- Iklan -
Kolum

Kulleh Grasi Leka Main

Untuk orang luar dari Sarawak, Leka Main adalah puisi rakyat Iban yang mana Leka bererti bait puisi manakala kata Main digunapakai untuk menggambarkan kerehatan dan juga kesenangan.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Menatap puisi-puisi karya Kulleh Grasi penyair Sarawak memerlukan penelitian yang mendalam tentang dunianya.

Kulleh Grasi.

Kulleh masih agak segar dalam dunia kepenyairan di negara ini, tetapi sudah melangkah agak jauh.

Bermula dengan beberapa sajak yang terbit di Naratif | Kisah (2016), kumpulan puisi dwi bahasanya; “Tell Me Kenyalang” (2019) terbitan Circumference Books, di New York membolehkan karyanya kemudian muncul di celah Poetry Society Of America.

Ia sempat diperhati dan dicalonkan untuk BTBA American Best Translation Book Award 2020 dan National Translation Award 2020 oleh ALTA American Literary Translation Association.

Terima kasih tentunya kepada Pauline Fan yang melakukan kerja terjemahan demikian cemerlang.

Ada beberapa aspek yang mencengangkan pada kerja-kerja Kulleh yang membuatkan saya serta-merta jatuh cinta.

Saya kira, puisi-puisi moden Kulleh ini demikian kuat akarnya pada dunia dan jati diri Kulleh.

Malah aroma Leka Main terlalu melekat membuatkan saya sempat terbuai dalam setiap bait kata puisinya.

Oleh sebab saya menebak-nebak adanya apungan bau Leka Main itu, puisi Kulleh bukan sekadar buaian rasa dan khayal imaginasi yang mengada.

Puisi Kulleh justeru kerana ia tumbuh dari Leka Main memiliki tiga fungsi bermakna yang memang ada pada genre puisi tradisional tersebut, tetapi terangkat menjadi kerja moden yang bergaya dan tiba penuh eksotik di benua Amerika.

Pengkaji sastera tradisional biasanya akan mengetahui tiga peranan Leka Main yang berguna.

Pertama ia bertugas sebagai suara menstabil emosi dan sosial dengan pecahan genre pantun, renong semain, sugi, pelandai ara dan karung, jawang, ramban, sanggai, dan ensera.

Leka Main selain itu menjadi suara adat di mana ia diucapkan dalam acara budaya Iban sebagai renong adat, geliga, naku pala, tanya indu, pantun meri ngirup, pantun peransang, ai ansah dan ganu nyambut temuai.

Terakhir, Leka Main adalah satu komponen penting dalam upacara dan ritual masyarakat Iban yang mana bersentuhan langsung dengan sistem kepercayaan mereka melibatkan antara lain; pelian, sabak, timang, sampi, pengap, dan sugi sakit.

Makanya melihat dan membaca puisi Kulleh Grasi menempa-menempa Leka Main amatlah mengesankan, khusus kerana Kulleh barangkali mahu menjadikan karya seni latar tempatan ini dapat merentang survival sambil mengabadikan suara hatinya sebagai satu tradisi hibrid.

Untuk orang luar dari Sarawak, Leka Main adalah puisi rakyat Iban yang mana Leka bererti bait puisi manakala kata Main digunapakai untuk menggambarkan kerehatan dan juga kesenangan (lontaran hiburan).

Gabungan Leka Main memberikan satu puisi tradisional yang bertujuan seperti di atas.

Leka dalam hal ini bukanlah bermaksud lalai, dan Main pula bukan pula bermaksud main-main, melainkan terdapat pesan dan amanat yang bermanfaat dalam Leka Main.

Atas sebab inilah saya cepat terpikat dengan karya Kulleh.

Penyair muda dari Semenanjung saya perasan kebanyakan mereka amat terpisah, kontang, lesu dan tidak berbumbukan puisi tradisi bila karya. Kadang amat yang diucap serasa meraba. Kulleh lain. Dia mencipta dari Leka Main, akar puisi rakyat Iban.

Justeru membaca puis Kulleh dalam “Tell Me, Kenyalang” serasa bagai menonton ritual tatkala gawai, ucapan dan pujaan kepada Dewata dan terngiang-ngiang lagu puisi Kulleh bagai memohon keberkatan dan penyembuhan.

Ia membentuk kesan estetika yang unik dan khas.

Sudah tentu Leka Main adalah tradisi lisan, dan merupakan warisan daripada kehidupan primitif yang sarat kepercayaan animisme atau pagan.

Akan tetapi di tangan Kulleh, ia berbaur dengan suara seorang guru sekolah di zaman moden yang resah dan mengharap agar mimpinya menjadi nyata, dan keinginan serta cita-citanya dapat membawa dia keluar dari perangkap yang mencegat.

Sungguh menghiburkan melihat Kulleh menguasai kemahiran bermain dengan kata-kata seakan seorang landik bejaku (sang pandai berkata-kata) masa kini. Ini terlihat dalam puisi “Jangan”:

“Sera Gunting bercerita dengan Aki
sumbang mahram itu akil
pada rerambut dara kudus
di atas tubuhnya
Jangan caci
Jangan caci.”

Seperti Leka Main, puisi-puisi Kulleh seakan mempakej kembali mitos dan alam Iban yang asing buat mereka di Semenanjung dengan pesan hal-hal ketuhanan berbaur mitos (yang tidak keterlaluan). Ini terhimbau dalam karya “Ibun”:

“Nama puji nama berani
Inik Andan Rabong Menua
Inik Indi Rabong Ari
menyampai tirakat
duka murka masih di dada
Terlarang kasih Sera Gunting
dan sunti si Endu Chempaka Tempurung Alang
jangan diulangi lagi.”

Juga pesan keadiwiraan seperti terkesan dalam puisi “Manjong”;

“kepala musuh yang dijulang,
dihirup ai jalong,
lekapadi dari tanah adan
tujuh kali kau manjong,
tangan kanan mengayau,
kiri kau dakap,
puncak naluri,
hujan panas.”

Karya puisi Kulleh adalah padanan kehidupan seharian masyarakat Iban masa ini-silam.

Di beberapa tempat Kulleh mengambil peran lemambang (penyair liturgikal).

Di satu dua puisi lain pula Kulleh seakan pelafaz pengap (mantera), iaitu genre puisi Iban tradisional yang dominan dalam temasya gawai.

Di satu dua tempat lain, Kulleh bagai pelontar pelian, yakni puisi yang digunakan untuk merawat orang sakit dan melindungi diri daripada antu (hantu), atau gangguan bunian.

Membaca “Tell Me, Kenyalang” kita bak dibawa menjadi tetamu di sebuah rumah panjang yang dalam debar menanti-nanti apakah kita akan diajak sama menyertai upacara miring atau biau (ritual yang dilangsung dengan iringan doa), sampai asyik kerasukan di sela sampi (puisi doa).

Kita bagai terlihat Kulleh selaku lemambang moden sedang melenggangkan seekor ayam jantan di atas kepala para khalayak yang berada di ruai.

Sayang sekali “Tell Me, Kenyalang” terlalu nipis dan mengamatnya serasa tidak puas.

Baru hendak suntuk, mendadak santak.

Pun, kecekapan Kulleh menggubah Leka Main menjadi tukangan puisi moden dengan ungkapan dan bait dari segi bunyi, rentak, diksi, tekanan dan perulangan menjadi kekuatan awal Kulleh.

Memang serasa muda dan pucuknya penyair ini di banyak tempat.

Kulleh masih muda, masa untuknya membina kepenyairan masih jauh dan panjang.

Saya yakin perlahan-lahan beliau akan mencipta pelbagai ensera yang megah dan menjanjikan di masa hadapan.

Kulleh adalah penyair muda paling wajar diperhatikan dekad ini.

Lebih hebat ialah Kulleh sebagai seorang penyair Malaysia, memilih menulis dalam bahasa kebangsaan, dan dengan tampalan dialek serta bahasa lokal; beliau menjadi seorang penyair yang sungguh khas lagi istimiewa.