Masalah pertama Malaysia ialah wabak Covid-19 yang mengganas dan bekalan vaksin yang lambat.
Disebabkan masalah pertama, Malaysia menghadapi masalah kedua iaitu masalah ekonomi kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bersiri-siri.
Untuk menyelesaikan masalah pertama dan kedua, Malaysia memerlukan satu suasana politik dan kerajaan yang stabil supaya perhatian sepenuhnya dapat diberikan untuk menyelesaikan masalah Covid-19 dan juga ekonomi.
Di sini datangnya masalah ketiga iaitu Malaysia mempunyai suasana politik yang sangat tidak stabil.
Pilihan raya umum adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan masalah politik negara.
Namun Pilihan Raya Negeri Sabah membawa pengajaran besar bahawa ia akan menyebabkan wabak Covid-19 merebak secara tidak terkawal sehingga terjadi apa yang berlaku pada hari ini.
Masalah politik negara menyebabkan kerajaan yang ada tidak stabil.
Oleh itu, sukar untuk kerajaan melakukan apa-apa inisiatif secara terus melawan wabak Covid-19 jika segala inisiatifnya perlu dibahaskan terlebih dahulu.
Di sini timbul satu persoalan penting, apakah pada waktu kritikal, kerajaan masih perlu lebih mementingkan semak dan imbang bagi memastikan perbelanjaan wang rakyat berjalan dengan cara yang betul sebelum satu-satu inisiatif dilaksanakan, atau inisiatif perlu dilaksanakan segera tanpa ditunggu?
Yang mana seharusnya menjadi keutamaan kerana sememangnya perbezaan pendapat itu akan timbul.
Bayangkan jika bantuan PKP untuk menjaga ekonomi rakyat dan negara serta perbelanjaan vaksin perlu dibahas dan diundi setiap kali perlaksanaannya, apakah yang akan berlaku?
Semua orang mengakui bahawa kerajaan yang ada kini tidak stabil kerana ada ahli Parlimen Umno yang sudi menulis surat kepada Agong untuk memberi sokongan kepada pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim.
Oleh itu, setiap kali sesi mengundi mungkin akan terjadi krisis politik jika ada blok parti dalam kerajaan yang memilih untuk tidak bersependapat dengan kerajaan sehingga boleh menyebabkan pilihan raya umum terpaksa diadakan.
Dan jika pilihan raya umum terpaksa diadakan seperti di Sabah, apakah yang terjadi kepada jangkitan Covid-19?
Ngeri bayangannya.
Perlu diingat, pilihan raya umum mungkin juga akan menghasilkan Parlimen tergantung yang bakal merumitkan jalan Malaysia untuk keluar daripada kemelut Covid-19.
Bagi yang terfikir untuk menukar kerajaan di tengah jalan tanpa pilihan raya, apakah pernah terfikir bahawa kerajaan itu pastinya jauh lebih tidak stabil daripada kerajaan yang ada sekarang?
Dan ketika itu, tiada sesiapa yang akan pedulikan Covid-19 mahupun program pemulihan negara, mereka hanya akan sibuk saling berebut kuasa, lebih hebat daripada apa yang sedang berlaku sekarang.
Percayalah perkara yang saling bertentangan tidak mungkin dapat dilaksanakan serentak.
Kita terpaksa memilih antara satu.
Biarkan kerajaan yang sedia ada melaksanakan program vaksin dan pemulihan sehingga situasi sesuai untuk diadakan pilihan raya, atau usah pedulikan Covid-19 dan terus bubarkan Parlimen dan biar rakyat memilih kerajaan baru untuk membuat agenda pemulihan yang baru.
Pilihan mana yang dapat lebih menjamin kita, ahli keluarga kita, sahabat handai kita dan orang tersayang kita dapat lagi berjumpa, bersalam dan berpeluk di masa depan?
Tepuk dada, tanya naluri sendiri.
Rasional akan mengatasi hati yang menghukum badan sendiri dengan perasaan marah.