Isu yang sangat menarik dalam situasi politik sekarang adalah apakah Umno akan mampu menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah ia mengambil keputusan drastik untuk mengarahkan ahli-ahli parlimennya keluar daripada kerajaan PN dan mengundi tidak percaya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT) pada 3 Ogos.
Mengapakah isu ini menjadi kontroversi? Ini kerana tindakan tersebut tidak menggambarkan Umno secara keseluruhan menolak PN tetapi ianya adalah tindak balas daripada sikap diktator Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang mempengaruhi kepimpinan Umno yang lain sehinggakan terdapat kalangan menteri Umno melepaskan jawatan kerana arahan parti.
Sikap seperti ini adalah amalan yang tidak subur dalam sistem demokrasi yang akhirnya membawa kepada perpecahan Umno itu sendiri yang tidak setia kepada janji Mufakat Nasional. Umno dinasihatkan supaya tidak sepatutnya mengulangi krisis dalaman dan mengambil iktibar daripada kes-kes sebelum ini seperti pemecatan pimpinan tertinggi parti, pergelutan dalaman sendiri, penentangan dari pimpinan politik sendiri dan lain-lain sejak penubuhannya pada 1946.
Apa yang membimbangkan adalah jika elit politik dalam pimpinan parti menggunakan kuasa yang mutlak memecat mana-mana pimpinan politik yang tidak sehaluan dengan keputusan parti tanpa mengambil kira isu-isu terkini dan permaslahatan secara teliti, apatah lagi jika asas untuk membuat pemecatan begini kini sudah boleh dipersoalkan berasaskan perkembangan terbaru
Antara isu besar yang timbul sekarang ini ialah apakah keputusan MKT Umnno pada 3 Ogos lalu yang mengarahkan ahli-ahli parlimennya keluar daripada kerajaan PN dan mengundi tidak percaya kepada Muhyiddin masih ada nilainya setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan penangguhan pemilihan Umno selepas 30 Jun adalah tidak sah.
Berdasarkan keterangan Ketua Pengarah RoS Jasri Kasim, keputusan itu tidak lagi mengikat maka ahli-ahli Parlimen Umno boleh sahaja mengundi percaya kepada Muhyiddin tanpa takut dikenakan apa-apa tindakan oleh parti kerana kuasa presiden dan MKT Umno yang ada hanya kuasa administratif sahaja.
Mengekalkan kerajaan PN adalah jauh lebih besar manfaatnya berbanding menjatuhkan kerajaan PN yang tidak akan memberi banyak manfaat kepada Umno malah akan memberi kerugian besar kepada Umno kerana dalam kerajaan PN mereka berpengaruh besar tetapi jika kerajaan PN jatuh mereka akan hilang hampir semua kelebihan yang ada dan menjadi sebuah parti pinggiran, baik jika kerajaan baru ditubuhkan atau jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) diadakan.
Sebab itulah Umno sepatutnya lebih matang dan profesional serta mengambil iktibar daripada kekalahan yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14). Sejarah tersebut sepatutnya dijadikan pengajaran untuk menimbang semula tindakan dengan situasi politik dan kematangan rakyat pada era ini. Kejayaan Umno pada masa akan datang perlu mengambil kira isu-isu integriti, personaliti dan individu tertentu yang sekarang ini pun sudah hangat diperkatakan.
Rakyat Malaysia telah matang dan anak-anak muda boleh menilai kepimpinan terbaik sekarang jika pimpinan politik masih tidak berubah dengan cara lama. Amat dikesali bila sebahagian daripada pimpinan Umno ingin menjadi hero dalam politik tanah air untuk mengekalkan status kekuasaan, pengaruh dan kepentingan peribadi walaupun ianya boleh dibincangkan secara muafakat dalam gabungan PN yang terdiri daripada pimpinan politik Umno itu sendiri.
Umno sepatutnya memberi ruang dan pandangan yang baik kepada wakil menteri yang dilantik dalam kerajaan PN bagi membuktikan bahawa ahli Parlimen Umno mempunyai wawasan, berjiwa besar, bersikap profesional dan berprinsip yang jelas dalam membantu negara dan rakyat sewaktu diuji pandemik Covid-19.
Adalah dinasihatkan bahawa politik yang berteraskan kepentingan dengan menutup ruang bicara dan pandangan akan menjadikan bangsa Melayu yang dimonopoli Umno selama ini akan terus berpecah kerana kekhilafan politik yang tiada kesudahan. Dalam mendepani isu semasa, Umno perlu bekerjasama dan bersatu demi kemaslahatan rakyat dan negara yang berdepan dengan situasi Covid-19 ini.
Tindakan menjatuhkan PN adalah tindakan yang tidak matang dan rugi kepada bangsa dan negara sendiri. Umno sepatutnya memberikan kepercayaan kepada pimpinan politiknya dalam gabungan PN untuk menerajui negara di samping menyalurkan idea-idea yang bernas melalui saluran yang betul bagi mengelakkan konflik demi untuk negara tercinta.
Lagi pula, seandainya Muhyiddin jatuh dalam undi tidak percaya di Parlimen apakah manfaatnya kepada Umno?
Dijangkakan jika ini berlaku maka pilihan terbaik yang perlu dibuat ialah untuk membubarkan Parlimen dan menyerahkan kembali kepada rakyat untuk membuat pilihan muktamad siapa yang mereka mahukan untuk memimpin mereka kerana jika dilantik kerajaan baru pun, ketidakstabilan ekoran dan usaha mahu menjatuhkan pemimpin akan tetap berlaku.
Jika Parlimen dipohon untuk dibubarkan, adalah menjadi jangkaan rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong bagi memperlihatkan sikap neutral dan payung rakyat akan memperkenankannya bagi membolehkan PRU15 dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat sebaik imuniti kelompok sudah berjaya dicapai Oktober ini.
Dalam keadaan sekarang, dengan sentimen umum jelas tidak memihak kepada pemimpin Umno yang dilihat laparkan kuasa, besar kemungkinan Umno yang berpecah-belah akan mengalami kekalahan teruk. Mungkin kekalahan mutlak beginilah yang diperlukan untuk menyedarkan Umno.
Bila itu berlaku tiada siapa yang akan dituding ahli-ahli Umno melainkan presiden, MKT dan ahli-ahli Parlimen Umno yang terlibat menjatuhkan kerajaan PN sekali gus menguburkan Umno sendiri.
Hussain Yusri Zawawi adalah ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow