Nampaknya, Abdul Rahman Dahlan ini menulis dalam skop yang sempit.
Melihat dan berfikir terkepung dalam konteks negara Sabah (merdeka sebelum menyertai Malaysia).
Beliau gagal melihat dalam kepentingan seluruh Malaysia.
Mengapa melihat Bersatu sebagai musuh?
Sepatutnya melihat Bersatu sebagai rakan di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Mengapa melihat kejayaan kerajaan PN dalam menghadapi kemelut sekarang hanya menguntungkan Muhyiddin semata-mata?
Mengapa tidak mentafsirkan, kejayaan itu adalah milik bersama komponen di dalam kerajaan PN?
Bukankah dengan kejayaan itu nanti, adalah menjadi modal untuk dijualkan kpd rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?
Biarpun, parti-parti komponen ada produk jualan mereka, seperti Umno dengan Melayu dan Raja.
PAS menjual produk Islam ala PAS.
Berfikiran sempit yang diselaputi kepentingan diri seperti itu, akan merugikan dan melemahkan parti serta kerajaan.
Memang ramai pemimpin Umno yang berfikiran seperti beliau, kerana tewas semasa PRU14.
Sekiranya kerjasama antara Barisan Nasional (BN)-PN kekal, maka mereka tidak akan dapat bertanding pada PRU15 nanti di kerusi yang mereka tewas dalam PRU14.
Rahman nampaknya lebih suka menembak rakan sendiri daripada menembak musuh.
Ini perhitungan dari pemikiran yang bercelaru lagi tersesat di rimba nafsu.
Atau boleh dikatakan seperti bidalan, “membaling batu dari dalam rumah kaca”.
Beliau tidak menyedarikah, bahawa Muhyiddin melantik seorang timbalan perdana menteri dari Umno dan terus mengekalkan seorang dari empat menteri kanan dari Umno.
Tidakkah itu sebagai petunjuk, bahawa Umno akan mewarisi jawatan perdana menteri, sekiranya apa-apa berlaku terhadap Muhyiddin?
Nampaknya, Rahman kurang arif terhadap sejarah perjalanan dan usia parti di Malaysia, tegasnya di Semenanjung.
Parti di Semanjung, menjadi asas kepada pembentukan kerajaan Malaysia.
Sekiranya beliau arif tentang politik Malaysia, tentulah dia tidak melihat Bersatu sebagai musuh, yang perlu diperangi pada masa ini.
Lebih-lebih lagi semasa kerajaan bergelut memerangi musuh utama iaitu Covid-19.
Politik Malaysia membuktikan, bahawa parti-parti yang tiadaa “state base”, akhirnya akan berkubur dan tercampak ke tong sampah sejarah.
Banyak contohnya, Berjasa, Semangat 46 dan lain-lain.
Termasuk PPP dan Gerakan yang sudah nyawa-nyawa ikan.
Sedangkan PPP pada suatu masa di bawah DR dan SP Sinavagam sangat berpengaruh di Perak.
Gerakan mendapat Pulau Pinang sejak 1969 dan tumbang pada 1998.
Memang benar, bahawa DAP sebelum mendapatkan Pulau Pinang sebagai state base, dapat bertahan dari 1969 hingga menguasai negeri itu pada 2008.
Mengapa begitu?
Sebenarnya, DAP punyai “base” di bandar-bandar besar, itu juga seolah-olah state base DAP.
Biarpun Bersatu mendapat kerusi ketua menteri Sabah, tapi Sabah bukan state base kepada Bersatu.
Semasa pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini Bersatu hanya memenangi 11 kerusi.
Jadi Bersatu sebenarnya lebih lemah kalau dibandingkan dengan Umno Sabah yang memenangi 14 kerusi.
Bersatu sebagai rakan di dalam kerajaan tidak perlu digempur.
Bersatu tiada kekuatan sebenarnya.
Sebagai sebuah parti, ianya bukan sahaja tidak punyai akar tunjang, malah akar serabut pun belum selilit batang.
Kekuatan Bersatu sekarang, hanyalah pada kuasa yang ada pada Muhyiddin.
Bila Muhyiddin melepaskan jawatannya nanti, maka secara automatik, Bersatu akan menjadi lemah.
Apatah lagi di dalam Bersatu ada golongan Ansar dan Muhajirin.
Golongan Muhajirin pula terbelah dua.
Satu kabilah daripada bekas Umno yang dipimpin bersama oleh Hamzah Zainudin dan Abdul Latiff Ahmad.
Manakala satu kabilah lagi dari bekas PKR yang dipimpin oleh Mohamed Azmin Ali.
Inilah bacaan-bacaan politik yang perlu ditelaah oleh Rahman, supaya fikiran bebalnya itu tidak tertulis, yang boleh membawa kerugian kepada kerajaan yang ada.
Malah akan turut merugikan Umno pada masa hadapan.
Saya menyebut Rahman Dahlan kerana difahamkan tulisan dari seorang ahli Majlis Tertinggi Umno yang tidak bernama itu adalah beliau.
*Kamarazaman Yacob merupakan aktivis mahasiswa 1970-an.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow