Pada 11 September 2001, saya berada di sebuah klinik di Segambut, Kuala Lumpur.
Sekitar pukul 8.00 malam, seorang rakan wartawan di Utusan Malaysia menelefon saya.
“Tengok berita sekarang. New York kena serang.”
Saya terus menoleh pada televisyen dalam klinik yang sedang menyiarkan gambar orang berlari-lari di New York dengan kepulan asap.
Keesokannya, seorang lagi editor menelefon saya.
“Ini bukan serangan pengganas biasa. Ini macam perang. Amerika kena serang,” katanya.
Benar. Ini bukan serangan biasa.
Walaupun apa yang sering dipaparkan adalah serangan ke atas bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC), tetapi operasi itu melibatkan juga dua sasaran lain iaitu White House dan Pentagon.
Serangan ke atas White House itu dapat dipatahkan tetapi Pentagon mengalami kerosakan besar.
WTC itu dilambangkan sebagai pusat ekonomi Amerika Syarikat (AS)
White House pula adalah pusat politik dan Pentagon merupakan bangunan markas utama ketenteraan.
Pada Oktober tahun itu, Presiden George W Bush mengumumkan pelancaran War on Global Terror atau Perang ke atas Keganasan Sedunia.
Operasi untuknya dinamakan Operation Infinite Justice atau Operasi Keadilan Maha Besar.
Tetapi ia kemudiannya ditukarkan kepada Operation Enduring Freedom atau Operasi Kebebasan Berkekalan.
Infinite Justice itu bernada keagamaan.
Ungkapan Infinite Justice itu hanya boleh merujuk kepada Tuhan.
AS tidak boleh mewakili Keadilan Maha Besar.
Jika ungkapan itu digunakan, ia menggambarkan bahawa operasi itu berbentuk agama, Kristian lawan Islam.
Seolah-olahnya AS itu negara Kristian dan Al-Qaeda itu adalah pihak Islam.
Sedangkan AS itu negara sekular dan Al-Qaeda dengan kaedahnya berbentuk pembunuhan orang awam secara membunuh adalah terorisme, yang jelas ditolak oleh ulama arus perdana seluruh dunia.
Jika persepsi itu berlaku, umat Islam di seluruh dunia boleh terdorong menyebelahi Al-Qaeda dengan memperkecilkan sifat terorisme kumpulan itu.
Peperangan berbentuk keagamaan Kristian-Islam di seluruh dunia akan mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan manusia sejagat.
Dalam menghadapi peristiwa 11 September, adalah bukan matlamat AS untuk mengheret dunia kepada perang keagamaan Kristian-Islam.
Ia hanya mahu mempertahankan kedudukannya sebagai kuasa utama dunia.
Mereka mahu menampilkan dirinya sebagai benteng kebaikan, iaitu negara yang mendokong kebebasan.
Sedangkan Al-Qaeda itu adalah pihak kejahatan yang menyerang AS kerana menolak nilai dan gaya hidup kebebasan.
Al-Qaeda adalah pihak yang mahu mengongkong kebebasan manusia.
Maka ekoran itu, nama operasi itu ditukar menjadi Operation Enduring Freedom.
AS mahu mempertahankan kebebasan yang berpanjangan.
Kebebasan itu diwakili oleh AS yang nilai serta gaya hidupnya diamalkan oleh dunia Barat.
Untuk itu, mereka berusaha untuk memusnahkan Al-Qaeda yang ketika itu berada di Afghanistan.
Keengganan kerajaan Taliban menyerahkan Al-Qaeda pada mereka membawa kepada penaklukan Afghanistan.
Matlamat yang asalnya adalah untuk menghapuskan Al-Qaeda akhirnya menjadi misi untuk menjadikan negara Afghanistan sebagai sebuah negara bernilai dan bergaya hidup Barat, selaras dengan kebebasan yang diperjuangkan oleh AS.
Operasi ini berakhir pada tahun 2014 apabila Presiden Barack Obama selesaikan misi membunuh Osama ben Laden di Pakistan.
Ia digantikan dengan Operation Freedom Sentinel atau Operasi Penjagaan Kebebasan.
Presiden Joe Biden mengundurkan kesemua tentera AS dari Afghanistan pada 11 September 2021, dan berakhirlah operasi yang berjalan selama 20 tahun itu.
Dengan kembalinya Taliban menguasai Afghanistan, maka berakhirlah juga misi AS untuk mewujudkan sebuah negara demokratik dan bebas di Asia Tengah.
Tetapi matlamat AS untuk menghapuskan Osama dan Al-Qaeda sudah tercapai.
Kumpulan serpihan Al-Qaeda yang bernama IS-K atau Islamic State-Khorasan kelihatannya diserahkan saja pada Taliban untuk menanganinya.
Bagi umat Islam dan gerakan Islam seluruh dunia, Peristiwa 11 September itu adalah juga suatu masalah.
Di sini perlu dijelaskan perbezaan dan persamaan antara umat Islam dan gerakan Islam.
Umat islam adalah seluruh orang yang beragama Islam dengan institusi-institusinya, baik dalam bentuk negara-negara Islam atau komuniti-komuniti Islam dan orang perseorangan Muslim di negara bukan majoriti Islam.
Sementara gerakan Islam adalah kumpulan-kumpulan Islam di seluruh dunia sama ada berbentuk parti politik atau persatuan tidak berdaftar yang berusaha untuk mewujudkan cara hidup Islam.
Gerakan ini datang dalam berbagai bentuk, sama ada melalui proses demokrasi, revolusi, dakwah, kebajikan, pendidikan, penyelidikan, media massa atau berperang.
Dengan kepelbagaian kumpulan ini, tafsiran mengenai cara melaksanakan Islam juga adalah berbagai.
Keadaan ini juga membawa kepada perbalahan sesama sendiri.
Bagi kumpulan Islam yang bergerak dengan mengikut undang-undang, ia tidak menjadi masalah.
Apa yang menjadi masalah ialah kumpulan yang mengangkat senjata untuk mencapai matlamatnya.
Di sini perlu dihuraikan perbezaan antara maksud radikal, ekstremis, konservatif, militan, teroris dan pengebom bunuh diri atau “suicide bombers”.
Seringkali istilah ini dicampur adukkan hingga menimbulkan salah faham dan persepsi buruk terhadap umat Islam dan gerakan Islam.
Radikal dalam konteks ini bermaksud seseorang yang mahukan perubahan mendadak.
Ia tidak semestinya daripada kalangan gerakan Islam.
Dalam gerakan fahaman politik lain juga ada radikal.
Dia juga tidak semestinya menggunakan kekerasan dan mengangkat senjata.
Ada radikal yang hanya bercakap tetapi tidak melakukan sebarang tindakan.
Ekstremis atau pelampau adalah seseorang yang berpandangan keterlaluan dalam fahaman politiknya.
Maknanya, dalam berpegang sesuatu prinsip dia tidak mengambil kira soal kemanusiaan, budaya, konteks masyarakat dan tidak toleran atau kompromi dengan pihak lain.
Tetapi mereka juga tidak semestinya mengangkat senjata.
Tidak semua radikal adalah ekstremis.
Tidak semua ekstremis adalah radikal.
Kalau ekstremis itu tidak memperjuangkan perubahan mendadak, dia bukan radikal.
Konservatif pula adalah pendirian seseorang yang mahu mengekalkan fahaman tradisional.
Mereka tidak mahu perubahan pada tafsiran yang lama walaupun keadaan masyarakat dan dunia sudah berubah.
Lawan konservatif adalah progresif, iaitu fahaman yang mahu meneroka kaedah baru dalam agama supaya sesuai dengan perubahan zaman dan perbezaan tempat.
Istilah militan adalah yang paling banyak disalahgunakan sehingga ia disamakan dengan teroris.
Tidak semua militan adalah teroris.
Tidak semua teroris adalah militan.
Militan adalah kumpulan bukan tentera rasmi yang mengangkat senjata untuk berperang.
Kalau tentera rasmi dipanggil military.
Teroris atau pengganas pula adalah mereka yang menyerang orang awam secara sengaja.
Kalau militan tidak menyerang orang awam, maka ia bukan teroris.
Dalam kalangan teroris pula, ada yang menjadi pengebom bunuh diri atau suicide bombers.
Dulu ada pihak yang menggunakan istilah pengebom berani mati.
Istilah itu tidak tepat.
Berani mati tidak semestinya membunuh diri.
Dari segi Islam, teroris pasti ditolak.
Ia membunuh orang awam dan tidak berperikemanusiaan walaupun mereka berjuang atas nama Islam.
Maka kumpulan seperti Al-Qaeda dan Daesh tidak boleh dimasukkan ke dalam Gerakan Islam.
Sebaliknya mereka adalah pengkhianat kepada umat Islam.
Kalau mengikut takrifan ini, Taliban adalah kumpulan radikal, ekstremis, konservatif dan militan tetapi mereka bukan teroris.
Iaitu selagi tidak menjadikan orang awam sebagai sasaran.
Kumpulan teroris adalah IS-K.
Semasa konsep gerakan Islam muncul pada akhir tahun 1980, tidak ada teroris dalam kalangan mereka.
Daripada Hezbollah, Hamas dan kumpulan-kumpulan Mujahidin, mereka adalah radikal dan militan tetapi bukan teroris.
Selepas 20 tahun kemudian, barulah Al-Qaeda yang lahir sebagai serpihan Mujahidin muncul dengan kemuncaknya ialah peristiwa 11 September.
Selepas peristiwa itu, penaklukan AS ke atas Iraq meluaskan aktiviti Al-Qaeda hinggalah melahirkan Daesh sebagai serpihannya.
Kumpulan ini adalah teroris paling ekstrem.
Setelah 20 tahun berlalu, ia terus menjadi beban bukan saja bagi AS dan dunia Barat tetapi juga umat Islam dan gerakan Islam.