- Iklan -
Rencana

Jangan abaikan pekerja asing, penduduk tidak bernegara ketika pandemik Covid-19

Nyawa manusia dan usaha membendung virus seharusnya menjadi perhatian utama berbanding dokumen pengenalan diri seseorang ketika krisis pandemik.

Mohideen Abdul Kader
2 minit bacaan
Kongsi
Warga asing tanpa dokumen ditahan dalam serbuan di Cyberjaya. Gambar: Bernama
Warga asing tanpa dokumen ditahan dalam serbuan di Cyberjaya. Gambar: Bernama

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk jangan abaikan kesengsaraan dua segmen penting komuniti – pekerja warga asing yang tidak berdokumen dan penduduk Malaysia yang tidak bernegara – atas dasar kemanusiaan serta keprihatinan bagi akses mereka kepada penjagaan kesihatan dalam masa yang sukar ini.

Dilaporkan bahawa lebih daripada 1,000 orang pekerja asing ditangkap pada Mei 2020 oleh pihak berkuasa semasa perintah kawalan pergerakan (PKP). Mereka yang ditangkap ini ditempatkan di pusat tahanan yang sesak yang kemudiannya menjadi tempat penyebaran Covid-19.

Serbuan seperti itu yang dijalankan terhadap pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen mencetuskan kebimbangan dan ini boleh menyebabkan mereka bersembunyi, oleh itu akan memburukkan lagi keadaan kehidupan mereka yang tidak menentu dan akses kepada penjagaan kesihatan yang akan menyumbang dengan kepada penyebaran virus secara ketara.

Walaupun didakwa bahawa ia adalah sebahagian daripada pendekatan bersasar kerajaan untuk memeriksa mereka bagi Covid-19 di pusat tahanan, ia kelihatan tidak meyakinkan mereka terhadap niat kerajaan. Tambahan pula, virus kini merebak dengan cepat dalam persekitaran sesak di pusat tahanan.

Kami menggesa kerajaan memberikan pengampunan sebenar kepada pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen ini untuk menggalakkan mereka mendaftar untuk vaksinasi. Pada pertengahan Februari 2021, kerajaan mengumumkan pendatang tidak berdokumen tidak akan ditangkap semasa program vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran.

Bagaimanapun, pada 29 Mei 2021, kementerian dalam negeri (KDN) menarik balik keputusan itu, berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mula menangkap mereka dan mengenakan denda terhadap pekerja haram selepas 30 Jun 2021. Sejak pengumuman itu, banyak serbuan dijalankan.

Pada pendapat kami, ancaman penangkapan dan mengenakan denda terhadap pekerja pendatang haram akan mendorong mereka bersembunyi dan mewujudkan ketidakpercayaan kepada pihak berkuasa disebabkan keputusan dengan perubahan tiba-tiba (flip-flop).

Kenapa tidak kerajaan, sebagai ganti membawa masuk pekerja asing yang baru, memberikan pengampunan kepada pekerja asing tidak berdokumen yang sedia ada untuk mereka memohon bagi dokumentasi yang lebih sempurna untuk memperoleh pekerjaan.

Satu lagi kumpulan yang dilupakan ialah penduduk Malaysia yang tidak bernegara yang tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia atau sijil kelahiran. Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat anggaran 12,400 daripada mereka dari Malaysia Barat sahaja pada 2017.

Penduduk tidak bernegara di Malaysia Timur terdiri daripada Bajau Laut, kanak-kanak Filipina dan pekerja warga Indonesia, kanak-kanak jalanan/rumah kebajikan dan penduduk asal nomad tidak diketahui.

Mereka ini tidak mempunyai dokumentasi yang sempurna dan oleh sebab itu dinafikan hak asas untuk pendidikan, pekerjaan, dan malah penjagaan kesihatan yang mana salah satu daripadanya adalah vaksinasi Covid-19.

Kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada kerajaan untuk menangani isu berkaitan pekerja warga asing yang tidak memiliki dokumen dan penduduk tidak bernegara ini dengan belas kasihan serta untuk menyelamatkan penduduk dan ekonomi sebaik mungkin.

Memandangkan kita kini hidup dalam masa yang belum pernah terjadi sebelumnya, kita seharusnya berhenti untuk mempertimbangkan sama ada status imigresen seseorang itu, mengatasi kedudukan mereka sebagai seorang manusia.

Nyawa manusia dan usaha membendung virus seharusnya menjadi perhatian utama daripada dokumen yang dipegang oleh seseorang itu, dalam keadaan situasi yang sukar ini.

Keprihatinan yang menyeluruh di sini bermaksud setiap nyawa adalah penting.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow