- Iklan -
Kolum

Bangsa menangis cendekiawan Melayu mati

Negara ini sedang amat memerlukan bimbingan dan panduan daripada cendekiawan Melayu.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Sukar untuk kita menyangkal bahawa negara ini sedang berada di ambang petaka yang sungguh mala, dan semua petunjuk yang ada menjurus ke arah nahas dan kemalangan maut.

Sekarang, soalan yang perlu kita hadirkan ialah; di mana, di mana cendekiawan Melayu?

Di manakah intelektual, sasterawan, pemikir, seniman dan juga budayawan Melayu?

Di manakah mereka? Apakah yang terjadi kepada mereka? Sudah matikah mereka?

Jika kita merujuk kepada buku karangan Azhar Ibrahim (2014), kita akan mendapati inteligensia Melayu, selalu dan tidak pernah lekang untuk bangkit dan bersuara dalam keadaan krisis.

Ketika penjajahan melanda umat Melayu, Munshi Abdullah membawa persoalan feudalisme yang mencekam bangsa untuk dinilai kembali.

Di saat negara dilanda pembangunan materi yang tidak seimbang dengan pembangunan rohani, kita melihat Shahnon Ahmad hadir menyingkap segala kecuaian batin seraya memihak kepada massa Melayu.

Kita mendengar dan menekuni Rustam A Sani yang mengusahakan manusia Melayu Baru.

Di masa yang sama, Syed Hussein Alatas berjuang dan menjaguhi umat dengan cara menyanggah watak dan minda tertawan.

Malah nama-nama di atas hanyalah secuil yang ada.

Jika kita lebih berwaspada kita akan menemukan nama seperti Ahmad Boestamam, Khatijah Sidek, dan Kassim Ahmad.

Ketika Malaysia berdepan ribut untuk merebut kemerdekaan, kita juga tidak pernah tandus oleh cendekiawan Melayu seperti Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Usman Awang (Tongkat Warrant), Abdul Wahab Muhammad (Awam II-Sarkam), Abu Yazid Abidin (Wijaya Mala), Mohd Asraf Abdul Wahab (Asraf), dan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad).

Tidak mengapalah jika ada yang lebih nasionalis, atau ada pula yang kiri dengan acuan sosialis.

Bahkan ada cendekiawan Melayu ini dengan berani juga menawarkan gagasan komunis.

Semua, aneka idea dan lontaran gagasan itu disimbah dan dicurahkan kepada bangsa untuk memberi penyelesaian ketika negara berada di simpang nahas.

Pendek kata, bangsa kita tidak pernah kering kemarau oleh pengarang yang turun berkincah menyumbang idea untuk nusa bangsa.

Nama mereka lekat dalam sejarah kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan tanah air kerana mereka tidak pernah lelah berhujah.

Ada Za’ba, ada Ungku Aziz, Hassan Ahmad atau juga ada Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Dalam debat, memang ada yang terungsi malah terpinggir, tetapi mereka telah pun berdiri dan memberi.

Sepenuh hati dan secukup berani.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan sesetengah mereka, akan tetapi percayalah kita gembira kerana mereka memberi dan merespon.

Mereka menghantar reaksi. Mereka celik. Tiada yang bisu. Tiada yang gamam. Tidak ada seorang pun yang lena.

Semua rasa ingin ikut terheret dalam krisis bukan kerana mereka itu gemar bercekcok tetapi kerana rasa amat bertanggungjawab.

Mereka turun dalam lapangan masing-masing, baik seni, budaya, pendidikan, falsafah, ekonomi mahupun siasah.

Pokoknya mereka mencambah, menebar, membaja, membesarkan pohon bangsa supaya nanti generasi akan datang beroleh manfaat buah-buahnya yang ranum.

Biarlah mereka bertingkah kadang bergundah tetapi mereka mahu bersusah payah.

Kita memiliki sejumlah khazanah bangsa untuk ditekuni hari ini kerana mereka hidup, mereka menghidupkan, mereka bergulat dengan kehidupan. Nama mereka tidak mati-mati.

Jika kita menekuni pekik hamun inteligensia Melayu baik ketika negara dijajah, atau ketika negara ini di ambang kemerdekaan; dan kemudian ketika kita mengecap nikmat berdikari; sentiasa ada cendekiawan bersuara memberi panduan dan menyuluh dengan obor.

Di saat negara berdepan krisis kepimpinan dan keperluan untuk menyumbang tenaga bagi membangunkannya, kita terus memberikan sekian nama yang tidak henti mengalir.

Semua itu terjadi bahkan ketika negara ini belum banyak universiti, malah ketika negara ini tidak banyak sekolah; atau ketika lebih ramai yang buta huruf daripada yang mengerti; tetapi mereka tidak pun sedikit lesu melangkah dan memberi pesan-pesan yang pelbagai.

Bangsa digerakkan keluar dari kejahilan.

Namun demikian, kita tidak perlu bertikai di sini, negara ini, sebuah negara dikongsi pelbagai bangsa dan kepercayaan sedang tercedera parah kerana krisis kepimpinan.

Negara ini sedang amat memerlukan bimbingan dan panduan daripada cendekiawan Melayu.

Kita memerlukan suara ramai yang berkelahi untuk meletakkan panduan dan pedoman bagaimana caranya untuk kita memberi jalan keluar kepada umat yang sedang sesak, kelemasan, nanar, malah ada yang demikian nazak menjerit-jerit meminta bantuan dan pertolongan.

Semua itu di kala fungsi kepimpinan dan pemerintah yang kononnya payung dan perlindungan sudah mengkhianati umat.

Semua itu di saat agamawan yang sepatutnya memberi hemah, akhlak dan kebudimanan ikut sama berkendak dengan penjahat dan penyangak.

Negara mengalami korupsi dan korupsi menguasai negara.

Sebuah negara yang dipanjat korupsi dan dililit oleh penyelewengan adalah negara yang ketiadaan bijak pandai menyurat amanah dan pesan.

Sudah dikambus bumikah cerdik pandai kita?

Di manakah sekian ramai mahaguru di menara gading negara ini?

Mengapakah mereka diam seribu bahasa keabadian dalam kesetiaan kepada kuasa yang kian melindas bangsa?

Mengapakah sekian ramai sasterawan (baik yang mahu mengaku diri sasterawan atau tidak) tidak menyalurkan petunjuk dan neraca yang harus digunakan ketika bahtera umat senget akan karam di laut luas terbentang penuh gelora?

Bagaimana pula seniman dan budayawan yang sepatutnya merupakan pemberdaya bangsa dan umat hanya memilih untuk melihat di tebingan dan membiarkan anak-anak bangsa mencungap dan tangannya terlonjak-lonjak di permukaan air sambil kepala panggung muncul sekali-sekala tersedak merintih berteriak memanggil-manggil agar diselamatkan.

Padahal kita sudah banyak universiti.

Padahal universiti kita tersenarai dalam kandungan dunia.

Padahal sekolah kita terpuji lagi terpuja.

Padahal sastera kita sudah khabarnya mendunia.

Padahal karyawan seni kita konon sudah menyinggung yang di Timur dan Barat.

Padahal segala mahaguru terulung atau profesor terVK7/8/9 sudah menempa pelbagai pingat dan petikan terindeks sebagai ilmuan tersohor dalam bidang masing-masing. Sudah mampuskah mereka?

Akan tetapi siapakah yang benar kita perlukan di saat ini, di manakah mereka, dan jika mereka bernyawa; apakah solusi dan pilihan yang mereka tawarkan?

Tidak mengapalah andai kita tidak bersetuju dengan idea itu, tetapi di manakah mereka?

Mengapakah kita meletakkan nasib umat di tangan sejumlah pemimpin yang sama sekali tidak peduli dengan masa depan kita?

Kita mendambakan pedoman dari mereka yang bergelumang dalam ilmu.

Kita menagih kebijaksanaan mereka.

Sasterawan, seniman, mahaguru dan budayawan seharusnya adalah guru.

Seorang guru mengajar bangsa tanpa sedikit pun terhenti penat.

Kita kononnya ada ramai cerdik pandai.

Akan tetapi kita tidak dapat menyebut pun satu nama.

Tidak ada satu nama untuk betul-betul disandarkan.

Tidak ada satu pesan atau gagasan dapat diperkenalkan.

Umat tidak lagi memerlukan pelan orang politik kerana mereka – politikus – saban hari detik demi saat menindas kita.

Kalau ribut badai, taufan menyerbu; payung sepuluhkaki pun malah ditiup pelesit angin bergulung.

Itu sebab kita lencun, basah tambah terdedah disambar kilat petir.

Umat memerlukan cendekiawan Melayu.

Bangsa menangis cendekiawan Melayu mati.

Demikianlah parah negara ini.