- Iklan -
Rencana

Sampai bila rakyat mahu tonton sarkas Parlimen?

Lapan bulan tidak bersidang, gelagat ahli Parlimen menghiburkan ramai ketika mesyuarat khas Dewan Rakyat diadakan bermula semalam.

Saladin Hassan Saleh
2 minit bacaan
Kongsi
Sesi Dewan Rakyat sering memperlihatkan adegan-adegan dramatik ketika perbahasan berlaku antara pembangkang dan kerajaan. Gambar: Bernama
Sesi Dewan Rakyat sering memperlihatkan adegan-adegan dramatik ketika perbahasan berlaku antara pembangkang dan kerajaan. Gambar: Bernama

Seorang rakan Facebook menulis: “On aje TV, rasa macam tengok sarkas pulak pagi ni!”

Ringkas sahaja tulisannya. Setiap orang yang membaca hantaran Facebook tersebut sudah tahu apa yang beliau maksudkan. Sarkas menurut Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud “sekumpulan penghibur yang terdiri daripada akrobat, badut serta binatang terlatih yang menjelajah dari satu tempat ke satu tempat untuk membuat persembahan.”

Beliau barangkali merujuk kepada perangai segelintir ahli-ahli Parlimen yang menghadiri Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas yang bermula semalam. Apa yang beliau lihat itu adalah pengulangan apa yang pernah berlaku dalam sidang-sidang sebelum ini iaitu satu “pertunjukan sarkas” yang disaksikan secara langsung oleh berjuta-juta penonton di rumah.

Pertunjukan tersebut bermula sejurus selepas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berucap. Belumpun sempat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berucap bagi menerangkan tentang Pelan Pemulihan Negara, segelintir ahli Parlimen daripada pembangkang mula beraksi. Mereka tidak habis-habis membangkitkan tentang Peraturan Mesyuarat.

Sampai kepada satu tahap, segelintir ahli-ahli Parlimen pembangkang menjadi begitu keterlaluan apabila memekik-mekik ketika rakan-rakan mereka yang lain bertafakur dan membaca Al-Fatihah untuk semua mangsa yang terkorban akibat Covid-19. Yang di-Pertua Dewan Rakyat sendiri pun turut meminta ahli-ahli Parlimen yang masih terjerit-jerit itu diam seketika, namun langsung tidak dipedulikan.

Sesi bertafakur dan membaca Al-Fatihah yang sepatutnya berlangsung dalam keadaan diam dan tenang bagi menghormati mereka yang meninggal dunia angkara pandemik ini tidak berlaku. Inilah kali pertama dalam sejarah Dewan Rakyat, sesi bertafakur dan membaca surah al-Fatihah tidak dihormati sedemikian rupa.

Rakaman video perbuatan mereka itu tular dengan begitu cepat dalam pelbagai platform media sosial dan menimbulkan kemarahan netizen yang menyifatkan ia sebagai biadab dan tidak tahu menghormati mangsa korban pandemik.

Pertunjukan sarkas ini berlangsung kira-kira satu jam dan bermakna satu jam sudah dibazirkan. Tempoh satu jam amat berharga dan bukan satu tempoh yang pendek di Dewan Rakyat. Banyak perkara boleh dibincang dan dibahaskan oleh wakil-wakil rakyat.

15 ahli Parlimen tersebut menghabiskan satu jam hanya untuk bertanyakan tentang Peraturan Mesyuarat, mempersoalkan kenapa tiada sesi perbahasan dan pengundian. Bayangkan berapa ramai yang dapat berucap dan berbahas jika satu jam yang amat berharga itu tidak dibazirkan.

Perkara yang sama berlarutan ketika ahli-ahli Dewan mengambil bahagian dalam perbahasan. Ada sahaja percubaan mencelah dan mengganggu sesama mereka menyebabkan banyak masa terbuang. Walaupun banyak kali juga Yang di-Pertua Dewan atau Timbalan Yang di-Pertua Dewan menegur, ia tetap tak diendahkan.

Malah ketika Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mahu memulakan sesi menggulung taklimat Pelan Pemulihan Negara, ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang terus menerus mengganggu menyebabkan beliau terpaksa berhenti beberapa kali bagi memberi laluan kepada pertanyaan dan celahan. Menteri kewangan memang seorang yang berhati mulia memberi ruang kepada setiap orang yang cuba mencelah!

Suasana yang sama juga dijangka terus berlaku pada sesi esok , lusa, tulat dan tubin sehinggalah sidang tamat pada 2 Ogos nanti.

Tidak mengejutkan kerana dalam sesi-sesi sebelum ini pun, pertunjukan yang sama pernah dipertontonkan. Maklumlah sudah hampir lapan bulan tidak bersidang!

Gelagat ahli-ahli Parlimen ini memang menghiburkan. Mereka secara tiba-tiba menjadi sekumpulan penghibur kepada berjuta-juta rakyat Malaysia walaupun mereka bukan akrobat, badut atau binatang terlatih yang menjelajah dari satu tempat ke satu tempat untuk membuat persembahan!

Saladin Hasan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.