Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mensasarkan 100% populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada Oktober 2021.
Ini adalah mesej yang memberi harapan dan satu bayangan kepada rakyat bahawa matahari akan terbit.
Sebelum ini, pengumuman harian kerajaan mengenai jumlah jangkitan Covid-19 yang saban hari meningkat meskipun pelbagai inisiatif dilakukan sangat bersifat “doom and gloom”.
Tapi semenjak minggu lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mula mengubah cara pengumuman.
Kini, jangkitan Covid-19 diumumkan berdasarkan lima kategori iaitu kategori satu tidak bergejala, kategori dua bergejala ringan, kategori tiga jangkitan paru-paru, kategori empat jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen, dan kategori lima jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator.
Ini memberikan kelegaan kerana data menunjukkan lingkungan 3 hingga 5% sahaja kes jangkitan harian yang bersifat kategori tiga ke atas.
Selain itu, carta kementerian kesihatan juga mendapat nafas baru apabila kadar vaksinasi dimasukkan sebagai data utama di bahagian atas bagi menunjukkan berapa ramai rakyat yang kini dilindungi dengan satu dos atau dua dos vaksin.
Lebih hebat, kadar vaksinasi negara adalah antara yang tertinggi di dunia pada hari ini.
Setakat 17 Julai 2021, seramai 9.6 juta, atau 30% rakyat Malaysia mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 4.4 juta, atau 14% rakyat Malaysia lengkap dua dos vaksin.
Ini adalah peningkatan lima kali ganda berbanding kadar vaksinasi kebangsaan pada 1 Jun 2021.
Kecekapan kerajaan di dalam memberikan vaksinasi turut mendapat pujian daripada media di Australia.
Bayangkan apakah yang berlaku jika bekalan vaksin yang dibeli kerajaan sampai lebih awal?
Sudah tentu kerajaan PN menghabiskan masa memerah otak untuk mengekang wabak Covid-19 dengan melaksanakan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan yang menyusahkan rakyat dan ekonomi yang mengundang kemarahan rakyat.
Dari sudut politik, sudah tentunya pihak yang berkepentingan diri tidak dapat mengambil kesempatan untuk mengugut kerajaan PN yang bermajoriti tipis.
Ketika wabak Covid-19 mula melanda tahun lalu, kerajaan PN juga menunjukkan kecekapan untuk mengawal wabak Covid-19 menular.
Malangnya, kejayaan mengawal Covid-19 tahun lalu disambut dengan kelekaan orang politik yang menyebabkan terjadinya Pilihan Raya Negeri Sabah dan juga rakyat sendiri yang terasa diri sudah selamat daripada Covid-19 yang akhirnya menyebabkannya menular ke seluruh negara.
Kecekapan kerajaan PN melaksanakan program imunisasi kebangsaan perlu diberi galakan dan ruang secukupnya agar misi PM yang mensasarkan 100% populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin pada Oktober 2021.
Ahli-ahli politik yang ingin menumbangkan Muhyiddin kerana mendakwanya kehilangan populariti dan majoriti sepatutnya gembira dengan sasaran ini.
Ini kerana PM sendiri sedang “menggali kubur” dengan menyediakan situasi yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum sebelum 2021 berakhir bagi musuh politiknya menumbangkannya secara selamat melalui demokrasi.
Tidak cukup “gentleman” lagikah PM ini?