- Iklan -
Kolum

Kebajikan menyeluruh untuk semua rakyat

Di AS walaupun fahamannya tidak bertanggungjawab pada kebajikan rakyat, tetapi di peringkat negeri dan tempatan, mereka menubuhkan juga perkhidmatan bantuan sosial.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Banyak pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan sejak 20 tahun lalu.

Terdapat pelbagai tujuan ia ditubuhkan dengan sebilangan besarnya adalah untuk kebajikan.

NGO bagi kebajikan ini pula mempunyai tujuan yang pelbagai, dengan setiap satu seringkali membuat pengkhususan dalam sesuatu bidang.

Jadi sistem masyarakat negara ini seperti mana sebahagian besar dunia hari ini mempunyai tiga sektor iaitu kerajaan, swasta dan sivil.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk keseluruhan negara dan rakyat.

Ia memperoleh dana dari cukai terhadap rakyatnya secara langsung seperti cukai pendapatan atau tidak langsung, iaitu melalui sektor swasta.

Sementara sektor swasta hanya mempunyai tanggungjawab pada pemiliknya atau pemegang saham mereka dengan mengaut keuntungan daripada pelanggan dan pengguna produk atau perkhidmatannya.

NGO kebajikan terletak dalam sektor sivil yang bertanggungjawab untuk membantu bahagian-bahagian masyarakat yang kesusahan menurut bidang-bidang pilihan mereka.

NGO ini tidak bergerak untuk keuntungan tetapi petugas-petugasnya memperolehi imbuhan yang jumlahnya mereka sendiri tetapkan.

Badan-badan ini dibiayai dari dana diperolehi dari peruntukan kerajaan atau derma sektor swasta dan orang ramai.

Sistem masyarakat ini diharapkan dapat berjalan baik.

Maknanya kerajaan tidak perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rakyatnya.

Kerajaan hanya perlu menjaga kebajikan pada tahap-tahap tertentu menurut pertimbangan mereka.

Apa yang selebihnya ialah tanggungjawab NGO kebajikan.

Biarlah rakyat sendiri yang mengatur kebajikan.

Orang ramai yang memperoleh manfaat daripada sistem ini wajar memberikan sumbangan untuk kebajikan, sama ada secara langsung atau melalui NGO kebajikan.

Sementara syarikat-syarikat pula bolehlah memberi sumbangan pada NGO kebajikan ini melalui konsep CSR atau tanggungjawab sosial korporat.

Dana untuk CSR ini boleh dikecualikan daripada cukai.

Sivil ini boleh diterjemahkan sebagai awam atau publik.

Tetapi jika menggunakan istilah awam dan publik, ia boleh mengelirukan dengan apa yang dipanggil sebagai kerajaan.

Ini kerana kerajaan juga dirujuk sebagai awam.

Walaupun kedua-dua sektor ini adalah awam, maknanya ia digerakkan daripada dana orang ramai tetapi kedua-dua sektor ini tentunya berbeza.

Kerajaan mempunyai kuasa sedangkan badan sivil tertakluk pada undang-undang yang ditentukan oleh kerajaan.

Dalam tahun-tahun 1980-an, timbul istilah NGO dan konsep masyarakat sivil atau “civil society”.

Di Malaysia, ia disebut juga sebagai masyarakat madani.

Tetapi secara terperinci masyarakat sivil dan masyarakat madani adalah berbeza.

NGO sudah lama ada, dari zaman kolonial British.

Semua persatuan adalah NGO.

Cuma istilah NGO tidak digunakan.

Ini kerana konsep NGO yang ada sekarang belum dicipta.

Dari sejak selepas Perang Dunia Kedua, ada dua fahaman politik utama dunia.

Satu berpegang pada fahaman bahawa kerajaan hendaklah meminimumkan peranannya dalam masyarakat.

Ini adalah supaya rakyat mempunyai kebebasan seluas mungkin untuk menjalankan hidup mereka.

Kebebasan ini perlu supaya rakyat boleh berusaha dengan berniaga secara bebas.

Dengan cara ini masyarakat akan menjadi makmur melalui keusahawanan bebas atau “free enterprise”.

Maknanya juga kerajaan tidak perlu bertanggungjawab terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.

Rakyat perlu berusaha sendiri.

Kerajaan yang berperanan minimum akan mengenakan cukai serendah mungkin.

Ini bagi membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak wang untuk dijadikan modal.

Kerana itu juga kerajaan tidak mempunyak banyak dana untuk dijadikan peruntukan bagi kebajikan.

Fahaman yang satu lagi pula menetapkan kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap rakyatnya, dari lahir sampai mati.

Maka dalam fahaman ini, semua keperluan dan kebajikan rakyat wajib dipenuhi oleh kerajaan.

Untuk mendapatkan dana supaya dapat diperuntukkan bagi kebajikan rakyat, kerajaan perlu mengenakan cukai tinggi terhadap rakyatnya.

Ada negara pula yang turut melibatkan diri dalam perusahaan hinggakan tiada langsung sektor swasta.

Apabila tiada sektor swasta dan kerajaan juga memenuhi keperluan kebajikan sepenuhnya, maka tidaklah muncul sektor sivil.

Fahaman pertama itu ialah aliran kanan dan fahaman kedua itu ialah aliran kiri.

Dari segi modelnya, pelaksana fahaman kanan itu adalah Amerika Syarikat (AS) dan kiri adalah Soviet Union.

AS dianggap sebagai ketua dunia bebas atau “free world” kerana Soviet Union dan negara-negara komunis lain adalah masyarakat totalitarian, iaitu kehidupan rakyat sepenuhnya ditentukan oleh kerajaan atau pemerintah mereka.

Tetapi kebanyakan negara dunia mengamalkan campuran kedua-dua fahaman ini.

Di Britain, apabila Parti Buruh mula berkuasa, ia memperkenalkan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dan bermulanya gagasan negara kebajikan” iaitu “Welfare State”.

Maka timbullah fahaman “Demokrasi Sosial” yang mana kerajaannya mengenakan cukai tinggi pada golongan kaya mereka bagi membolehkan mereka memberikan kebajikan sepenuhnya, dari buaian hingga ke kuburan, “from cradle to grave”.

Sistem ini berlaku di negara-negara Scandinavia iaitu Denmark, Sweden, Norway dan Iceland.

Juga Finland.

Di Tanah Melayu ketika mula mencapai kemerdekaan, ia mewarisi sistem yang ditinggalkan oleh British iaitu sistem kesihatan dan pendidikan untuk rakyat.

Kerajaan juga mempunyai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang ditubuhkan pada tahun 1946.

Selain daripada peruntukan kerajaan, bantuan-bantuan kebajikan juga dibiayai oleh kutipan dari Loteri Kebajikan Masyarakat.

Namun kementerian yang bertanggungjawab pada kebajikan tidaklah menjadi kementerian penting seperti Kementerian pendidikan dan kementerian kewangan.

Di AS walaupun fahamannya tidak bertanggungjawab pada kebajikan rakyat, tetapi di peringkat negeri dan tempatan, mereka menubuhkan juga perkhidmatan bantuan sosial.

Apabila berlaku bencana, kerajaan persekutuan turut menghulur bantuan.

Tetapi pada keseluruhannya sistem di AS memerlukan dana kebajikan dari korporat dan aktiviti pertubuhan kebajikan, yang seringkali datang dari golongan agama.

Apa sebab seseorang itu terdorong untuk menderma, sudah tentu kerana agama atau kesedaran sivik.

Maka badan-badan agamalah yang menubuhkan pusat-pusat kebajikan.

Di semua kota besar AS ada gelandangan.

Saya pernah meninjau gelandangan di Boston.

Gelandangan adalah suatu yang tidak dapat dielakkan dalam sistem AS.

Untuk menunjukkan bahawa sistem itu berjalan dengan baik saya pernah dibawa ke pusat-pusat bantuan untuk gelandangan yang dianjurkan oleh gereja.

Pada tahun 1980-an, apabila sistem Soviet Union dilihat gagal kerana syarikat-syarikat kerajaan menjadi tidak efektif dan tidak inovatif hinggakan ia meruntuhkan ekonomi negara, ramai aktivis aliran kiri menghentikan perjuangan politik untuk menguasai negara.

Sebaliknya mereka beralih perhatian kepada aktivisme isu-isu tertentu seperti kebajikan, kemiskinan, hak asasi manusia dan alam sekitar.

Maka muncullah istilah NGO dan konsep masyarakat sivil.

Di Malaysia, ada satu lagi sektor yang pentadbirannya berada di bawah kerajaan negeri.

Sektor agama ini berbentuk Baitulmal.

Ia memperoleh dana daripada kutipan zakat dan sedekah.

Kalau hendak dikirakan, kekuatan menyeluruh Baitulmal ini sepatutnya sudah cukup untuk memberi bantuan kebajikan kepada rakyat yang memerlukan.

Iaitu tidak perlu peranaan NGO.

Tetapi kalau dari segi sejarah Islam, Baitulmal yang bermaksud “Rumah Wang” itu merupakan perbendaharaan kerajaan.

Jika melihat asnaf yang ditetapkan, dan apabila dilihat dari segi semangatnya, sesebuah kerajaan itu bertanggung jawab pada kebajikan semua rakyatnya.

Sesiapapun digalakkan menderma dan membuat kebajikan.

Tetapi ia tetap merupakan tanggungjawab kerajaan.

Kisah Khalifah Umar Abdul Aziz dan kota Damsyik yang bersih daripada peminta sedekah sudah kerap diceritakan dan tidak perlu diulangi di sini.

Sifat amanah Khalifah Umar boleh dianggap sebagai ekstrem, tetapi asas kepada kebajikan adalah amanah.

Suatu peringatan kepada kerajaan dan NGO.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.