- Iklan -
Kolum

Selamat berlayar

Tiba-tiba bila aku sedar, aku terpisah dari emak, abah, abang dan kakak aku.

Hishamuddin Rais
9 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Hari kapal haji yang akan membawa Wan Timah ke Mekah ditetapkan.

Keluarga kami sekali lagi datang melawat ke rumah Tok Sheikh di mana Wan Timah menumpang.

Abah aku hendak memastikan buat kali terakhir apakah Wan Timah memerlukan apa-apa lagi.

Aku mengekor abah dengan mata yang cergas.

Aku memerhatikan di gigi jalan dan di kaki lama.

Mata aku mencari getah gelang.

Hari keenam di Singapura, aku berjaya mengumpulkan 74 helai getah gelang.

Aku tak sabar nak tunjuk pada kawan-kawan di sekolah.

Ini bukti sahih aku sampai ke Singapura.

Dari rumah Tok Sheikh kami menyimpang ke kedai tukang jahit.

Abah dan Uda Budin senyum melebar.

Mereka gembira seluar yang ditempah sudah siap.

Di rumah Pak Long Sani, kain baju yang hendak “lari dari cukai” kering di ampaian.

Nampaknya semua beres. Semua berjalan lancar.

Dalam perancangan keluarga Rais Manaf dan Zaleha Sidek, hanya ada satu lagi tempat hendak dilawati, “How Par Villa”.

“Zaleha… esok bawa budak-budak ni melawat How Par Villa di Pasir Panjang… tepi laut.”

Aku terdengar loghat Singapura suara Mak Long Sani memberi cadangan kepada emak aku dua hari lalu.

“Apa tu?”

Emak aku bertanya.

“Tempat sembahyang Cina… dibuat oleh Cina kaya. Towkay ubat Cap Harimau.”

Mak Long menerangkan.

“Cap rimau? Ubat sapu? Ubat tepung itu ke?”

Emak aku mahu kesahihan.

“Ialah…. Cina tu towkay jual candu….jual ubat dan jual candu… banyak duit. Kaya jual candu lalu buat tempat sembahyang.”

Tuntas penjelasan mak long aku.

Dari deretan kedai jahit Uda Budin membawa kereta ke arah Pasir Panjang.

Kami melintasi kawasan perumahan.

“Berhenti jap.”

Emak aku bersuara.

Bila kereta berhenti emak aku keluar dan mendongak memandang ke atas.

Aku mengekor tak tahu apa yang dipandang oleh emak.

Abah, Uda Budin dan yang lain semua keluar.

Semua kami memandang ke arah pandangan mak aku.

“Ooo… itu .. itu rumah flat… ini rupanya rumah flat. Rumah bertingkat. Pandang tu…atas rumah ada rumah, ada rumah.”

Emak aku dengan cara gurunya cuba menerangkan apa itu rumah flat.

“Kita… Kuala Lumpur belum ada lagi rumah macam ini… Singapura dah ada.”

Cikgu Zaleha memberikan penjelasan.

Aku mendongak memandang ke tiga deretan bangunan di hadapan aku.

Betul tinggi.

Lebih dari tujuh tingkat, rumah atas rumah.

Dalam kepala aku terbayang betapa letihnya naik tangga kalau duduk di rumah paling atas.

“Singapura ni ramai orang. Tengok di Geylang tu. Bawah rumah pun ada penyewa. Bukan macam kampung kita… tanah luas.”

Emak aku masih meneruskan penerangan tentang rumah flat.

Di dalam kereta aku masih lagi memandang rumah-rumah yang bertingkat-tingkat ini.

Yang semakin kecil dan akhirnya hilang.

Akhirnya kami sampai ke tempat sembahyang How Par Villa.

Letaknya atas bukit menghadap ke laut.

Tapi tidak setinggi bukit Makam Habib Noh.

Kami menapak masuk.

Aku lihat banyak patung-patung dibuat dari batu dan simen.

Patung ini tidak sebesar badan manusia tapi jelas dengan rupa bentuk mirip manusia.

Ada juga patung burung, ular, naga dan harimau.

Ada patung yang pecah aku ternampak dawai di dalamnya.

Aku tak tahu apa sebenarnya tempat sembahyang ini.

Aku hanya mengekor emak dan abah aku.

Kakak dan abang aku kelihatan menghayati patung-patung ini.

“Ini kisah negeri China. Tok Pekong mereka.”

Cikgu Zaleha memberikan penerangan.

“Yang buat baik dibalas baik, itu nampak… itu Raja China.”

Emak aku menunjukkan kepada patung Maharaja China yang berjanggut panjang membawa pedang.

Patung-patung ini semuanya berwarna warni.

Aku ternampak ada ikan duyung duduk dalam kulit kerang yang besar.

Aku nampak ada naga dan ular bergaduh.

Patung-patung ini ada yang menarik dan ada juga yang menakutkan.

Ada patung orang sedang kena seksa oleh panglima yang berambut dan berjanggut panjang.

Pedang dan tombak kelihatan di sana sini.

Ada tulisan Cina dan Inggeris di tepi patung.

Dua-dua tulisan ini aku tak faham.

Akhirnya sikap aku, sama seperti Sekolah Gambar.

Di How Par Villa ini, aku juga tidak faham apa makna tempat sembahyang ini.

Emak aku hanya menghebohkan towkay ubat tepung cap harimau ini jadi kaya kerana menjual candu.

Apa dia candu pun aku tidak tahu.

Ubat tepung cap harimau aku tahu.

Pernah aku makan, tepung debu putih ketika aku sakit gigi.

Sepuluh sen satu paket. Rasanya amat pahit.

Aku merasa bosan.

Lalu aku mencelah keluar dari rombongan keluarga.

Aku menapak mengundur kembali ke bawah bukit, ke arah laut.

Aku rasa di tepi laut lebih menarik.

Air laut sedang pasang.

Ombak kecil memukul gigi pantai.

Aku budak kampung dari Jelebu memang “rayat” apabila melihat laut.

Duduk di Jelebu yang kami lihat hanya bukit, hutan dan sawah padi.

Laut hanya daripada mendengar khabar berita.

Aku meleser di tepi laut.

Tapi ini bukan pantai berpasir indah.

Air laut memukul sampai ke tepi belukar dan ke banir kelapa.

Mata aku ternampak seorang budak perempuan Cina menapak dari bukit How Par Villa menuju ke tepi laut.

Awal tadi aku sudah nampak budak perempuan Cina ini.

Dia mencebet balang ais krim yang dijajanya di pintu masuk How Par Villa.

Aku perhatikan budak penjaja ais krim tadi berjalan menuju ke arah aku.

Tiba-tiba muncul seorang budak perempuan India.

Rambutnya bertocang panjang tidak kontot seperti budak Cina penjual ais krim.

Kini aku berdiri tercegat tidak jauh dari mereka.

Aku memerhatikan mereka berdua.

Aku rasa mereka tua sedikit dari aku.

Aku bergerak tersorok di tepi pokok kelapa agar hampir dengan mereka.

Aku boleh mendengar perbualan mereka walaupun ada desir ombak memukul pantai.

“Eh eh eh… lu apa khabar?” Budak India bertanya dengan suara mesra.

“Hari ini tak ramai orang di sini.”

Budak Cina menjawab lembut.

Bila bertanya khabar untuk aku ini maknanya mereka mengenali satu sama lain.

Mereka berdua berkawan.

Aku budak Melayu dari kampung belum pernah dalam hidup aku melihat budak perempuan Cina dan budak perempuan India berbual mesra menjadi kawan.

“Nak ais krim ke?”

Budak Cina bertanya sambil membuka balang ais krim.

Budak India membuka sapu tangan.

Dia mengikat duit dengan bucu sapu tangan. Dia mengira duit.

“Aku ada empat sen saja.”

Dia menayangkan duit satu sen satu sen di tapak tangan.

“Nak ais krim apa?”

“Yang mana ada? Tapi aku ada empat sen.. harga lima sen kan?”

Budak perempuan Cina itu mengeluarkan ais krim dan memberi pada budak perempuan India itu.

Aku di tepi banir kelapa memerhatikan saja.

“Tak pa… nanti bila tahun baru.. kau ada duit.. kau datang rumah aku.”

Aku budak Melayu kampung tak faham apa itu tahun baru. Tahun baru siapa?

“Janji.. jangan tak datang.” Budak Cina mahu jawapan.

“Datang… mesti datang…dulu pun aku datang.”

Babak tepi laut bawah bukit How Par Villa ini sentiasa berada dalam ingatan aku.

Apa yang aku lihat ini mempengaruhi hidup aku.

Gambaran budak India membuka sapu tangan dan mengira satu, dua, tiga dan empat keping duit tembaga ini tidak pernah hilang dari ingatan walau di mana aku berada.

Tiba-tiba aku dengar nama dipanggil.

Semua dah bersedia untuk bergerak pulang ke Geylang.

Ini malam terakhir di Singapura.

Mak Long masak istimewa – nasi briyani ayam.

Kami sekeluarga dari Jelebu belum pernah makan nasi briyani.

Malah aku sendiri tak tahu apa yang istimewa tentang nasi ini.

Sesudah makan, sebelum tidur aku mengira getah gelang aku.

Masih belum sampai seratus helai.

Esok aku berharap di pelabuhan aku akan berjaya lagi.

Pagi kami berangkat.

Semua berterima kasih.

Semua berkirim salam antara keluarga Rais dan Zaleha dengan keluarga Pak Long Sani.

Aku bersalaman dengan Anuar.

“Datang lagi.”

Anuar mempelawa dengan tangannya masih aku genggam.

“Kau laaa… balik kampung buleh nengok padi.”

Aku mempelawa Anuar kerana dia pernah bercerita pada aku yang dia belum pernah melihat sawah padi.

Bila dua-dua keluarga mendengar aku mengajak Anuar untuk melihat sawah, semua terbarai ketawa.

Dua keluarga berpisah.

Pak Uda Budin memandu dan membawa kami untuk bertemu sanak saudara di rumah Tok Sheikh.

Di sana Pak Ngah Aminuddin abang kepada abah aku dan keluarga sudah sedia menunggu.

Mak long kakak abah aku juga ada di sana.

Amjal yang masih muda bujang ada bersama.

“Orang ramai nanti…budak-budak ikut orang tua… jaga-jaga jangan hilang.”

Pak ngah memberi ingatan kepada kami kanak-kanak.

“Ini simpan ini dalam poket.”

Pak ngah memberi kepada kami anak-anak sekeping surat kecil.

Surat ini bertulis nama pak ngah: “Aminuddin Manaf” dan alamat kami: “Batu 2 ½ Kampung Chenor, Jelebu”.

“Kalau hilang cari mata-mata… beri surat ini.”

Pak ngah memberi arahan.

Kami anak-anak tak tahu apa yang sedang berlaku.

Aku sendiri hanya mengikut saja.

Dari rumah Tok Sheikh kami bergerak ke pelabuhan.

Wow! Dari jauh aku nampak kapal tersergam besar.

Aduh tak pernah dalam hidup aku dapat melihat kapal yang begini besar.

Memang besar, sebesar tiga pandang bola depan rumah aku.

Sebesar satu blok kedai Cina di pekan Kuala Klawang.

Bukan sahaja besar malahan tinggi.

Ada tangga di tepi kapal untuk naik ke atas kapal.

Kapal berwarna putih ini ada cerobong asap.

Di dinding kapal ini aku nampak ada lubang-lubang yang berkaca.

Dari jauh aku nampak tulisan di kepala kapal, “Anshun”.

Inilah kapal yang Wan Timah bersama Tok Barau dan isterinya akan naik untuk ke Mekah.

Di bawah kapal ini aku nampak orang ramai berpusu-pusu.

Aku sedar mereka juga sama seperti keluarga Manaf.

Mereka juga anak beranak hendak menghantar tok dan wan mereka ke Mekah.

Kami sekeluarga mula bergerak ke kapal.

Makin rapat ke kapal makin aku rasakan diri aku mengecil.

Kapal haji ini semakin membesar.

Aku nampak tilam, bantal, tikar mengkuang, beg kain, beg getah dan beg kulit dibawa naik ke atas kapal.

Ada yang memikul, ada yang menolak, ada yang mencebet.

Ada yang menjunjung, semua barang milik bakal haji sedang diangkat masuk ke dalam kapal.

Kami menapak di atas tangga kapal.

Aku merasa takut tapi aku lihat emak dan abah aku berjalan seperti biasa.

Ini menjadikan aku tenang dan selesa.

Sampai ke dalam kapal, di tingkat atas ada macam bilik untuk bakal haji.

Mengikut abah aku, Wan Timah aku bukan duduk di kelas pertama tetapi dalam perut kapal.

Harga tambang lebih murah.

Kami turun tangga masuk ke dalam perut kapal.

Sampai ke satu dewan ada meja bulat dan di atas meja ini dihamparkan tikar, tilam dan bantal.

Tempat seperti ini Wan Timah aku akan tinggal.

Tempat tinggal ini dibahagi-bahagi mengikut negeri.

Orang Kelantan sesama Kelantan.

Wan Timah aku dan Pakcik Barau dan isteri di kawasan Negeri Sembilan.

Aku merayau ternampak pelbagai rupa bakal haji.

Hampir ke semuanya berumur.

Mereka berkumpul duduk atas tikar.

Inilah saat anak dan cucu dan saudara mara menyatakan selamat jalan.

Ada juga yang aku nampak menitiskan air mata.

Aku ralit memerhatikan babak-babak yang sedang berlaku di hadapan mata aku.

Tiba-tiba bila aku sedar, aku terpisah dari emak, abah, abang dan kakak aku.

Aku belum berjumpa dengan tempat tidur Wan Timah atau pak ngah.

Aku pun mengekor jalan orang ramai.

Aku turun tangga ke bawah lagi.

Aku sampai ke daerah yang aku lihat bukan tempat tinggal tapi tempat enjin.

Aku gelabah. Aku tersesat dalam kapal.

Aku rasa dalam saku masih ada nota dari pak angah.

Kalau ada apa-apa berlaku aku wajib mencari mata-mata.

Ini arahan dan pesanan akhir dari pak ngah aku.

Aku sampai kembali ke tingkat yang paling atas.

Aku rapat ke tepian dinding kapal untuk melihat ke bawah.

Aku merasa berdiri di balkoni yang tidak selamat.

Aku merasa gayat.

Aku mengundur menjauhkan diri dari tepi dinding kapal.

Aku memandang ke bawah.

Mata aku cuba mencari emak, abah atau pak ngah aku.

Aku merasa gayat.

Di hadapan aku berdiri seorang abang.

Bila aku mengundur dia sedar aku takut dan gayat.

Dia tersenyum.

Dia mengamit aku datang. Aku rapati.

“Saya takut… takut jatuh.”

Aku menerangkan ketika menghampiri tepi kapal.

“Jangan takut.”

Dia memberi aku kekuatan diri.

Aku rasa abang ini orang baik.

Lalu aku membuka surah.

“Bang…saya sesat… emak dan abah saya entah di mana? Saya nak pandang emak saya dari atas kapal ke bawah.”

Aku minta simpati.

Mata aku memandang ke bawah.

Mata aku merayau-rayau.

Tiba-tiba aku ternampak satu sosok memakai baju kurung berwarna coklat.

Ini pakaian emak aku pagi ini.

Dari atas kapal emak aku kelihatan amat kecil sekali.

Tapi sahih kain coklat yang bergerak itu emak aku.

“Itu bang, mak saya.”

Aku cuba menunjukkan tapi gagal.

Ada ribuan manusia di bawah.

Sosok berbaju coklat hilang.

Lalu aku mengeluarkan kertas yang diberi oleh Pak Ngah Aminuddin.

“Apa ni?”

Abang bertanya.

“Saya dari Chenor… anta wan masuk kapal nak pergi Mekah.”

“Sesat? Takpe, kita cari mereka di bawah …mari kita turun.”

Abang itu menarik tangan aku.

Kami turun tangga.

Kelihatan ramai yang turun dari yang naik.

Masih ada lagi beg dan tilam yang diangkat naik.

Sampai di bawah aku dengar suara dari kapal.

“Bakal- bakal haji dipersilakan naik. Tetamu dan saudara mara diminta meninggalkan kapal. Kapal akan bergerak tidak lama lagi.”

Pengumuman ini aku dengar dua kali.

Aku dan abang kenalan baru ini menapak mencari keluarga aku.

Tak jumpa. Lama juga kami merayau.

Aku menjadi risau. Kami menyisir di tepi tebing laut.

Keluar dari wilayah yang ramai orang.

Aku mengekor abang yang baik ini.

Aku tercari-cari. Tiba-tiba aku ternampak satu kumpulan keluarga yang aku kenal.

Hati aku tenang.

“Bang… itu emak saya.” Aku berkata.

“Mana kau ilang? Lama mak cari. Satu jam lebih mencari.” Mak aku bersuara.

“Atas kapal sesat. Abang ni yang bantu.”

Aku menerangkan untuk meredakan keadaan.

“Ooo… terima kasih… terima kasih.. di mana jumpa?”

Keluarga aku semua senyum gembira.

Aku yang hilang kini ditemui.

“Atas kapal kak … dia pandai… dia ada tunjuk .. tunjuk surat.”

Abang itu bersalaman dengan abah dan emak aku.

Keluarga aku berterima kasih.

Kemudian abang itu beredar.

Nama Abang baik ini pun aku tidak tahu.

Dalam suasana gembira ini tiba-tiba kami terdengar suara dari alat pembesar suara dari atas kapal.

“Assamualiakum… ibu-ibu, bapak-bapak … saudara-mara.. yang datang dari jauh… jangan risau… kita hanya berpisah selama tiga … tiga bulan, tidak lama….. mari kita bersama-sama doakan mereka selamat pergi dan selamat pulang.”

Kami semua melopong memandang ke arah kapal Anshun.

Suara ini kami semua kenal.

Ini suara Pang Ngah Aminuddin.

Entah macam mana pak ngah kami dapat “kautim” dengan kapten kapal.

Pak ngah dapat berucap dari atas kapal haji.

Kami semua tersenyum.

Aku merasa hebat betul pak ngah aku ini.

Awal pagi dia beri aku surat jika sesat.

Sekarang dia pula berucap kepada semua orang macam kapten kapal.

Tiba-tiba muncul adik abah aku Amjal.

Dia ada membawa kamera.

Lalu kami satu keluarga bergambar.

Latar belakang kami kapal Anshun.

Aku ingat lagi bila Amjal hendak memukul gambar aku keluarkan getah gelang dari saku aku.

Getah yang terikat panjang aku pegang untuk digambarkan menjadi ingatan.

Peluit kapal berbunyi.

Kemudian pengumuman meminta semua bakal haji masuk ke dalam kapal.

Orang luar semua diminta turun dari kapal.

Peluit berbunyi lagi.

Suara bang kedengaran dari atas Anshun.

Kapal perlahan-lahan bergerak meninggalkan pelabuhan.

Kami anak beranak masuk ke kereta dan bergerak sama.

Mulanya selari dengan jalan tepi laut.

Aku masih dapat melihat Anshun.

Semakin kecil dari pandangan mata.

Akhirnya hilang.

Kami meninggalkan Singapura.

Melintas Tambak Johor kami diperiksa oleh kastam.

Semua barang lepas.

Kami tidak dikenakan cukai.

Kami meninggalkan Tambak Johor.

“Budin berhenti jap.”

Abah aku meminta Uda Budin memberhentikan kereta.

Abah aku keluar.

Tiba-tiba dia menanggalkan seluar.

Rupanya dalam seluar ada seluar, ada kain batik.

Ini kain batik terakhir yang dibeli oleh emak aku tapi tidak sempat dibasuh.

Abah aku lulusan Sekolah Pondok Lebai Maadah dan Special Constable berjaya menjadi penyeludup.

Kami anak beranak dalam kereta ketawa senang hati pulang ke Jelebu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.