- Iklan -
Rencana

Kejayaan program vaksinasi, bakul makanan padah buat pembangkang

Setiap kali kluster baru tercetus akibat perbuatan rentas negeri, si pelaku akan dipersalah dan dikecam tetapi tidak seteruk kecaman ke atas kerajaan.

Saladin Hassan Saleh
4 minit bacaan
Kongsi
Bakul Prihatin Negara dilaksanakan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi seluruh ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di kawasan masing-masing. Gambar: Bernama
Bakul Prihatin Negara dilaksanakan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi seluruh ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di kawasan masing-masing. Gambar: Bernama

Pada 16 Julai lalu sejumlah 4,839 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba merentas negeri dipercayai untuk balik ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha. Mereka dipercayai menggunakan surat kebenaran rentas negeri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Perkara ini sudah diduga akan berlaku setiap kali menjelang musim perayaan walaupun negara masih berada dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara. Jelaslah apa yang berlaku ketika sambutan Aidilfitri yang lalu tidak pernah mahu dijadikan iktibar.

Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Mei lalu, aktiviti rentas negeri telah mencetuskan 36 kluster Covid-19  melibatkan sebanyak 1,109 kes positif dalam kluster-kluster tersebut hasil saringan ke atas 4,047 individu dengan kadar positiviti 25.1%. Jangkitan itu turut menyumbang kepada kematian sebagaimana berlaku di Kelantan dan Terengganu apabila ada kes yang mana satu keluarga dijangkiti dengan virus tersbut.

Kerajaan sudah banyak kali belajar dan memperoleh pengajaran daripada apa yang berlaku pada sambutan lebaran lalu. Setiap kali tercetusnya kluster baru akibat perbuatan rentas negeri ini, si pelaku akan dipersalah dan dikecam tetapi tidak seteruk kecaman ke atas kerajaan. Apa sahaja yang berlaku akibat pandemik ini, kerajaan sahaja dipersalahkan.

Samalah dengan apa yang berlaku sekarang ini. Kerajaan terus dipersalah dan dicap sebagai kerajaan gagal hanya kerana kes jangkitan yang naik mendadak sedangkan fenomena ini berlaku di seluruh dunia akibat serangan terbaharu gelombang ketiga Covid-19. Malaysia juga tidak terkecuali.

Ketika ini berpuluh-puluh negara di dunia yang sebelum ini sudah seperti mahu kembali kepada kehidupan biasa seperti dahulu, mengenakan semula perintah berkurung, darurat atau perintah kawalan pergerakan dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat akibat peningkatan luar biasa terutama kes jangkitan varian terbaharu yang lebih bahaya.

Tidak perlu pergi jauh, lihatlah apa yang berlaku di negara-negara sekeliling dan berdekatan Malaysia. Di Jepun sebagai contoh, peningkatan kes memberi tekanan kepada sistem kesihatan di negara tersebut. Kelengkapan katil di unit rawatan rapi (ICU) kebanyakan hospital tidak mencukupi, malah ada hospital sudah tidak mahu menerima pesakit sehingga terpaksa di hantar ke hospital di wilayah lain. Pesakit-pesakit umum seperti mangsa kemalangan jalan raya dan serangan jantung juga tidak dapat diterima lantaran terlalu ramai pesakit Covid-19.

Singapura pula mengeluarkan peringatan tegas kepada penduduknya yang masih belum menerima vaksin dan warga emas agar hanya duduk di rumah dalam tempoh beberapa minggu ini. Sebanyak 88 kes jangkitan terbaharu dikesan Ahad lalu yang berpunca daripada kluster bar dan pusat karaoke. Sebagai langkah pencegahan juga, republik itu mengarahkan semua pasar basah dan makanan laut ditutup serta-merta.

Pakar-pakar kesihatan awam Myanmar pula menjangka 50% daripada 55 juta penduduk negara itu berhadapan dengan ancaman jangkitan varian Alpha dan Delta dalam tempoh tiga minggu. Malah mereka tidak menolak kemungkinan jika perkara ini berlaku, jumlah rakyat negara tersebut boleh berkurangan antara 10 hingga 15 juta orang apabila pandemik ini berakhir. Para pesakit Covid-19 di negara itu juga berhadapan dengan kekurangan balang dan bekalan oksigen yang kritikal.

Indonesia pula merekodkan lebih banyak kes harian berbanding India sejak akhir-akhir ini sekali gus memintas India  sebagai pusat jangkitan pandemik Covid-19 di Asia. Negara itu juga berhadapan dengan tekanan yang boleh melumpuhkan sistem kesihatan negara. Situasi sebenar di negara itu mungkin lebih buruk kerana ujian saringan Covid-19 tidak dijalankan secara besar-besaran. Satu survei yang dijalankan menunjukkan lebih separuh daripada 10.6 juta penduduk Jakarta dijangkiti virus tersebut.

Hanya kerana angka jangkitan meningkat walaupun tidak seteruk negara-negara jiran lain, kepimpinan negara dituduh gagal. Kumpulan ini yang diketuai oleh pemimpin parti pembangkang dan segelintir pemimpin Umno yang gila kuasa bagimanapun mengambil sikap memejam mata dan menutup telinga kepada kejayaan kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif bagi membantu rakyat untuk keluar daripada pandemik ini.

Semenjak Covid-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan berbagai-bagai pakej bantuan dan inisiatif berjumlah RM340 bilion bagi merangsang ekonomi.  Pakej bantuan ini telah memanfaatkan lebih 20 juta ahli isi rumah serta lebih daripada dua juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi RM200 bilion. Terdapat lebih daripada RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini. Sebagai tambahan, pakej tersebut dilengkapi oleh inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion .

Ini termasuk program vaksinasi. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini berjaya memberi kira-kira 400,000 dos  sehari dan akan dipertingkatkan sehingga mencapai kadar suntikan sehingga setengah juta dos sehari. Menerusi program berkenaan, dijangkakan 100% populasi dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang Oktober ini. Pada jangkaan awal, 80% penduduk Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022 sebelum dipercepatkan kepada bulan Disember 2021.

Sehingga semalam sejumlah 14.3 juta rakyat Malaysia sudah menerima vaksin dengan 9.8 juta menerima dos pertama dan 4.5 juta sudah menerima dua dos. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin beberapa kali menegaskan bahawa vaksinasi adalah kunci utama kejayaan melawan Covid-19. Bagi tujuan itu kerajaan telah menempah lebih 76.1 juta dos vaksin.

Kerajaan juga mengumumkan program bantuan bakul makanan dalam pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi memastikan tidak ada rakyat di negara ini berlapar. Bagi memastikan kumpulan atau golongan terkesan itu tidak ketinggalan, sejumlah RM300,000 diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang. Masyarakat Orang Asli juga diberi peruntukan RM10 juta bagi program yang sama.

Beberapa hari lalu pula, perdana menteri melancarkan satu lagi program bakul makanan iaitu Bakul Prihatin Negara yang melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima dengan peruntukan RM21 juta. Ini merupakan satu lagi komitmen kerajaan dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan masyarakat yang terjejas ekoran pandemik.

Ketika seluruh rakyat bersyukur menerima dua inisiatif penting bagi melawan pandemik dan membantu kehidupan rakyat, parti-parti pembangkang dan segelintir pemimpin Umno yang gila kuasa sebaliknya melihat kedua-dua inisiatif ini adalah ancaman terbesar kepada mereka untuk kembali berkuasa.

Kejayaan dua-dua program ini sudah pasti akan mengecewakan mereka kerana mereka sudah tidak ada lagi dua isu penting untuk ditunggangi. Tidak hairanlah ada segelintir pemimpin politik meminta agar gerakan menjatuhkan kerajaan sedia ada dilakukan sekarang ketika isu Covid-19 masih lagi panas.

Dengan kata lain mereka tidak mahu program vaksinasi dan bakul makanan ini berakhir dengan kejayaan kerana kejayaan kedua-dua program ini adalah padah besar yang boleh membuka jalan kematian kepada parti-parti politik tersebut!

Saladin Hassan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.