- Iklan -
Kolum

Jangan biar politik mengganas sebelum imunisasi Covid-19 tercapai

Sejarah kebelakangan tahun ini membuktikan majoriti sidang Parlimen kita sudah menjadi medan drama politik, tempat menghina, menuduh dan mencari keuntungan politik.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Negara kini berada di dalam keadaan parah dari sudut ekonomi dan juga kesihatan gara-gara wabak Covid-19.

Tiba-tiba di waktu ini, suhu politik negara menjadi panas susulan sesi pemimpin parti-parti politik mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah  minggu lalu.

Ada yang mendesak sidang Parlimen diadakan segera.

Akan tetapi sidang Parlimen Malaysia ini bukan tempat berbincang mahupun membahas idea.

Contohnya, dalam hal-ehwal vaksin, apakah ahli-ahli Parlimen kita dapat duduk bersama memikirkan jalan untuk mempercepatkan program mencapai imuniti kelompok?

Atau mereka akan lebih cenderung membangkitkan teori konspirasi mengapa vaksin lambat sampai ke negara kita?

Ataupun dalam hal-ehwal ekonomi, apakah ahli-ahli Parlimen kita dapat berbincang bagaimana caranya untuk membantu rakyat tetapi pada sama tidak melumpuhkan kewangan negara untuk jangka masa yang panjang.

Atau mereka akan lebih cenderung menyerang keputusan kerajaan untuk mencari keuntungan politik?

Sejarah kebelakangan tahun ini membuktikan majoriti sidang Parlimen kita sudah menjadi medan drama politik, tempat menghina, menuduh dan mencari keuntungan politik.

Yang rakyat dapat hanya berita hiburan politik untuk di”troll” setiap hari.

Namun begitu, hak menuntut Parlimen bersidang itu tetap perlu dihormati.

Yang dibimbangi ialah ia menimbulkan satu gangguan yang tidak perlu.

Fokus negara hari ini hanya ada tiga.

Fokus paling utama ialah mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dan menamatkan episod ngeri wabak Covid-19.

Antara syarat yang boleh dikemukakan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin ialah menetapkan status penvaksinan antara syarat untuk melancong, menetap di hotel dan bekerja.

Golongan anti-vaksin tetap akan ada, tapi ia dapat diatasi dengan mengenakan beberapa syarat yang mewajibkan status vaksinasi sebagai kriteria.

Fokus kedua ialah pilihan raya sejurus mencapai imuniti kelompok.

Masalah politik negara perlu diselesaikan melalui pilihan raya, cukup-cukuplah bermain nombor sokongan dan akuan surat bersumpah yang berubah setiap masa.

Dengan adanya kerajaan yang stabil barulah agenda ketiga iaitu memulihkan keadaan ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan khusus.

Menjaga air muka mana-mana pihak tidaklah penting.

Yang penting ialah melakukan apa yang betul untuk negara meskipun terpaksa berdepan dengan emosi anak-anak buah, yang berkisarkan kepentingan diri dan bukannya kepentingan negara.

Jangan biar politik mengganas sebelum imunisasi Covid-19 tercapai jika betul sayangkan Malaysia!