- Iklan -
Rencana

PN peroleh sokongan majoriti, kerajaan perpaduan tak relevan lagi

Pembangkang sebelum ini tidak menunjukkan minat dengan sebarang bentuk kerjasama dengan parti-parti politik lain dalam sebuah kerajaan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Tiba-tiba sahaja isu kerajaan perpaduan bergema lagi. Naratif keperluan sebuah kerajaan sedemikian dengan Kabinet perang kononnya bagi melawan pandemik ditimbulkan oleh blok pembangkang yang kemudian turut disambut segelintir pemimpin Umno.

Menariknya, isu ini timbul setelah Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh majoriti 114 ahli Parlimen bagi membolehkan sebuah kerajaan baru dibentuk dengan Ismail Sabri Yaakob dicalonkan sebagai perdana menteri.

Sebelum ini, blok pembangkang langsung tidak berminat dengan sebarang bentuk kerjasama dengan parti-parti politik lain bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala perancangan dan usaha memerangi Covid-19 dan membawa negara keluar daripada pandemik itu.

Ketika kerajaan PN diancam dengan undi percaya dan pada masa yang sama segala program pemulihan sedang rancak berjalan menuju kepada sasaran imuniti kelompok, perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin pernah membuat tawaran persefahaman rentas parti (bi-partisan) kepada parti-parti pembangkang tetapi ditolak mentah-mentah.

Tawaran tersebut bertujuan membolehkan segala usaha ke arah pemulihan negara yang sedang berjalan mengikut landasan perancangan tidak terganggu dan terencat.  Program Imunisas Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai contoh berjalan mengikuti jadual malah pada satu-satu ketika berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.

Walaupun intipati tawaran tersebut sebahagian besarnya memenuhi tuntutan dan kehendak perjuangan blok pembangkang selama ini, mereka tidak berminat kerana merasakan kerajaan PN perlu ditumbangkan dan diganti dengan Pakatan Harapan (PH) dalam undi percaya di Dewan Rakyat nanti.

Bagaimanapun perkara tersebut tidak berlaku. Walaupun Muhyiddin meletak jawatan sehingga kerajaan tumbang, Ismail dipilih sebagai calon perdana menteri baru setelah memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen. Ketua pembangkang Anwar Ibrahim berputih mata lagi.

Setelah terang-terangan tewas, blok pembangkang mula menghidupkan balik naratif keperluan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan yang kononnya bertujuan menangani pandemik Covid-19. Sedangkan semua yang disebut itu telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan PN menerusi Pelan Pemulihan Negara yang jelas menampakkan kejayaan terutama dalam aspek pemberian vaksin kepada rakyat.

Sebagai contoh, setakat semalam Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilancarkan bulan lalu, sejumlah 76.2% penduduk dewasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah menerima lengkap dua dos. Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sebanyak 51.6% atau 12.07 juta populasi dewasa negara ini telah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Hari ini blok pembangkang mula menjaja cerita palsu kononnya kerajaan pimpinan Ismail nanti tetap tidak stabil walaupun memperoleh majoriti kerana itu perlu ditubuhkan sebuah kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik termasuk pembangkang.

Apakah cadangan yang sama akan dikemukakan oleh pembangkang jika ketika ini Anwar memperoleh majoriti sokongan untuk jawatan perdana menteri? Sudah tentu tidak akan berlaku sama sekali. Waima majoriti satu undi pun, mereka tetap akan kata pembangkang kukuh dan stabil!

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, kerajaan interim, Kabinet Perang dan pelbagai bentuk kerajaan impian blok pembangkang sudah menjadi akademik dan tidak relevan lagi kerana PN sudah berjaya mengumpul majoriti sokongan.

Sokongan ke atas Ismail adalah sah malah setiap ahli Parlimen yang menyokongnya sudah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam. Oleh kerana itu perdana menteri baru perlu dilantik segera dan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. Banyak tugas yang menunggu Ismail terutama yang melibatkan Pelan Pemulihan Negara yang sedang rancak berjalan dan sudah menghampiri sasaran.

Segala program pemulihan bagi menyelamatkan nyawa rakyat, mengembalikan kehidupan rakyat dan memulihkan ekonimi negara perlu diperhebatkan semula dan tidak boleh terganggu lagi dengan episod-episod politik baru yang cuba dicetuskan oleh sesiapa sahaja. Barisan Kabinet baharu perlu diberi peluang untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat yang ketika ini terkesan teruk akibat penangan pandemik.

Rakyat sudah terlalu muak dengan kemelut politik yang dicetuskan oleh ahli-ahli politik gila kuasa dan segelintir individu berkepentingan yang mementingkan hawa nafsu sendiri daripada nyawa rakyat. Dan untuk kesekian kalinya juga, blok pembangkang perlu berpijak di bumi nyata, mengakui mereka tidak pernah mempunyai `angka yang menyakinkan’ sampai bila-bila pun sebelum dan selepas ini.

Saladin Hassan Saleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow