- Iklan -
Rencana

Cadangan Mageran tidak relevan, cubaan Dr Mahathir kembali berkuasa

Agong, tidak seperti sangkaan sesetengah pihak, sangat prihatin dengan penularan Covid-19 dan bukan setakat menzahirkannya dalam kenyataan, malah menterjemahkannya dalam tindakan.

Kamarul Zaman Yusoff
4 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima menghadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Istana Negara pada 10 Jun, 2021. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima menghadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Istana Negara pada 10 Jun, 2021. Gambar: Bernama

Secara tiba-tiba dunia politik negara yang agak sunyi sejak beberapa bulan kebelakangan ini kembali mendapat perhatian bila Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengambil inisiatif untuk memanggil menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara secara bergilir-gilir mulai pagi Rabu lalu.

Pelbagai spekulasi mula bertiup kencang ekoran peristiwa ini, paling menarik adalah kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, yang dilapor mengandaikan kemungkinan akan berlaku satu pembentukan kerajaan baru selepas majlis menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara dengan Yang di-Pertuan Agong ini.

Begitupun, spekulasi ini nampak tersasar bila ketua-ketua parti-parti politik utama negara yang selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, khususnya Presiden PKR Anwar Ibrahim, menyatakan isu pembentukan kerajaan baru tidak menjadi bahan perbincangan antara mereka dengan Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai tujuan sebenar majlis menghadap tersebut dibuat, petunjuk mengenainya terdapat di dalam kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, mengenai penganjuran Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dibuat atas inisiatif Yang di-Pertuan Agong adalah berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat maka ia menunjukkan bahawa majlis menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara juga mempunyai tujuan yang sama.

Semua ini menjadi petunjuk nyata Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti sangkaan sesetengah pihak, sangat prihatin dengan penularan wabak Covid-19 dan bukan setakat menzahirkannya di dalam kenyataan malah menterjemahkannya di dalam tindakan Baginda juga sehingga ke tahap membincangkannya dengan Raja-Raja Melayu.

Kesediaan Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap ketua-ketua parti-parti politik utama negara, khususnya dalam kalangan parti-parti politik pembangkang, juga adalah indikasi jelas bahawa Istana Negara kekal relevan sebagai payung rakyat yang berada di atas politik dan yang sentiasa bersedia mendengar segala keluhan rakyat jelata.

Sesungguhnya inisiatif Yang di-Pertuan Agong ini adalah satu tindakan terpuji yang membuktikan bahawa Baginda bukanlah Raja kepada kaum, penganut agama atau golongan tertentu sahaja tetapi Baginda adalah Raja kepada semua golongan rakyat, dengan peranan semak imbang penting kepada badan eksekutif yang dijalankan.

Tidak hairanlah maka setelah selesai menghadap Baginda ketua-ketua parti-parti politik utama negara menyatakan penghormatan dan kekaguman mereka ke atas kesediaan Yang di-Pertuan Agong berlapang dada mendengar dan mencatatkan semua pandangan yang mereka kemukakan sebagai mewakili pendirian parti-parti mereka.

Masa sama, adalah kurang manis dan berada di luar daripada tata susila yang lazim untuk mana-mana individu yang menghadap Yang di-Pertuan Agong mendedahkan dengan terperinci segala butiran percakapan dan titah yang dikeluarkan di dalam majlis tersebut ke khalayak umum kerana kesemua ini sepatutnya menjadi satu rahsia.

Begitupun, inilah yang dilakukan oleh Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad, yang mendedahkan butiran cadangan beliau dan titah Yang di-Pertuan Agong kepada beliau, khususnya yang menyentuh cadangan beliau supaya diwujudkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang mempunyai kuasa penuh untuk mentadbir negara.

Mengikut cadangan Mahathir, Mageran perlu ditubuhkan bagi membolehkan masalah-masalah yang dihadapi oleh negara sekarang seperti masalah wabak Covid-19, masalah ekonomi dan masalah politik diselesaikan seperti mana masalah-masalah yang dihadapi oleh negara selepas Peristiwa 13 Mei 1969 diselesaikan olehnya.

Lebih jauh lagi, Mahathir juga mencadangkan diri beliau untuk mengetuai Mageran ini di atas asas bahawa para pemimpin dalam parti beliau, Pejuang membincangkan dengan mendalam masalah-masalah ini serta mereka dikatakan tahu cara-cara untuk menyelesaikannya tetapi sukar melaksanakannya kerana tidak ada kuasa.

Menariknya, apabila ditanya oleh wartawan apa reaksi Yang di-Pertuan Agong ke atas cadangan beliau supaya ditubuhkan Mageran ini Mahathir menjawab bahawa Baginda tidak menyatakan “tidak” kepadanya tetapi bahawa sebarang cadangan mengenainya mestilah datang daripada kerajaan yang sedang memerintah sekarang.

Titah Yang di-Pertuan Agong ini, jika benar, membuktikan kebijaksanaan Baginda selaku seorang Raja Berperlembagaan sekali gus menafikan pandangan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan seperti Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Zulqarnain Lukman bahawa Mageran boleh ditubuhkan walaupun tanpa cadangan daripada kerajaan.

Masa sama, cadangan Mahathir ini membuktikan betapa kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Marzuki Mohamad, sehari sebelumnya mengenai usaha pihak tertentu supaya ditubuhkan Mageran ini dan mengenai betapa ia tidak perlu adalah sesuatu yang wajar dan bertepatan dengan, malah sebenarnya mendahului, masa.

Seperti yang dijelaskan oleh Marzuki, usaha menubuhkan Mageran ini adalah satu langkah ke belakang yang akan merencatkan perancangan kerajaan untuk memulihkan negara daripada krisis yang sedang kita hadapi pada masa ini, termasuk melalui beberapa mekanisme khusus yang sedia ada untuk menangani wabak Covid-19.

Selain perbezaan ketara suasana sekarang dengan suasana selepas Peristiwa 13 Mei 1969, perlu diingati bahawa, walaupun berada di bawah Mageran pada waktu itu, Seksyen 2(2) Ordinan No 2 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat, 1969 tetap memperuntukkan bahawa pengarah Mageran hendaklah bertindak dengan mengikut nasihat perdana menteri.

Oleh itu, penubuhan Mageran sekarang sememangnya tidak perlu kerana, selain sudah mempunyai beberapa mekanisme khusus, dengan kuasa masih di tangan perdana menteri, ia hanya akan mengendalakan perancangan kerana jika ia wujud pastilah banyak masa akan terbuang sedangkan yang diperlukan sekarang adalah kecepatan dalam bertindak.

Lebih penting lagi, cadangan penubuhan Mageran ini sebenarnya membuktikan dua perkara besar dalam dunia politik negara sahaja, iaitu betapa parti-parti pembangkang sebenarnya amat bercelaru sekali dan betapa Mahathir adalah seorang pemimpin yang, seperti yang pernah dihuraikan oleh Khoo Boo Teik, dipenuhi dengan paradoks.

Ini kerana cadangan penubuhan Mageran ini ditentang oleh beberapa pemimpin pembangkang, yang didahului oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu, diikuti penonjolan mengenai kontradiksi Mahathir yang pada satu masa mahu darurat ditamatkan tetapi pada masa lain mahu pula Mageran, yang bererti penerusan darurat, ditubuhkan.

Inisiatif Yang di-Pertuan Agong adalah terbaik, dan selaku seorang negarawan Mahathir sepatutnya menggunakan ruang menghadap Baginda bukan untuk cuba mendapatkan kembali kuasa kepada diri beliau tetapi beliau sepatutnya menggunakannya untuk berkongsi dengan Baginda cara-cara untuk menyelesaikan masalah-masalah yang beliau ada.

Pada akhirnya, tradisi merujuk kepada rakyat, sama ada melalui ahli-ahli Parlimen atau melalui ketua-ketua parti-parti politik utama negara, serta tradisi melaksanakan musyawarah dengan Raja-Raja Melayu yang ditunjukkan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak syak lagi akan menjadikan institusi ini kekal disanjungi dan dijadikan pengharapan oleh rakyat.

* Kamarul Zaman Yusoff adalah timbalan presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) dan setiausaha Pertubuhan Cendekiawan Negara (Cendekiawan)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow