- Iklan -
Kolum

Planet Nobel

Dalam minggu-minggu mendatang, iaitu pada bulan Oktober ini; senarai baru penerima Hadiah Nobel akan mulai diumumkan secara berperingkat.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Awal tahun ini satu perbincangan antara sebahagian besar penerima Hadiah Nobel diadakan menerusi Pertemuan Nobel 2021 (buat pertama kali).

Penerima anugerah tersebut, dari rentas disiplin, menyedari bahawa Anugerah Nobel diciptakan dengan tujuan “memberi manfaat besar kepada kemanusiaan”, di mana kejayaan yang memberi kesan manusiawi untuk membina lingkungan selamat, makmur dan aman, selain pengasasan dan penemuan asas saintifik diraikan.

Tentu, dalam ramai-ramai penerima Hadiah Nobel tersebut, akan ada yang kontroversial kerana dirasakan tidak layak.

Saya tidak akan menyentuh kontroversi tersebut dalam karangan ini.

Sains, salah satu bidang utama dalam Nobel menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi, dan kehidupan lebih bermakna.

Bak kata Marie Curie, penerima Hadiah Nobel sebanyak dua kali (1903 dan 1911); “sains adalah asas kepada kemajuan yang mengangkat beban kehidupan dan mengurangkan kemeranaan.”

Pertemuan buat pertama kali ini tentulah menarik memandangkan dunia sedang dilanda pandemik, hak asasi manusia sedang digugat dengan dahsyat sekali, ketelusan maklumat sudah tiada, dan terdapat krisis iklim yang demikian teruk selain ancaman terorisme yang tidak pudar.

Cabaran lain yang sedang kita hadapi ialah peningkatan populasi miskin dan melarat, korupsi yang sengit, demokrasi yang sedang dirongrong dan keperluan untuk manusia berubah secara baik ke arah kesejahteraan bersama.

Justeru, sebahagian besar penerima Hadiah Nobel yang hadir menyedari generasi mendatang akan mengalami masalah yang menyesakkan jika tidak ditangani segera.

Seperti mana pernah ditekankan oleh Albert Einstein, penerima Hadiah Nobel tahun 1921; “kita memerlukan cara berfikir baru demi kemanusiaan supaya kita dapat meneruskan kelangsungan kewujudan kita dan bergerak ke arah tahap seterusnya.”

Dalam banyak-banyak krisis yang sedang dialami kemanusiaan, penerima Hadiah Nobel memilih satu yang mungkin tidak masyhur atau kurang sedap: hubungan manusia dengan planet bumi.

Ini kerana penerima Hadiah Nobel yang hadir dalam pertemuan itu memikirkan, masa depan manusia adalah masa depan bumi ini.

Apa yang dimaksudkan dengan masa depan bumi?

Ia adalah gagasan di mana masyarakat atau populasi dunia bukan sahaja memerlukan iklim yang semenggah, hutan tanah air dan galian yang dapat diguna bersama, dan itu semua dijaga seimbang seraya membina ekonomi tanpa mengganggu gugat sistem bumi yang tercipta untuk kita nikmati secara bersama-sama.

Manusia sedang menempuh era “anthropocene” seperti mana disebut-sebutkan oleh Paul Crutzen, penerima Nobel 1995; di mana era “holocene” (zaman manusia) yang selama ini mendasari pembahagian era geologi bumi selama 12 ribu tahun sudah berubah.

Jika era “holocene” adalah zaman hubungan senonoh manusia dan bumi, era “anthropocene” sama sekali berbeza.

Ia adalah era manusia melakukan kerosakan di muka bumi secara rakus dan terang-terangan.

Selain pemanasan global, dan macam lagi krisis ciptaan sendiri; endemik-pandemik yang menimpa umat manusia lewat ini adalah kerana hubungan manusia dengan haiwan-mergastua dan bumi ini sudah terlalu parah.

Tanpa menyedari fungsi alam misalnya, manusia menerangkan hutan dan habitat haiwan.

Manusia juga memilih untuk memakan haiwan yang tidak patut membuka jalan kepada pembiakan penyakit baru.

Di negara kita, dapat dilihat parti agamalah yang paling beria memusnahkan bumi ini, dengan menyokong aktiviti pembalakan demi keuntungan.

Ia dibantu oleh kelompok pemerintah yang tuhannya terpancar pada bayang-bayang mereka iaitu semata-mata adalah materi.

Penerima Hadiah Nobel yang hadir dalam summit pada bulan april 2021 itu beranggapan pandemik Covid-19 adalah malapetaka paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua.

Untuk bencana sebegini besar, manusia harus melakukan sesuatu untuk mengatasinya; dan juga untuk membendung kerosakan terhadap bumi dari berlaku terus-terusan.

Mereka yang menyandang gelar penerima Nobel juga merasa bimbang dengan rasa tidak apa, atau pandangan remeh manusia terhadap pemanasan global.

Dari lapan juta spesis sedia ada di muka bumi ini, satu juta sedang terancam; manakala sejak 1970-an, lebih 68 peratus spesis vertebrata sudah mengalami kemerosotan mendadak.

Selain masalah ketidakseimbangan ekologi yang mencanak, masalah ketidaksetaraan juga sedang menggentel puting kemanusiaan dengan rakusnya, menggigit dan menggomoli kita tanpa cegah.

Jurang perbezaan dalam kesihatan, pendidikan dan juga kemakmuran begitu luas dan memberi impak beberapa lapis generasi di mana mereka tidak dapat keluar dari lingkungan nafsu iblis.

Terdapat hubungan antara dua masalah ini tanpa sedar kita.

Cara negara maju menangani masalah pemanasan global berkait tidak langsung dengan bencana ketidaksetaraan di dunia hari ini.

Menyedari aneka masalah yang sedang menimpa bumi dan generasi hari ini, penerima Hadiah Nobel merayu agar satu program mengambil berat planet atau bumi ini digerakkan besar-besaran.

Mereka menyarankan tujuh lapangan untuk dipugar, dititikberatkan dan diberi perhatian besar-besaran.

Pertama, menggerakkan polisi yang dapat mengendur, mencair dan merapatkan jurang kemiskinan, ketidakpercayaan, dan kemakmuran antara semua manusia; di mana polisi ini mengambil kira kesihatan dan kelangsungan bumi.

Kedua, menggerakkan ketelusan maklumat agar inovasi ke arah kebaikan dan kesejahteraan manusia dapat diteruskan.

Ketiga, bidang pendidikan disepadukan; di mana metode saintifik yang memastikan kecemerlangan politik, ekonomi dan pengimbangan dunia ini dipupuk segera dan diintegrasi dalam bidang pendidikan.

Keempat, media dan teknologi digital yang lebih bertanggungjawab diberi penekanan agar tujuan kemanusiaan secara bersama terjaga dan bukan mengkehadapankan agenda tertentu yang akan hanya menyebabkan kepincangan.

Kelima, perniagaan dan pendanaan yang berasaskan sains-baik untuk manusia sejagat tanpa mengabaikan persekitaran dan keperluan tuntutan sosial dikempenkan secara besar-besaran.

Keenam, kerjasama saintifik dan rentas disiplin sains antara negara; selain yang melibatkan kearifan lokal (tempatan), dan ilmu tradisional mesti dipugar agar kelestarian sejagat kembali teratur dilakukan mulai sekarang.

Ketujuh, perkongsian ilmu yang lebih meluas dan telus supaya nilai positif dapat dikembalikan dalam polisi awam, model bisnes dan pengetahuan awam; mesti dikemukakan dengan lebih berkesan.

Ketujuh-tujuh poin di atas menurut penerima Hadiah Nobel yang masih hidup sangat penting diterapkan dan dikemukakan dalam semua lapangan keilmuan.

Ini penting untuk mengatasi masalah yang menimpa umat manusia hari ini, dan masa depan.

Antara penerima Hadiah Nobel yang menandatangani deklarasi ini adalah Hiroshi Amano,

Carlos Filipe Ximenes Belo, Mairead Corrigan-Maguire, Dalai Lama, Shirin Ebadi, Mohamed ElBaradei, Avram Hershko, Elfriede Jelinek (penerima Hadiah Kesusasteraan 2004), Wole Soyinka (penerima Nobel Kesusasteraan 1986), Tawakkol Karman, Muhammad Yunus dan wakil kita dari Asia Tenggara, José Ramos-Horta iaitu penerima Nobel Keamanan 1996.

Dalam minggu-minggu mendatang, iaitu pada bulan Oktober ini; senarai baru penerima Hadiah Nobel akan mulai diumumkan secara berperingkat.

Adalah dipercayai generasi penerima Nobel akan terlihat, terilham dan tercermin tujuh poin atau gagasan baharu Hadiah Nobel.

Kita akan melihat cendekiawan, intelegensia, saintis, pemikir dan seniman yang nekad konsisten dan beriltizam untuk mencapai tujuh harapan baru Planet Nobel itu diketengahkan.

Namun demikian, adakah penganjur iaitu pemberi Hadiah Nobel akan benar-benar melihat secara menyeluruh dengan mengiktiraf wakil dan tokoh dari segala ceruk rantau (yang mencerminkan tujuh harapan baru diatas) belumlah diketahui.

Komitmen itu hanya akan teruji tidak lama lagi, ya dalam bulan Oktober.