- Iklan -
Kolum

Kau bayangkanlah sebuah Malaysia

Akan tetapi saat kena waktunya, membaca karya seperti ini malah makin berombak perasaan.

Faisal Tehrani
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Ada seorang peribadi penyair yang sempat saya gauli tetapi sayang tidak begitu digelumangi.

Namanya T Alias Taib.

Penyair asal Terengganu yang menulis ratus buah puisi, antara lain yang terkenal ialah dari “Laut Tak Biru di Seberang Takir” (1972), Seberkas Kunci (1985) dan Piramid (1990).

Selalu saya berpapasan dengannya dan sekejap duduk menarik bual disela teh tarik di Medan Mara.

Kadang berjumpaan di Pasar Seni.

Selalu juga ada penyair Shukri Abdullah yang bersungguh mahu saya mengintimi arwah.

Kadang ada juga arwah Rahimidin Zahari muncul tiba-tiba dengan senyum rahsianya.

Itu di bucu DBP, seraya menjamah nasi ayam.

Baha Zain dalam sebuah catatan termuat pada kumpulan puisi “Petang Condong” (1996) memandang T Alias Taib, teman seangkatannya sebagai “sasterawan yang prihatin dan komited terhadap kesejahteraan alam, sosial dan bangsanya. Justeru itu jeritan batinnya untuk memberontak lebih banyak ternampak pada stail pengucapan, tidak pada pendirian yang ekstrim dan radikal.”

Memang sukar ditemukan puisi beliau yang agak melawan.

Kalaupun ada ia lebih berbentuk rakaman, dan jauh-jauh menyentuh.

Misalnya dari puisi “Retrospektif, 2001”, arwah T Alias Taib menulis begini:

“Langit demokrasi tanah airku
adalah langit pilu bulan april.
pada suatu hari di Kuala Lumpur
beberapa reformis muda
dengan darah mendidih
yang digelar black14 ditangkap.
mereka dikatakan akan menganjur
demonstrasi pada 14 april.”

Perihal ahli politik yang tidak bersikap, dan naik meteorik mencanak ke takhta tertinggi, T Alias Taib pernah mencatat perihal mereka dalam puisi berjudul “Pasar Pengalaman”:

“Dia pemain politik pintar
yang berdiri di atas pagar.
pengalamannya mengajar
berdiri di atas pagar
lebih selamat daripada
berdiri di tanah datar.

Dia pemain politik diri
yang tidak mementingkan parti.
pengalamannya mengajar
bermain politik diri
lebih untung daripada
bermain politik parti.”

Nah, dibaca banyak kali tidak serasa sindir dan herdiknya.

Marah T Alias Taib serasa berapungan, tak berapa menjejak.

Dua buah puisi yang dikarang dalam tahun 2001 itu, yakni ketika badai reformasi; tidak begitu menonjol, deriknya perlahan dan tidak mengancam. Malah tawar.

Akan tetapi, berjujur pula; puisi-puisi T Alias Taib tergolong dalam sajak dan puisi yang sedap dibaca.

Ia termasuk dalam kumpulan yang akan kita ulit berkali-kali.

Kadang sebelum tidur petang, atau acap pada hari minggu yang panas, dengan Nescafe suam yang lekas biasa di luar pangkin.

Oleh kerana itulah, saya masih sering mencumbui karya T Alias Taib.

Umar Junus, pengkritik sastera dari Indonesia (beberapa orang dari sana yang pernah menekuni sastera Malaysia) ada mengatakan metafora T Alias Taib segar, menyatu dan paling penting berhasil.

Ada orang menulis puisi dan mencuba berlambang di sana sini tetapi serasa memaksakan.

Karya T Alias Taib tidak termasuk sedemikian.

Baru-baru ini saya berbalas mesej dengan teman cerpenis dari Indonesia, Linda Christanty.

Kami saling merunguti masalah negeri.

Ada geramkan korupsi, ada juga bertanyakan khabar moga-moga dijauhkan dari wabak yang memburu kematian.

Perbualan saya dengan beliau itu meletakkan diri dalam satu keadaan, saya membayangkan Malaysia yang sungguh geruh.

Kita melihat politikus bercekcok tidak ambil hal akan tangis rakyat.

Yang bera dan mendera terangkat ke martabat.

Tiada polisi dan idea menyungguh.

Kita malah tidak menemukan gagasan.

Terlalu ramai pelakon di atas pentas siasah membuatkan resah.

Oleh bayangan yang demikian pedih dan rumit begitu, saya selalu ditimpa duka nestapa.

Pertama, rasa ingin menulis macam-macam tetapi apakah macam yang dimacamkan itu tidak ketahuan.

Menulis malangnya perlu perencanaan yang membuatkan kita kadang rasa tidak lepas dan habis untuk menulis.

Kemudian, sebaik menulis; kalau hal yang dikarang itu mencabar dan menjerit, kita berdepan dengan kepayahan untuk menerbitkannya.

Jadi selalu, bila karya itu menemukan pembacanya, kita penulis sudah pun tenang geloranya.

Cara kedua untuk merungkai sarang amarah yang menebar dalam kepala dan jiwa, ialah dengan membaca puisi yang dapat menenteramkan.

Membaca juga nestapa.

Kalau bacaan itu cuai, atau salah ia malah makin mendorong derita.

Juga kadang ada yang dibaca, dapat memberi damai.

Puisi T Alias Taib begitu.

Maka selepas bual dan sembang santai dengan Linda mengenai urusan negeri itu, saya mencari buku puisi untuk diteliti.

Dengan harapan, ia akan meredakan api yang menyala.

Saya menemukan sebuah puisi T Alias Taib dari kumpulan puisi “Opera” (1988) yang demikian dibaca makin merumbakan rasa.

Puisi itu judulnya “Kaubayangkanlah”, dikarang pada tahun 1982.

Sepertinya saya pernah membaca karya ini tetapi tidak begitu mempedulikan.

Barangkali tatkala dibaca itu ia tidak begitu menitis dalam hati.

Akan tetapi saat kena waktunya, membaca karya seperti ini malah makin berombak perasaan.

Puisi almarhum berbunyi begini:

“Kaubayangkanlah sebuah Malaysia
yang patuh kepada segala undang-undang
dan perlembagaan hidup
yang tidak punya sebarang berita
pembunuhan penculikan penipuan
kebakaran dan kebanjiran
yang sentiasa sujud kepada tuhan
yang sentiasa mengamalkan rukun negara
yang sentiasa memelihara keamanan
kemakmuran dan kesejahteraan
yang suci dari segala dosa
yang tidak punyai sebarang kisah
rasuah dan kepentingan diri
yang murni dari segala noda
yang sentiasa menjaga
maruah dan harga diri.

Kaubayangkanlah sebuah Malaysia
di mana setiap arahan menteri
berjalan dengan sempurna
setiap rakyat tunduk
tanpa bantahan
setiap pekerja datang ke pejabat
lantas membuat kerja
setiap suami berkahwin satu
hingga mati
setiap isteri melayani suami
hingga mati
setiap impian datang melayang
setiap janji datang bergolek
setiap kata bersandarkan logik
setiap suara tiada konflik.

Yang kaubayangkan bukan Malaysia
tetapi sebiji batu.”

Beliau meninggal dunia dalam bulan Ogos tahun 2004, 19 Ogos setepatnya.

Saya di Turki ketika menerima berita pemergian beliau.

Membaca “Kaubayangkanlah” menggamamkan kembali saya. Benarlah puisi T Alias Taib sedap dibaca, dan jika dibaca kena pada masanya, ia akan menyentak sampai senak.