- Iklan -
Kolum

Mencari sinar dalam suasana kegelapan

Sesungguhnya wabak ini memberi banyak pengajaran yang berguna bagi mereka yang mahu menelitinya.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Semua kesan Covid-19 kepada negara ini sudah menyeluruh.

Daripada krisis kesihatan, krisis ekonomi, krisis sosial hinggalah kepada krisis politik.

Dalam suasana gelap ini, apa yang boleh dilakukan oleh rakyat negara ini adalah untuk mencari sinar supaya dapat memiliki kekuatan untuk bertahan bagi menanti kebangkitan semula.

Apa yang tidak terfikir boleh berlaku ke atas negara ini akhirnya sedang menjadi kenyataan.

Krisis kesihatan memperlihatkan bahawa rakyat negara ini tidak akan dapat memperoleh rawatan terbaik kerana kemudahan hospital terpaksa diperuntukkan untuk menangani wabak Covid-19.

Hospital-hospital pakar di Lembah Klang iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Ampang sudah menjadi hospital khas Covid-19.

Janji temu pesakit bagi rawatan pemantauan ditangguh hingga ke Disember.

Krisis ekonomi menyaksikan syarikat perniagaan banyak ditutup.

Kawalan pergerakan mengakibatkan premis-premis kerugian kerana pelanggan tidak dapat berbelanja.

Akhirnya amat ramai orang yang kehilangan pendapatan.

Semakin lama keadaan ini berterusan, bertambah parah kehidupan rakyat.

Dalam suasana tertekan ini, keadaan masyarakat menjadi resah dan gelisah.

Inilah dia krisis sosial.

Ada individu yang tidak mampu menanggungnya.

Maka berlakulah kes membunuh diri dan keganasan rumah tangga.

Mekanisme yang mewujudkan keharmonian masyarakat pula tidak berfungsi.

Masjid dan surau masih ditutup.

Aktiviti keagamaan dan sosial beramai-ramai tidak dapat dilakukan.

Begitu juga dengan kunjung-mengunjung, rekreasi dan makan angin adalah semuanya hanya tinggal sebagai kenangan.

Dalam keadaan ini, tentulah berlaku krisis politik.

Wabak Covid-19 yang tidak dapat ditangani dengan segera hanya menambahkan lagi gelora politik yang sedia asalnya juga tidak tenteram ekoran tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan digantikan dengan pihak yang tidak memenangi pilihan raya.

Peristiwa di Parlimen minggu lalu menunjukkan suatu penyelesaian politik perlu dilakukan bagi mewujudkan kestabilan kuasa sementara menanti pilihan raya umum baru.

Keadaan inilah yang merupakan suasana gelap.

Walaupun cahaya mata hari adalah cerah setiap hari tetapi dalam hati-hati sebahagian besar rakyat Malaysia, ia dimendungi kedukaan.

Dua hari raya berlalu tanpa sebarang sambutan yang boleh mencerahkan jiwa.

Sementara bulan Ogos yang sedang dimasuki Malaysia pula tidak akan disambut dengan semangat patriotisme.

Sekali lagi hari dan bulan kemerdekaan tidak akan disambut sebagai acara kemenangan.

Bagi mereka yang terpaksa bekerja di rumah kerana kawalan pergerakan, tentulah sukar untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi seperti di pejabat.

Mereka tidak dapat bebas berurusan dengan rakan sekerja dan orang ramai.

Juga tidak dapat melakukan janji temu makan tengah hari.

Maka sedikit sebanyak ia boleh menjejaskan kemahiran dan pertumbuhan kerjaya.

Wabak Covid-19 ini pasti menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah, kolej dan universiti.

Apapun, pembelajaran di rumah tidak setaraf di sekolah.

Pembelajaran secara dalam talian yang walaupun boleh dilakukan tetapi tidak dapat mencapai keberkesanan seperti mana kaedah bersemuka dalam kelas.

Itu belum lagi dikira dengan maksud pendidikan yang lebih luas iaitu kokurikulum dan kemahiran bersosial dengan rakan sebaya dan guru masing-masing.

Pada umumnya, wabak Covid-19 menjejaskan semua perkembangan rakyat dan negara ini.

Lebih menekankan lagi, ia juga melibatkan seluruh dunia yang memberikan kesan antara satu sama lain.

Dengan kegelapan ini, pihak yang lebih menanggung kesusahan adalah mereka yang menjadi mangsa langsung dari virus Covid-19.

Sejak dua tahun ini, sudah ramai warga Malaysia yang meninggal dunia akibat virus ini.

Ekoran itu, kesan daripada kematian itu juga berpanjangan.

Ada yang kehilangan ibu, bapa, suami, isteri dan anak yang memaksa mereka mengubah cara hidup, baik dari segi ekonomi, sosial dan psikologi.

Tidak semua yang meninggal dunia itu warga tua, ramai juga merupakan orang muda yang masih produktif.

Akibatnya ramai yang kehilangan tempat pergantungan. Sementara ada syarikat yang kehilangan kepakaran petugasnya.

Bagi mereka yang dapat terus hidup selepas diserang Covid-19 ini pula, pengalaman menjadi pesakit itu bukanlah sesuatu yang hendak dikenang.

Dua minggu berada di pusat rawatan adalah pengalaman pahit.

Sementara kesan kesihatan juga berpanjangan bagi sebahagian orang.

Bagaimanakah hendak mengharungi kegelapan ini?

Dalam gelap, apa yang dicari adalah satu titik sinar cahaya.

Ini kerana dengannya seseorang boleh mengharungi kegelapan ini.

Walaupun katakanlah tiada sebarang sinar cahaya, seseorang hanya perlu membayangkan sinar itu wujud.

Inilah apa yang dikatakan bersikap positif dan optimis.

Jadi dalam mengharungi kegelapan wabak Covid-19 ini, apakah sinar cahaya yang paling kecil?

Hakikatnya keadaan kegelapan ini akan berlalu.

Semua wabak yang pernah berlaku akan akhirnya berlalu juga.

Cuma apa yang diharapkan oleh seseorang adalah ia akan dapat terus hidup untuk menyaksikan suasana ini akan berlangsung.

Ada ulasan virus Covid-19 ini akan terus wujud dan manusia perlu menyesuaikan diri masing masing untuk hidup.

Mungkin ada benarnya.

Tetapi apa yang dimaksudkan dengan wabak ini akan berlalu ialah ia dapat ditangani walaupun virus ini akan terus ada.

Mungkin dengan imunisasi yang akan sedang ditingkatkan.

Lagipun, pada masa akan datang, adalah dijangkakan virus Covid lain akan muncul sebagai penambahan pelbagai varian baru.

Berapa lama lagikah keadaan suasana gelap ini?

Masa depan pastinya tidak dapat diramal walaupun boleh dijangkakan secara kurang tepat.

Kalau dilihat pada kenyataan-kenyataan pakar, maka pada mulanya dijangka wabak ini dapat dikawal pada penghujung tahun lalu.

Tetapi ternyata jangkaan itu meleset.

Pada waktu ini pula, dijangkakan bahawa gelombang Covid-19 akan menunjukkan penurunan pada bulan Ogos.

Begitulah harapannya kerana proses imunisasi yang semakin meluas boleh menyumbang pada kawalan wabak ini.

Tetapi seseorang tidak boleh menggantung harapan terlalu tinggi.

Jangkaan itu mungkin meleset lagi.

Maknanya, boleh berharap tetapi usah berpegang pada harapan palsu atau meletakkan harapan terlalu tinggi.

Namun, realitinya, wabak Covid-19 ini akan akhirnya berlalu.

Kesedaran terhadap perkara ini merupakan suatu sinar cahaya dalam kegelapan.

Ia merupakan harapan dan dengannya seseorang boleh bersikap positif dan optimis.

Tetapi mengapa perlu bersikap positif dan optimis?

Sikap positif boleh menguatkan ketahanan dalam menghadapi suasana penuh cabaran ini.

Seperti mana badan seseorang perlukan imunisasi untuk melawan virus, maka begitu juga dengan jiwa seseorang.

Ketahanan jiwa dan mental memberi kemudahan untuk seseorang menjalani kehidupan seharian ini.

Sikap optimis pula memandang kepada sesuatu yang baik pada masa depan.

Sememangnya masa depan itu tidak semestinya baik.

Malah boleh jadi juga keadaaan akan datang boleh jadi buruk.

Tetapi sikap optimis menetapkan masa akan datang itu belum berlaku.

Ini bermakna ia mungkin boleh menjadi baik.

Akhirnya, perkembangan akan datang adalah lebih banyak berada di luar jangkaan.

Iaitu apa yang tidak terfikirkan boleh berlaku.

Imaginasi manusia mampu menerawang ke merata-rata suasana, tetapi akhirnya apa yang akan terjadi adalah di luar fikiran.

Keadaan yang tidak dapat dijangkakan ini tidak wajar dijadikan sebab untuk bersikap putus harapan.

Selain itu, ada satu lagi sikap yang baik untuk dipegang dalam suasana sekarang.

Bersyukur dengan apa yang masih ada, dan memperbaiki keadaannya.

Sesungguhnya wabak ini memberi banyak pengajaran yang berguna bagi mereka yang mahu menelitinya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.