- Iklan -
Rencana

Permainan takhta: Adakah kita sudah di epilognya?

Rakyat mahu keadaan kembali normal dengan virus diubah menjadi endemik seperti selesema biasa di mana kita mampu hidup bersama tanpa kehilangan nyawa yang begitu banyak.

Jamari Mohtar
5 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen lengang sejak persidangan ditunda ketika perintah darurat dikuatkuasakan.
Bangunan Parlimen lengang sejak persidangan ditunda ketika perintah darurat dikuatkuasakan.

Walaupun barisan depan kesihatan sedang bekerja keras untuk mencegah keruntuhan sistem penjagaan kesihatan di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan berikutan peningkatan jumlah jangkitan harian Covid-19, Umno sedang berusaha terlalu keras untuk memastikan keruntuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pada awal Januari, kerajaan memiliki majoriti 112 berbanding 108 bagi pembangkang – jumlahnya mencapai 220 kerusi dan bukannya 222 kerana kematian dua anggota Parlimen (AP).

Terdapat sejumlah 222 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikan 111 sebagai jumlah yang menunjukkan Parlimen tergantung. Mana-mana parti atau gabungan politik yang memperoleh lebih 111 kerusi membentuk kerajaan majoriti walaupun majoriti satu kerusi.

Sementara itu, kerajaan minoriti yang kurang 111 kerusi adalah satu kemungkinan walaupun Malaysia tidak pernah mengalami situasi di mana gabungan parti yang membentuk kerajaan mempunyai kurang 111 kerusi.

Pada awal Januari, dua AP Umno – Ahmad Jazlan Yaacob dan Mohamed Nazri Abdul Aziz – menarik sokongan kepada kerajaan, lantas mengurangkan majoritinya menjadi seri 110-110, sekaligus memaparkan buat pertama kalinya kerajaan minoriti.

Namun, ia tidak berterusan apabila beberapa bulan kemudian, tiga AP pembangkang – Xavier Jayakumar, Steven Choong dan Larry Sng – menjadi calon Bebas yang menyokong PN, mengubah skornya menjadi 113-107 bagi kerajaan, majoriti enam kerusi berbanding pembangkang.

Dan hanya beberapa minggu lalu, dengan Nazri kembali menyokong PN, skornya sekarang 114-106 – majoriti tiga kerusi berbanding jumlah Parlimen tergantung, dan majoriti lapan kerusi mengatasi pembangkang.

Malaysia kini menghadapi ketidaktentuan politik dengan pengumuman Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada 7 Julai selepas mesyuarat Majlis Tertingginya bahawa Umno akan menarik diri dari kerajaan PN, berkuatkuasa serta merta.

Ini lebih merupakan tanda Umno akan menemui jalan ke kancah perpecahan dan bukan semata-mata kejatuhan kerajaan PN kerana banyak kekeliruan yang timbul dari ucapan Zahid itu.

Ini kerana beliau tidak menjelaskan apakah penarikan ini termasuk AP Umno kerana AP Umno lah dan bukan Majlis Tertingginya yang sangat genting bagi memastikan kejatuhan kerajaan PN.

Dan semua 38 AP Umno dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan pada 9 Julai menyokong kerajaan PN yang dicemuh bekas presiden Umno, Najib Razak sebagai tidak benar.

Dalam hal ini, Najib berada di pihak kebenaran kerana di kalangan AP Umno, ada kumpulan – disebut kelompok mahkamah – yang menghadapi perbicaraan atas tuduhan rasuah termasuk Najib dan Zahid yang tidak akan menyokong kerajaan PN tetapi tidak pernah membuat pengumuman rasmi yang mengatakan mereka tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Dan ia tidak sedikitpun membantu keadaan apabila Najib menjelaskan sehari selepas ucapan Zahid bahawa Umno tidak menentang kerajaan PN tetapi hanya menentang PM, lantas gesaan Zahid agar Muhyiddin mengundurkan diri untuk memberi jalan bagi pelantikan PM interim.

Namun hakikatnya, PM interim berbanding PM sementara (caretaker PM) adalah sesuatu yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan. Ini muncul ketika mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamed mengundurkan diri secara rela pada Februari tahun lalu dan menolak untuk mempertimbangkan kembali keputusannya itu walaupun ada nasihat Agong untuk tidak mengundurkan diri, dan seterusnya dilantik sebagai PM interim.

Adakah Muhyiddin akan mengundurkan diri dengan rela untuk memberi laluan kepada PM interim? Sekalipun begitu, seperti Mahathir, beliau boleh dilantik semula sebagai PM interim. Ini semua terserah kepada Agong dan bukan Zahid atau Najib.

Persoalannya sekarang ialah apabila jumlah jangkitan harian Covid-19 meningkat dan rakyat sangat terkesan dengan pandemik apabila kehilangan lebih banyak pekerjaan menyebabkan kedua-dua jenayah dan kadar bunuh diri meningkat – satu fakta yang diakui oleh Zahid dalam ucapannya – adakah ia berbaloi usaha untuk menjatuhkan kerajaan atau PM?

Agong telah menitah agar sidang Parlimen diadakan secepat mungkin untuk para AP membahaskan Ordinan Darurat dan Rancangan Pemulihan Nasional dalam memerangi virus tersebut.

Sepatutnya Umno menyiapkan diri untuk sesi Parlimen ini tetapi nampaknya kepemimpinan Umno hanya mementingkan kejatuhan kerajaan atau menuntut pengunduran PM.

Dan Majlis presiden Pakatan Harapan dalam menggesa pengunduran Muhyiddin juga kelihatan jatuh ke dalam perangkap yang sama dengan Umno, walaupun anggota veteran DAP Lim Kit Siang telah berulang kali memberi jaminan kepada Muhyiddin undi kepercayaan tidak akan diadakan sekiranya Parlimen bersidang.

Dengan majoriti lapan ke atas pembangkang, kerajaan dapat dijatuhkan apabila sembilan AP Umno menarik sokongan. Pada masa ini, seorang AP Umno – Ahmad Jazlan – telah menarik sokongan. Jadi, Umno memerlukan lapan lagi AP untuk menarik sokongan.

Kita boleh bergantung pada kepastian anggota veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan tiga anggota kelompok mahkamah Umno – Zahid, Najib dan Ahmad Maslan – untuk menarik sokongan, tetapi masih ada keperluan untuk empat lagi tampil menarik sokongan demi menjatuhkan kerajaan.

Dengan andaian empat AP ini mudah diperolehi, kerajaan pastinya jatuh. Tetapi adakah kerajaan akan jatuh serta merta?

Jelas tidak, kerana ia hanya bermaksud PM akan memohon untuk menemui Agong dengan kedudukannya sebagai PM masih utuh bagi menjelaskan kepada Agong bahawa beliau telah kehilangan majoriti.

Terdapat dua senario di sini, jika kita andaikan pembubaran Parlimen bukanlah pilihan kerana pandemik, dan semuanya bergantung pada Agong:

  • Agong bersetuju dengan PM dan secara konvensyen akan melantiknya sebagai PM sementara. Agong kemudian akan memutuskan siapa di antara para AP yang mempunyai majoriti untuk menjadi PM baru;
  • Agong tidak berpuas hati dengan penjelasan PM mengenai kehilangan majoriti, dan dengan itu akan berusaha untuk memastikan sendiri Muhyiddin telah kehilangan majoriti. Hanya apabila Baginda berpuas hati PM hilang majoriti, barulah kejatuhan kerajaan akan menjadi rasmi. Dalam keadaan itu, Agong akan melantik Muhyiddin sebagai PM sementara secara konvensyen, sementara beliau akan berusaha memastikan sendiri siapa di antara para AP yang mempunyai majoriti.

Dan persoalan besarnya ialah siapa di antara para AP yang akan mempunyai majoriti? Apabila terdapat sembilan AP Umno yang menjatuhkan kerajaan, skornya akan menjadi 105 undi untuk Muhyiddin. AP terdekat setelah Muhyiddin dengan undi besar adalah presiden PKR, Anwar Ibrahim dengan 88 undi.

Anwar mungkin menghadapi rintangan yang lebih besar dalam meningkatkan jumlah “kuat, hebat dan meyakinkan”, terutama ketika Zahid telah mengatakan dalam kenyataan media bahawa tidak ada PH, tidak ada DAP dan tidak ada Anwar. Tetapi keberanian laungan seperti itu tidak ada ertinya jika tiba-tiba cita-cita politik atau tujuan akhir mengatasi prinsip.

Tetapi sokongan untuk Muhyiddin boleh merosot sekiranya lebih ramai AP Umno menarik sokongan. Satu-satunya cara sokongan bagi Muhyiddin berada di bawah 88 undi yang diraih Anwar adalah apabila 18 lagi AP Umno – yang bermakna sejumlah 27 AP Umno – menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Oleh kerana kemungkinan di atas sukar menjadi kenyataan, Muhyiddin akan menjadi PM sekali lagi, kali ini menjadi pemimpin sebuah kerajaan minoriti.

Lantaran itu, adakah berbaloi untuk kita melalui semua perkara di atas apabila besar kemungkinan ia akan berakhir dengan Muhyiddin menjadi PM lagi, dan ketika kesan proses ini hanya akan membawa kepada ketidakstabilan politik negara?

Pada 9 Julai, kes baru mencecah 9,180, mengatasi puncak jangkitan harian sebelum ini pada 9,020 kes yang dicatatkan pada 29 Mei yang menandakan bermulanya gelombang kelima. Marilah kita melupakan usaha berpolitik ini dengan menjuruskan fokus kepada menangani gelombang ini.

Rakyat sebenarnya tidak peduli apakah kerajaan akan runtuh atau Anwar menjadi perdana menteri. Yang mereka mahukan adalah untuk keadaan kembali normal dengan virus diubah menjadi endemik seperti selesema biasa di mana kita mampu hidup bersama tanpa kehilangan nyawa yang begitu banyak. Mari kita bantu rakyat untuk mencapai matlamat ini.

Jamari Mohtar adalah pengarah media & komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.