Dengan sempurnanya lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Ismail Sabri Yaakob yang berlangsung pada jam 2.30 semalam di lstana Negara maka berakhirlah sudah satu episod yang mendebarkan dalam dunia politik negara.
Sesungguhnya kebanyakan rakyat Malaysia merasa lega dan beruntung kerana akhirnya kemelut politik yang berpunca daripada penarikan balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin dan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) oleh 14 ahli Parlimen Umno berjaya ditangani dengan sebaiknya sehingga tidak membawa kepada kejatuhan kerajaan PN.
Tanpa mengira apa puncanya sekalipun pastilah tindakan 14 ahli Parlimen Umno ini akan dikenang dalam lipatan sejarah politik negara kerana tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini menyebabkan negara berada dalam suasana tidak stabil dan berkemungkinan untuk menghadapi keadaan tanpa kerajaan sekiranya ia tidak mampu diselesaikan dengan baik.
Pujian perlu diberikan kepada Muhyiddin kerana keikhlasan beliau untuk menyelamatkan keadaan dengan merendah diri menawarkan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) berupa pemberian tujuh komitmen kepada parti-parti pembangkang sebagai tukaran kepada komitmen mereka untuk menyokong usul undi percaya kepada beliau selaku perdana menteri.
Inilah langkah terbaik boleh dilakukan oleh Muhyiddin untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik Covid-19 masih menggila kerana tindakan 14 ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan ini pastinya menimbulkan keraguan tentang keabsahan beliau sebagai perdana menteri dan kedudukan kerajaan PN sebagai kerajaan yang memerintah.
Malangnya, di sebalik menyahut jemputan Muhyiddin untuk membincangkan cadangan-cadangan ini, parti-parti pembangkang di dalam Psakatan Harapan (PH) khususnya terus sahaja mengeluarkan kenyataan media melalui Majlis Presidennya yang menempelak tawaran itu dengan mendakwa ia adalah pengakuan terbuka bahawa beliau hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.
Sepertimana kita tahu, tindakan gelojoh parti-parti pembangkang ini mendorong Muhyiddin melakukan satu tindakan bermaruah yang menjadi bukti bahawa beliau bukan gila kuasa, iaitu dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos, tanpa menunggu undian kepercayaan terhadap beliau dibawa di Parlimen seperti yang dipersetujui.
Hasil usaha keras Muhyiddin yang meyakinkan parti-parti yang membentuk kerajaan PN sebelumnya, khususnya dari Bersatu sendiri serta parti-parti di Sabah dan Sarawak, serta ketegasan Ismail bersama-sama 22 rakan ahli Parlimen Umno lain untuk mempertahankan kerajaan PN maka akhirnya kerajaan yang dibentuk dahulu muncul kembali.
Selain kecekalan 100 ahli Parlimen yang terus menyokong kerajaan PN sebelum ini untuk bertahan, khususnya 23 ahli Parlimen Umno dan 12 ahli Parlimen yang melompat keluar dari PKR, satu faktor penyumbang utama mengapa parti-parti pembangkang gagal membentuk kerajaan adalah kejayaan Ismail memujuk 14 ahli Parlimen Umno untuk berpatah balik.
Usaha untuk memastikan 14 ahli Parlimen Umno yang tekad menarik balik sokongan kepada kerajaan PN supaya berpatah balik menyokong kerajaan PN ini pastinya bukanlah satu tugas yang mudah namun kecekalan dan keberhemahan Ismail dan beberapa rakan beliau yang lain dalam Umno, khususnya Annuar Musa, membolehkan perkara ini terhasil.
Pujian juga wajiblah diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong yang menunjukkan kebijaksanaan, kesegeraan dan ketelitian dalam menangani perletakan jawatan Muhyiddin dan perlantikan perdana menteri baru dengan berkenan menerima mengadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara sehari selepas perletakan jawatan Muhyiddin.
Ini diikuti oleh pemberian tempoh untuk semua 220 ahli Parlimen mempersembahkan surat akuan (statutory declaration) mengenai pencalonan nama-nama bakal perdana menteri sehari kemudian, iaitu pada 18 Ogos, di samping berkenan menerima menghadap 114 ahli Parlimen yang telah mencalonkan Ismail pada 19 Ogos untuk mengesahkan kepercayaan mereka.
Seterusnya, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada 20 Ogos untuk mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu yang berakhir dengan pengumuman mengenai perkenan Seri Paduka untuk melantik Ismail.
Amatlah dikesali apabila ketelitian Yang di-Pertuan Agong ini menghadapkan Seri Paduka dengan tuduhan kononnya cuba memihak dengan membelakangi Perlembagaan Persekutuan sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah Seri Paduka mahu memastikan bahawa perdana menteri yang akan dilantik benar-benar mendapat kepercayaan majoriti.
Setelah melalui pemilihan yang paling ketat dalam sejarah negara ini, maka amatlah tidak wajar sekali sekiranya lantikan Ismail masih cuba dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana ia dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong sendiri telah benar-benar “menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia”.
Dengan keperibadian Ismail yang sederhana, mudah mesra, tidak konfrontatif dan tidak terjebak dengan apa-apa kontroversi, adalah diyakini bahawa beliau akan mampu mendamaikan dan mengakomodasikan tuntutan pelbagai pihak yang berbeza baik dari luar mahupun dari dalam kerajaan seterusnya akan lebih menstabilkan keadaan politik negara.
Ditambah pula dengan pengalaman luas Ismail sebagai menteri belia dan sukan, menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, menteri pertanian dan industri asas tani, menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, menteri pertahanan dan timbalan perdana menteri sejak tahun 2008 maka pastilah tugas menerajui kerajaan tidak akan terlalu sukar.
Kesemua ini adalah amat penting bagi memastikan negara tidak akan terpaksa untuk sekali lagi berhadapan dengan apa-apa kemelut politik yang lain dan seterusnya tumpuan akan dapat kembali diberikan kepada usaha memerangi pandemik Covid-19 yang telah meragut sekian banyak nyawa dan kepada usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk kerananya.
Saya yakin bahawa Ismail akan mampu meneruskan usaha-usaha baik yang telah dimulakan oleh Muhyiddin sebelum ini di samping akan turut menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong supaya beliau berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik serta menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan pihak yang tidak berjaya.
Dalam konteks inilah cadangan beberapa ahli akademik tanah air, khususnya dari Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), supaya tokoh-tokoh seperti Muhyiddin mahupun Dr Mahathir Mohamad akan turut dilibatkan sama dalam pentadbiran negara, baik sebagai menteri mentor atau apa-apa jawatan utama di dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN), adalah relevan.
Akhirnya, saya berkongsi harapan Yang di-Pertuan Agong agar dengan pelantikan Ismail ini kemelut politik akan dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli Parlimen akan dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik Covid-19 bersama-sama beliau demi kepentingan rakyat dan negara.
Kamarul Zaman Yusoff adalah timbalan presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) dan pensyarah kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antrabangsa (Colgis), Universiti Utara Malaysia (UUM).
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow