bersifat holistik meliputi skop wilayah yang global bagi membantu kerajaan dalam membuat keputusan dasar mengenai bencana iklim, geobencana dan bencana teknologi. Selain itu, pusat penyelidikan ini juga berhasrat untuk membangunkan modal insan mahir dan kemampuan tenaga kerja untuk menangani isu bencana negara.
Geobencana seperti tanah runtuh dan kegagalan cerun boleh berlaku disebabkan banyak faktor. Siasatan geoforensik perlulah dijalankan bukan hanya dengan menggunakan satu aplikasi geosains kerana setiap aplikasi dan teknik mempunyai sasaran dan pengukuran parameter yang tertentu. Oleh itu, perancangan kerja geoforensik perlulah mengambil kira parameter yang terlibat mengikut jenis geobencana yang berlaku supaya siasatan yang dijalankan dapat membantu dalam menentukan tahap risiko bencana susulan dan seterusnya menghasilkan satu laporan yang komprehensif.
Laporan komprehensif ini diharapkan dapat digunakan dalam perancangan langkah mitigasi yang baik dan seterusnya menjamin keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar.
Artikel ini disediakan oleh Arda Anasha binti Jamil dan Mohd Hariri Arifin dari Universiti Kebangsaan Malaysia
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow