- Iklan -
Kolum

Kemiskinan digital, minda dan budaya

Internet adalah satu hak asasi manusia sekarang, dan bukan lagi keperluan mewah.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Marilah kita berjujur dan memilih untuk merenung bersama-sama.

Tiga keadaan yang sedang dihadapi (mungkin juga istilah dihidapi) oleh generasi baru kita, sangatlah runcing.

Yang saya maksudkan dengan – generasi baru – ialah lapis anak-anak kita.

Pandemik ini betul-betul mendera mereka.

Ada tiga masalah yang jika tidak ditangani segera, akan melarat; justeru membuatkan generasi ini tertinggal dan buta serba-serbi.

Pertama, kemiskinan digital (digital poverty) adalah satu masalah yang sangat kritikal dan kelihatan demikian jelas sebaik sahaja pandemik coronavirus meledak.

Internet adalah satu hak asasi manusia sekarang, dan bukan lagi keperluan mewah.

Ia adalah keperluan asas.

Malah untuk masuk ke kedai dan toko misalnya kita mesti memerlukan sebuah alat atau telefon yang mempunyai pancaran internet yang mencukupi.

Mysejahtera misalnya menjadi kemestian.

Saya berasa yakin yang terdapat populasi dengan jumlah signifikan besarnya (meskipun saya tiada data mentah) mengalami pengecualian digital atau terkeluar dari radar pemilikan digital ini.

Kemiskinan digital bermaksud seseorang itu tiada akses internet, atau buta, atau separa celik digital (low levels of digital literacy).

Bukan sahaja golongan miskin digital ini akan ketinggalan dari segi keperluan untuk kemaskini kesihatan (yang kini serba-serbi canggih), di mana ia dihubungkan menerusi internet, tetapi mereka juga tercicir dari segi pembelajaran dan pengajaran yang menggunakan alatan digital ini.

Bayangkan mereka yang terhempuk oleh kemiskinan bandar, bayangkan anak-anak Orang Asli dan Orang Asal kita di pedalaman, bayangkan pula anak-anak di pulau kecil, bayangkan anak-anak OKU dek bisu atau cacat penglihatan; bayangkan pula anak-anak bandar kelas menengah yang beroleh akses digital yang lebih mewah.

Jurang antara generasi anak-anak ini sangat lebar.

Setiap hari berlalu oleh pandemik ini, jarak yang meluas antara mereka sungguh membimbangkan.

Dalam erti kata lain, akan ada generasi anak-anak yang tertinggal dari segi ilmu pengetahuan, dan peluang.

Sudahkah kita mengukur bilakah kita dapat mengatasi kemiskinan digital ini?

Sudahkah kita memikirkan bagaimana pula caranya untuk mengatasi kemiskinan digital yang sengit ini?

Jujurnya adakah kita (atau mereka?) benar-benar membincangkan persoalan menggila ini?

Kisah pelajar mencari internet di hulu sungai, sebalik semak, di dalam estet, berjalan kaki jauh; dan memanjat pohon adalah antara kisah perit yang kadang-kala muncul untuk tatapan kita.

Ia menyentak kita sementara, kemudian dilupakan sekelip mata.

Mereka juga tiada jumlah komputer riba yang cukup untuk belajar, selain terdapat gangguan internet yang kerap.

Untuk unit keluarga yang ekonominya terkesan oleh pandemik ini, makanan di atas meja menjadi keutamaan berbanding data, maka penutupan sekolah yang berterusan (dan juga kepontengan kerana khuatir perebakan virus) jelas sekali membaham generasi mendatang.

United Kingdom misalnya menyedari masalah ini, dan kerajaan mereka (tanpa rasuah dan masuk tender orang parti) berusaha menangani keadaan ini dengan membekalkan laptop, tablet dan internet percuma untuk golongan terkesan.

Telefon bimbit yang dibekalkan tidak terbakar tiba-tiba.

Saluran televisyen BBC2, CBBC dan perkhidmatan BBC Red Button memberikan perhatian besar kepada muatan berunsur pendidikan.

Maksud saya, saluran pendidikan di TV itu memang ada dan bukan heboh-heboh sahaja.

Topik yang diberi keutamaan ialah matematik, bahasa inggeris, dan sains.

Terdapat semacam sistem penjejakan (tracking system) digunakan untuk memantau dan membantu guru dan ibu-bapa membaiki kehadiran anak-anak, serta komunikasi mereka dalam bidang pendidikan.

Dengan jujur sahaja, adakah menteri pendidikan di bawah kerajaan sedia ada hari ini, ada membaiki dan menangani keadaan di atas?

Jika mereka mendakwa ada, di manakah hasilnya dan apakah kesan yang segera yang dapat dilihat?

Kedua, pendedahan yang luar biasa lama dengan alat digital dan internet juga membawa kesan buruk.

Generasi anak-anak kita atau dinamai generasi “pandemik” ini akan berdepan dengan kemiskinan tahap kecerdasan minda.

Ini terjadi kerana mereka berada dalam keadaan terlalu lama mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian di rumah.

Mereka menghadap telefon pintar atau gajet dalam tempoh yang panjang, melebihi empat lima jam.

Akibatnya, kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun mengalami kemiskinan motivasi, kebosanan dan bermacam bentuk tekanan.

Pertengkaran adik beradik meningkat ekoran kemurungan dan perasaan yang tidak stabil.

Kanak-kanak ini juga kurang aktiviti fizikal, khususnya mereka yang tinggal di flat dan pangsapuri di bandar.

Mereka terperam dan terperap di rumah dan hanya mendapat pendedahan dunia luar menerusi alat digital terhad yang mereka miliki (kadang-kala dikongsi dengan adik beradik lain, malah berpinjaman dengan ibu-bapa).

Anak-anak ini juga tidak mempunyai kawan sebenar dan lebih banyak berkawan secara maya di mana teman mereka adalah menerusi permainan dalam talian seperti Roblox yang ikut mendedahkan mereka kepada pembulian siber.

Bahasa anak-anak bertukar menjadi kesat dan kasar.

Anak-anak juga sudah malas dan tiada keupayaan untuk membaca panjang.

Buku sudah tidak diuliti dan bahan yang belum tentu menyegarkan minda diperolehi dengan mudah di dalam talian.

Bahan-bahan ini belum tentu bermutu dan membawa kepada kemiskinan pengetahuan yang demikian mendasar dalam kalangan anak-anak.

Ini bukan sahaja berlaku kepada anak-anak murbawan tetapi juga anak kelas menengah (malah merekalah yang lebih terkesan lantaran ada kemampuan digital yang lebih).

Ketiga, kesan dari dua masalah di atas ialah anak-anak juga mengalami kemiskinan budaya di mana pengetahuan mereka mengenai seni dan budaya amat terhad.

Dalam hal ini anak-anak tidak lagi mengalami dan menikmati pengalaman seni secara berkesan.

Kelas seni seperti lukisan dan muzik berpindah ke dalam talian dan ternyata tidak mendatangkan hasil memuaskan.

Anak-anak juga tidak lagi merasai pengalaman drama atau teater yang menumbuhkan kerohanian dan juga kemampuan batini mereka.

Penggunaan deria rasa yang terhad oleh keterbatasan pergerakan juga menghalang keinginan mereka terhadap kefahaman budaya.

Ia diburukkan oleh masalah kekurangan membaca.

Anak-anak banyak bergantung kepada video, sogokan di Youtube dan suguhan di Tiktok yang sangat kurang kekuatan budayanya.

Masalah ini sangat mendasar dengan anak-anak seni sendiri mengalami tekanan jiwa lantaran tidak dapat berkarya, terperosok dalam masalah ekonomi dan pencarian rezeki.

Penonjolan filem di televisyen juga lebih banyak bersifat aksi dan tidak menumbuhkan seni halus yang tajam.

Ketidakmampuan menghayati seni yang berat, hantaran budaya yang dalam, dan juga tujahan ilmu yang berkualiti pasti dan tentu sahaja menghumbankan generasi anak-anak kita ke lorong kumuh peradaban dua dekad mendatang.

Soalnya, dengan menyedari semua masalah di atas adakah kerajaan Perikatan Nasional (atau kerajaan Barisan Nasional, atau Keluarga Malaysia?) ada pelan yang jelas mengenainya.

Alasan bahawa kerajaan ini sifatnya sementara dan akan menunggu pilihan raya umum datang adalah alasan tidak bertanggungjawab dan sungguh cabul.

Jika benar, kita hendak menanti tarikh luput kerajaan maka kita akan tertinggal hampir dua tahun dalam perlumbaan untuk membetulkan negara dan peradaban bangsa.

Ketinggalan 24 bulan sangat menakutkan, ia adalah rentang masa dan jurang jauh yang boleh menyebabkan kita karam buat selama-lamanya.

Kita memerlukan pemimpin atau perdana menteri dengan pelan.

Bukan boneka.

Kita memerlukan sebuah rangka pemulihan negara yang akan digerakkan oleh seorang yang ada rekod kejayaan.

Bukan rekod kegagalan.

Berjujur sahaja.