- Iklan -
Kolum

Saya tunggu di Mazar-i-Sharif

Pada tahun 1893 misalnya, 47 orang wanita Hazara terjun dari puncak gaung untuk mengelak diri dari kehormatan mereka dicabul dan dimiliki oleh askar Afghan.

Faisal Tehrani
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

“Jika Afghan itu maksudnya Pashtun, kami Hazara”, demikian saya masih mengingat kata-kata Hussein saat dia mendampingi saya menyeluruhi Masjid Biru di Mazar-i-Sharif.

Hussein kemudian menambah, “Mereka, Afghan atau Pashtun adalah kumpulan etnik terbesar yang menganggotai Taliban. Mereka menjadikan kami Hazara sasaran.”

Angin kering bertiup melanggar wajah kami. Kulit saya serasa kering oleh iklim separa gersang yang berhembus dari pergunungan. “Dr mahu masuk ke dalam masjid?”

Saya merenung Hussein yang matanya sepet, rambutnya kecoklatan dengan muka mendung yang terisi budi.

Saya mengangguk, tanda akur dan tentu sekali mengharap untuk dibimbing di kompleks Hazrat Ali Mazar yang agak besar itu.

Hussein, saya kenali saat mengisi kesempatan sebagai pensyarah tamu di Balkh University.

Siswa Kejuruteraan di universiti ketiga terbesar di Afghanistan, dia memberitahu saya, dia meminati sastera.

Sebagai menggalakkan saya menekankan, “Ya, jurutera yang membaca puisi adalah jurutera yang paling baik pada zamannya.”

Menerusi Hussein lah saya belajar sejarah Afghanistan yang tiada dalam brosur yang disediakan dalam penerbangan dari Delhi ke Kabul.

“Afghanistan yang diketahui orang hari ini diasaskan oleh Raja Emir Abdur Rahman dalam tahun 1900. Sebelum 1880, wilayah tengah Afghanistan adalah sebuah negeri berlainan. Namanya Hazaristan atau Hazarajat dan ia tidak pernah menjadi sebahagian Afghanistan. Bahawa negeri bernama Afghanistan itu adalah negeri miliknya orang Pashtun, dan Tajik. Seorang penyair Pashtun Khushal Khattak (1613 -1689) menyebut-nyebut begini; “Seorang Afghan itu adalah Pashtun dan Pashtun itu Afghan. Pancung mereka yang mengatakan selainnya.”

Penyair macam apa demikian rasis, tingkah saya menuntut kewarasan sewaktu kami menghirup teh panas di Bazar Mazar, di sela perajut permaidani, dan penjual roti daging unta yang bau hamisnya terapung melekat pada baju saya.

“Dan siapa orang Hazara, mengapa kalian dijadikan sasaran?”

Hussein tidak membalas, dia hanya merenung riak permukaan tehnya yang berkocak kecil.

Sebetulnya saya tidak perlu pun menyoal sebegitu.

Kaum Hazara selalu disebut-sebut sebagai keturunan tentera Genghis Khan.

Ini mungkin terserlah lebih lagi pada penampilannya yang agak Asia.

Lebih berbeza, orang Hazara mengambil Parsi sebagai bahasa atau dialek Hazaragi, segelintirnya menggunakan bahasa semacam Turkic juga dikenali sebagai “Moghul”.

Bukan sahaja budaya dan ciri rupa paras yang berbeza, kepercayaan mereka juga sangat bertentangan dengan orang Pashtun dan Tajik (bangsa Afghan).

Sebahagian besar Hazara adalah bermazhab Syiah.

Manakala Pashtun itu Sunni.

Mereka menghuni wilayah sejauh Ghazni hingga ke Herat.

Mereka, Hazara sekitar 15 peratus populasi Afghanistan, sesetengah perangkawan (UN Bonn Conference 2001) memberikan jumlah 19 peratus, orang Hazara percaya jumlah mereka lebih dari itu, sekitar 25 peratus.

Sehingga 1880, Hazara adalah sekitar 67 peratus penghuni wilayah yang dinamai Afghanistan.

Apakah yang berlaku, mengapa angka mereka susut mendadak sekali?

“Pembunuhan,” sahut Hussein menahan sendu.

Saya menelan liur.

Seekor merpati terbang rendah di kepala.

Kami berwudhu dan masuk dalam ruang legar masjid.

Selesai sembahyang sunat saya menghayati reka bentuk dalaman Masjid Biru.

Hussein di sisi.

Saya melihat di matanya ada sejarah bangsa Hazara selaku penternak unta, penjinak kuda dan kaldai, dan juga timpaan derita saudagar Laluan Sutera yang menempuh India dan Asia Tengah menerusi Bamiyan (tempatnya berhala Buddha yang dibom Taliban 1.0).

Orang Hazara lama dahulu hidup bebas tanpa ketua, sehinggalah disatukan oleh seorang tokoh agung, Mir Yazdan Baksh (sekitar 1800 masehi).

Kehebatan Mir Yazdan Baksh menggerunkan Raja Afghan Dost Mohammad Khan.

Tambah ketika itu bangsa Hazara lebih ramai.

Khan mengundang seorang pemuka Hazara (dikenal sebagai Yazdan) ke Kabul konon untuk menghulurkan tangan atas nama Islam.

Khan malah bersumpah dengan al-Quran.

Akan tetapi sebaik tiba di Kabul, Yazdan dan pasangannya diserkup dan dikurung.

Panjang cerita, diringkaskan, Yazdan dan isterinya bagaimanapun dapat melarikan diri.

Ini adalah insiden pertama mendiam dan menekan Hazara oleh orang Afghan.

Penaklukan Hazaristan bagaimanapun disempurnakan oleh Raja Abdur Rahman Khan pada tahun 1888 Masehi.

Sebagai seorang Sunni ekstremis, beliau mengisytiharkan Hazara bukan beragama Islam dan memulai kempen pembunuhan orang Hazara.

Rahman Khan menghimpunkan semua puak Pashtun dan membuat perjanjian, “Setiap kepala orang Hazara yang dipenggal akan menjadi milikku, manakala harta dan tanah orang Hazara yang dikorban menjadi milik kamu”.

Perjanjian ala Pagan itu membolehkan sekelip mata angka orang Hazara menurun.

Ini kerana mereka dipadam dengan pembunuhan.

Perlahan-lahan banyak wilayah dari negeri Hazara menjadi milik Pashtun.

Penaklukan Hazaristan penuh kekejaman.

Wanita Hazara diperkosa dan dikahwini paksa.

Orang Hazara juga dipaksa mencaci Saidina Ali (yang dianggap sebagai Imam pertama oleh orang Syiah), kaum lelaki yang remaja ditangkap dan zakar mereka dibakar, agar tiada berketurunan.

Cukai tinggi pula dikenakan kepada peniaga Hazara.

Untuk seketika bangsa Hazara tidak melawan.

Harinya tiba apabila seorang perempuan Hazara dirogol oleh 33 orang askar Afghan di sebuah desa.

Peristiwa itu keterlaluan dan mendorong pemberontakan di Mazar-I-Sharif.

Abdul Rahman panik, lantas menghimpunkan semua agamawan Sunni di Afghanistan dan mengisytiharkan Syiah adalah kafir dan memerangi mereka adalah jihad.

Pemberontakan kaum Hazara dipatahkan dan ramai antara mereka dijual menjadi hamba di Kabul.

Ada yang dijual sedemikian murah dengan harga 10 genggam gandum.

Dengan mata bergenangan air, Hussein menjelaskan, “Terdapat sebuah jambatan di Kabul yang dinamai “Pul e Yak Piasagi” atau “Jambatan Satu Paisa” kerana anak yatim Hazara dijual dengan harga satu paisa di sini.

Sejak itu Hazaristan menjadi bahagian dari Afghanistan.

Orang Hazara diangkut dan dipindahkan ke pelbagai daerah dalam Afghanistan.

Ramai yang tidak tahan, terpaksa berhijrah ke Quetta, India.

Ada yang melarikan diri ke Iran.

Orang Hazara yang diperhambakan di Kabul dikenali sebagai Hazara Kabuli, dan dipaksa menganut mazhab Sunni.

Tanah-tanah Hazara diberikan kepada puak Pashtun, dan wanita Hazara dijadikan hamba seks.

Pada tahun 1893 misalnya, 47 orang wanita Hazara terjun dari puncak gaung untuk mengelak diri dari kehormatan mereka dicabul dan dimiliki oleh askar Afghan.

Kisah menyedihkan itu diingatkan dalam sebuah peribahasa Parsi, “Sag e Afghan kas Dara adam e Hazarah nah” “Anjing Pashtun ada pelindungnya, tetapi orang Hazara tak punya siapa.”

Hanya pada tahun 1923, perhambaan terhadap orang Hazara dimansuhkan oleh Inggeris.

Islam membunuh Islam, Inggeris juga yang menghentikannya.

Pun sehingga tahun 1970-an, orang-orang Hazara terus dijadikan mangsa.

Senjata rogol adalah yang paling selalu digunakan.

Malah ada orang Afghan percaya, memperkosa 40 orang wanita Hazara akan dapat mensucikan dosa seumur hidup mereka.

Pada tahun 1998, ketika Taliban memasuki Mazar-i-Sharif, lapan ribu orang Hazara disembelih di kota itu.

Penguasa Taliban, Mullah Manon Niazi, gabenor Mazar-i-Sharif, membuat ucapan di Masjid Biru dan disiarkan di radio: “Di mana pun kalian, kami akan memburu dan membunuh kalian. Jika kalian bersembunyi di atas, kami akan menarik kaki kalian. Kalau kalian bersembunyi di bawah, kami akan menarik hujung rambut kalian supaya terbit ke atas.”

Niazi memilih tahanan Hazara yang diingininya setiap hari untuk disumbat ke dalam tong kematian, sebuah tong yang digunakan untuk melemaskan orang Hazara.

Manakala Mullah Musa, Pengarah Kesihatan Taliban di Mazar-i -harif akan meronda hospital sehari sekali untuk membunuh 10 orang pesakit atau pengunjung mereka dari kalangan Hazara.

Malah perkarangan Masjid Biru pernah menyaksikan 300 orang Hazara ditembak mati oleh Maulawi Mohammed Hanif, seorang komander Taliban.

Ketika Taliban dikalahkan sementara, Amerika dan tentera Nato menduduki Afghanistan, dan di bawah pemerintahan Hamid Karzai, Hazara diberikan hak setara.

Pun, diskriminasi ratus tahun tidak dapat memadam penindasan orang Afghan (Pashtun dan Tajik) terhadap Hazara.

Terbiasa menindas, Pashtun memandang Hazara seakan haiwan.

Peluang untuk Hazara masih kecil.

Malah dalam kepuk wang dana dan bantuan antarabangsa untuk Afghanistan, Hazara selalu terlepas peluang; dan korupsi sesama Pashtun dan Tajik menyebabkan Hazara sering ketinggalan.

Saya masih ingat angin kering yang bertiup dan menimpa muka saya di luar Masjib Biru di Mazar-i-Sharif.

Saya masih ingat wajah syahdu Hussein.

Mendengar kisah rawan itu saya hilang kata-kata, saya hanya mampu melafazkan; “Saudaraku satu hari kelak semua kejahatan ke atas kalian akan dapat ditebus. Mereka yang mati secara zalim akan bangkit kembali. Mereka akan menuntut bela. Ya, di akhirat mereka pasti dihukum dan diazab, tetapi sebelum itu hak mereka yang terbunuh secara jahat pasti diberi sempat.”

Kami duduk di perkarangan Hazrat Ali Mazar, memerhatikan burung merpati melayah rendah, mematuk dedak yang ditabur pengunjung.

Hazrat Ali di Mazar-i-Sharif, Afghanistan.

“Dr, tahu tidak yang Hazrat Ali Mazar ini mitos dipercayai orang Sunni Afghan. Kami Syiah Hazara percaya Imam Ali syahid dan disimpan di Najaf, Iraq. Namun orang Sunni Afghan yakin yang setelah Imam Ali syahid, seekor unta membawa jenazah Imam untuk dilarikan. Supaya jenazah baginda tidak dirosakkan Khawarij dan juak Muawiyah. Maka Sunni Afghan yakin di Hazrat Ali Mazar inilah Saidina Ali, menantu Rasulullah saw dikebumikan.”

Saya memegang lengan Hussein, “Maafkan saya. Maafkan Sunni yang tidak pernah mempertahankan nasibmu kawan. Saya malu, saya jijik dengan penindasan.”

Hujung musim gugur 2007.

Saya mengikuti rombongan ke Bamiyan hujung minggu itu.

Hussein melambai-lambai dari bawah bas. “Saya tidak dapat ikut sekali Dr, ibu saya kanser, perlu dijaga. Saya tunggu kepulangan Dr di Mazar-i-Sharif.”

Suara Hussein agak kambuh di bawah leter dan ketar enjin bas yang usang.

Saya masih ingat mata beningnya yang sepet dan kecil itu.

Saya membalas lambaiannya dari jendela yang terbuka.

“Dr mesti pulang ya…” teriak Hussein lebih beria, “Saya mahu belajar mengarang, saya mahu menulis kisah orang Hazara. Tidak memadai apa yang dinukilkan Khaled Hosseini dalam novel-novelnya.”

Saya tidak ingat apa jawapan balas saya.

Mungkin saya hanya mengangguk.

Saya tahu saya akan menemuinya kembali, kerana masih ada tiga minggu berbaki sebagai pensyarah tamu di kampus Balkh.

Akan tetapi semua yang lalu itu menjadi memori mengejutkan.

Bas kami ke Bamiyan diserang hendap sisa Taliban Saya dipukul buntut raifal.

Saya tak begitu mengingat insiden berdarah tersebut.

Sewaktu sedar, saya dalam pesawat tentera Nato menuju Tashkent, Uzbekistan.

Begitu saja hubungan saya dan Hussein terputus.

Tiada emel.

Lama saya mencari beliau.

Saya menyelongkar media sosial, dia tiada.

Lagipun ada berapa ribu Hussein Hazara di alam maya.

Beberapa teman aktivis di United Nations ada membantu, tetapi semua gagal.

Mungkin saya sendiri kurang gigih bersungguh.

Sehinggalah Ogos 2020, tahun lalu, seorang diplomat Iran menelefoni saya dari Herat. “Dr Tehrani kenal Hussein Royesh? Ini ada berita dari serangan ISIS-K terhadap wad bersalin hospital Médecins Sans Frontiéres di Kabul, Afghanistan.”

Jantung saya bagai direntap, saya tahu serangan ISIS pada 12 Mei 2020 itu mengambil nyawa 15 orang ibu Hazara di wad bersalin.

Lima daripada mereka betul-betul sedang melahirkan anak, ditembak bertubi-tubi.

Media tidak menyebut mereka Hazara.

Media hanya menyebut mangsa adalah wanita Afghan.

“Encik Royesh kehilangan isteri dan anaknya dalam kejadian itu.”

Ya Allah, Ya Nabi, Ya Ali.

“Di mana Hussein?” Saya menggeletar.

Suara diplomat Iran berat di hujung gagang. “Dia selamat. Dia cuma mahu saya memesankan, yang dia masih menunggu Dr Tehrani. Dia minta saya menyampaikan salam dan memberitahu begini, ‘Saya tunggu di Mazar-i-Sharif’. Itu pesannya…itu pesan Hussein Royesh.”

Air mata saya berlinangan tanpa sedar, ada sebutir jernih bergayut di hujung janggut saya yang kekelabuan.