- Iklan -
Rencana

Apabila Anwar, Mahatir, Guan Eng, Mat Sabu berjemaah langgar SOP

Ahli-ahli Parlimen ini tidak ambil kisah tentang penularan Covid-19 yang sedang berleluasa di mana-mana sahaja.

Saladin Hassan Salih
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim menghulur mikrofon kepada Ahli Parlimen Langkawi Mahathir Mohamed ketika beberapa ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka mendesak perdana menteri letak jawatan.
Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim menghulur mikrofon kepada Ahli Parlimen Langkawi Mahathir Mohamed ketika beberapa ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka mendesak perdana menteri letak jawatan.

Hari ini sekumpulan ahli-ahli Parlimen pembangkang diketuai oleh Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Dr Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal berkumpul di Dataran Merdeka bagi membantah penutupan bangunan Parlimen dan penangguhan Mesyuarat Khas Parlimen.

Hari ini sepatutnya menjadi hari terakhir mesyuarat tersebut setelah berlangsung sejak 26 Julai lalu. Bagaimanapun kementerian kesihatan menasihatkan kerajaan agar sidang itu ditangguhkan kerana bangunan Parlimen menjadi kawasan berisiko Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi terutama bagi varian Delta. Sejak dibuka tidak kurang daripada 60 kes positif Covid-19 sudah dikesan di situ.

Ada beberapa perkara menarik yang boleh dilihat daripada perhimpunan haram ahli-ahli Parlimen pembangkang yang hadir pada hari ini. Setelah empat hari dibazirkan dalam sidang Parlimen minggu lalu dengan pekikan dan jeritan tanpa sebarang perbahasan membina, semakin jelas mereka tidak peduli dengan apa yang sedang negara hadapi sekarang.

Wakil-wakil rakyat PH juga paling bising mengkritik apa sahaja tindakan, inisiatif dan program kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik ini. Mereka juga mengecam sesiapa sahaja yang melanggar SOP sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan. Gambaran yang diberikan seolah-olah mereka cakna benar dengan situasi negara sekarang.

Realitinya tidak. Ahli-ahli Parlimen ini tidak ambil kisah tentang penularan Covid-19 yang sedang berleluasa di mana-mana sahaja. Walaupun hampir keseluruhan sudah berstatus warga emas, mereka tidak pernah takut mati. Barangkali kerana merasakan semuanya kebal Covid, mereka nekad mahu meredah masuk ke bangunan Parlimen yang sudah diisytiharkan sebagai kawasan merah dan berisiko tinggi.

Pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Anwar, Dr. Mahathir, Guan Eng, Mohamad Sabu dan Shafie Apdal langsung tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Setelah gagal ke bangunan Parlimen, mereka beramai-ramai berarak, berhimpun, berkumpul dan berasak-asak dalam kumpulan yang tidak ada langsung penjarakan fizikal. Masing-masing berdiri rapat-rapat tanpa rasa bersalah.

Malah seorang daripada mereka yang sepatutnya menjalani kuarantin kendiri kerana salah seorang pegawai pengiringnya positif Covid-19 pun turut menyertai perhimpunan ini.

Mereka menunjukkan contoh yang sangat tidak baik kepada rakyat. Apa yang diucapkan selama ini tidak sama dengan tindakan. Mereka terus bermain politik. Pihak berkuasa wajib mengenakan tindakan tegas ke atas ketua-ketua parti politik pembangkang ini. Kalaulah perkara ini dilakukan oleh menteri atau ahli-ahli Parlimen kerajaan, sampai setahun pun belum tentu habis mereka dikecam.

Kelmarin, sekumpulan anak muda yang dipercayai didokong oleh parti politik yang sama turun ke ibu kota mengadakan demonstrasi dengan melanggar SOP sewenang-wenangnya. Tidak ada sepatah pun larangan daripada parti-parti pembangkang  berhubung tindakan ini.

Perhimpunan haram ini juga turut menyaksikan penggabungan semula Anwar dan Dr Mahathir setelah masing-masing membawa haluan sendiri sejurus Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas sempat menjadi kerajaan 22 bulan.

Anwar kekal sebagai calon perdana menteri pilihan PH manakala Dr Mahathir menubuhkan parti Pejuang yang secara terbuka dan berkali-kali menegaskan tidak akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri dalam apa juga keadaan.

Walau bagaimanapun pertemuan ini sudah tentunya menggembirakan Anwar. Harapan untuk kembali menjadi perdana menteri sudah pasti berbunga semula dengan kehadiran bekas perdana menteri itu. Anwar berharap pertemuan di Dataran Merdeka menjadi titik pemula untuk mereka bergabung semula. Ketua Pembangkang itu juga berharap hati Dr. Mahathir akan terbuka untuk menyokong beliau walaupun realitinya sudah banyak kali Anwar “kena game” dengan Dr Mahathir.

Justeru tidak hairanlah setelah sekian lama berdiam diri daripada bercakap soal “saya mempunyai jumlah sokongan mencukupi” Anwar hari ini kembali berani bersuara dengan mendakwa Muhyiddin Yassin sudah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Sebelum ini setiap kali ketua pembangkang bersuara mendakwa kononnya mempunyai jumlah yang mencukupi, beliau menerima kecaman teruk daripada netizen dan rakan-rakan politiknya sendiri yang menganggap Anwar berbohong kerana tidak pernah sekalipun berjaya membuktikan jumlah sebenar ahli-ahli Parlimen yang menyokongnya.

Ahli-ahli Parlimen inilah juga yang menghidupkan naratif kerajaan gagal hanya kerana kerajaan sekarang gagal memenuhi dan memuaskan nafsu politik para pemimpinnya!

Saladin Hassan Salih adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.