Berikutan keputusan terbaru Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk membatalkan penangguhan pemilihan Umno telah menyebabkan suhu politik parti Umno kembali panas.
Ini disebabkan keabsahan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno telah pun tamat pada 30 Jun sedangkan keputusan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuat pada 3 Ogos.
Keputusan itu kini sudah tidak mengikat ahli-ahli Parlimen Umno dan tindakan disiplin tidak boleh diambil ke atas mereka walaupun mereka mengundi menyokong Muhyiddin dan kerajaan PN dalam sidang Parlimen September ini.
Sebaliknya Umno perlu mengadakan pemilihan parti tahun ini atau berdepan dengan tindakan daripada pihak RoS, termasuk kemungkinan penggantungan atau pembatalan parti itu.
Jika pemilihan diadakan dalam masa terdekat, kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno pasti akan dicabar oleh kelompok yang sudah pasti tidak setuju dengan tindakan beliau yang besar kemungkinan akan diketuai oleh Ismail Sabri Yaakob.
Melalui kedudukan beliau sebagai naib presiden terkanan dan pengaruh beliau selaku timbalan perdana menteri, adalah tidak mustahil beliau akan disokong oleh ahli-ahli Umno yang kurang bersetuju dengan keputusan Zahid yang dilihat caca-merba.
Jika ahli-ahli Parlimen Umno memilih untuk tidak menyokong usul percaya kepada Muhyiddin, bukan sahaja Muhyiddin perlu meletak jawatan, tetapi seluruh kabinet termasuk menteri dan timbalan menteri Umno akan terbubar dengan sendiri seperti apa yang berlaku bila Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.
Jika pilihan raya umum terpaksa diadakan dalam situasi krisis kesihatan jangkitan Covid-19 semakin memuncak pastilah kesudahannya ia tidak akan memberikan manfaat kepada rakyat khususnya penyokong-penyokong Umno dan juga ahli-ahli Umno.
Sebaliknya nanti Umno pula yang akan dipersalahkan oleh rakyat disebabkan tindakan menarik sokongan yang dilakukan yang membawa negara ke kancah kemelut politik sekali lagi sekali gus mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong supaya jangan berbuat begitu.
Perletakan jawatan seluruh kabinet juga bermakna Ismail dan menteri-menteri Umno yang lain juga akan jatuh dan ini dirancang untuk membuka jalan kepada berlakunya penguasaan sepenuhnya kumpulan Zahid dalam Umno.
Mungkin inilah strategi sebenar Zahid yang terus mahu menguasai Umno dengan memastikan Ismail Sabri dan lain-lain menteri Umno tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding dirinya untuk mempertahan jawatan presiden dalam pemilihan Umno.
Apakah keuntungan kepada Umno jika membuat pilihan menolak Muhyiddin dan kerajaan PN etika wabak pandemic Covid-19 semakin memuncak? Rakyat pasti akan menyalahkan Umno sebagai parti gila kuasa jika terbubarnya Parlimen ekoran keputusan Umno.
Mungkin wujud kumpulan yang takut Zahid tidak memberi watikah sebagai calon pilihan raya umum nanti tetapi andai kata berlakunya pemilihan Umno dalam masa terdekat dan Ismail menang dalam jawatan presiden Umno, situasi pasti berubah.
Jika berlakunya perubahan dalam tampuk kepimpinan Umno dari Zahid ke Ismail Sabri, maka pemberian surat watikah perlantikan sebagai calon pilihan raya juga akan bertukar tangan dari Zahid ke Ismail Sabri, maka tiada apa lagi yang perlu ditakuti.
Di sini, perlu diingatkan, pemimpin datang dan pemimpin pergi, yang tinggal adalah prinsip parti. Diharapkan ahli-ahli Umno akan kekal menyayangi bangsa dan negara daripada membiarkan diri dipergunakan untuk memenuhi agenda pemimpin yang bermasalah.
Dari usaha Umno sejak merdeka maka masyarakat Melayu hari ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain walaupun masih ketinggalan dari aspek tertentu. Adalah lebih bijaksana untuk Umno bersabar dalam kerajaan dari kembali ke pembangkang.
Persoalan paling menarik yang perlu difikirkan ialah jika kumpulan Zahid berjaya dalam krisis ini, apakah akan berlaku kepada Umno dan ke mana haluan Umno selepas itu?
Paling besar kemungkinan yang boleh berlaku ialah Zahid kekal sebagai Presiden, tetapi Umno tetap menjadi pembangkang kerana tidak mungkin Zahid boleh menjadi Perdana Menteri atau timbalan perdana menteri.
Ini kerana Umno sendiri sudah membuat keputusan menolak kerjasama dengan PKR dan DAP manakala PKR dan DAP sendiri pasti tidak akan menyokong beliau atau kumpulan beliau yang mempunyai pertuduhan di mahkamah untuk memegang jawatan tersebut.
Andai berlaku pilihan raya umum nanti, akan wujud pertandingan empat penjuru atau lebih dalam sesebuah kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri. Adakah dalam pertandingan empat penjuru atau lebih ini akan memenangkan mana-mana komponen parti untuk lebih berdominasi selepas pilihan raya umum nanti?
Mungkin pada kali ini tiada mana-mana komponen parti akan menang dengan majoriti mudah. Mungkin satu pembentukan komponen penjajaran baru perlu dibuat dalam pembentukan kerajaan nanti. Tidakkah selepas Umno mengkhianati PN tidak mungkin untuk parti-parti komponen bekerjasama lagi dengan Umno selepas pilihan raya umum nanti?
Dalam pilihan raya umum nanti, adakah Umno akan bertanding sendiri di bawah jenama Umno atau di bawah jenama BN dan adakah Umno akan mampu menang besar jika bertanding sendiri?
Dengan melihat kepada parti MCA, MIC dan PBRS yang lebih rapat dengan PN daripada BN, malah dengan pemimpin mereka mempersoalkan secara terbuka keputusan Umno di bawah Zahid, saya tidak nampak bagaimana BN boleh bertahan.
Pada hemat saya, jika Zahid terus-terusan membuat pelbagai keputusan mengikut kepala sendiri tanpa merundingkannya terlebih dahulu dengan parti-parti komponen BN maka BN hanya menunggu masa untuk runtuh membiarkan Umno terkapai sendirian.
Itulah pun imej Umno sekarang, sebuah parti yang perasan masih besar, masih dominan dan masih perkasa, sehinggakan semua parti lain mahu diperlekehkan. Siapa yang mahu berkawan dengan parti berimej begini? Dalam keadaan tersepit nanti, tidak ada harga dirikah Umno untuk mengemis kerjasama dengan DAP dan PKR yang selama ini sering dibalun?
Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow