- Iklan -
Kolum

Tugas kawal Covid-19 kini di tangan rakyat

Apakah rakyat Malaysia dapat berdisiplin di dalam jihad melawan Covid-19 ini?

Timmy Say
1 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Tugas kerajaan menghadapi Covid-19 hampir selesai iaitu memastikan hampir semua rakyat dicucuk di lengan dengan vaksin.

Bagi yang bertegas untuk tidak mengambil vaksin, kerajaan hanya boleh hadkan kebebasan mereka, dan barangkali terpaksa mengenakan premium perubatan untuk merawat Covid-19 jika dijangkiti.

Aktiviti ekonomi perlu dihidupkan semula.

Hakikatnya, Covid-19 tidak mungkin hilang dari Malaysia atau muka bumi ini.

Sempadan tidak boleh ditutup selamanya.

Manusia akan mula bergerak ke sana sini, demi mencari rezeki yang dapat mengisi perut dua kali sehari, melakukan aktiviti mengeratkan silaturrahim ataupun bercuti.

Oleh itu, tugas mengawal Covid-19 kini berada di tangan rakyat.

Apakah rakyat Malaysia dapat berdisiplin di dalam jihad melawan Covid-19 ini?

Jika kita melihat tahap kebersihan jalan dan sikap rakyat Malaysia terhadap sampah, keyakinan kita sendiri terhadap disiplin mereka akan goyah.

Namun begitu, jika kita melihat daripada sudut mematuhi undang-undang tidak merokok di kawasan makan, keyakinan yang malap itu kelihatan ada cahaya di hujung terowong.

Beza antara isu sampah dan rokok hanyalah satu – ketegasan rakyat Malaysia memastikan undang-undang itu dipatuhi.

Ramai rakyat Malaysia yang berani menegur apabila kelihatan ada orang merokok di dalam restoran, tapi jarang ada yang menegur orang yang membuang sampah merata-rata.

Di dalam isu mengawal Covid-19 ini, rakyat Malaysia perlu bersama menegakkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikemukakan kerajaan.

Rakyat Malaysia perlu berani menegur sesama sendiri kepada mereka yang enggan mematuhi SOP dan memastikannya dipatuhi di mana-mana seperti dalam isu larangan merokok.

Jika tidak, penularan Covid-19 akan terus mengawal hidup rakyat Malaysia dan bukannya mereka yang mengawal penularannya.