Baru-baru ini terdapat rungutan daripada seorang agamawan mengenai iklan sebuah jenama tuala wanita “libresse” yang didakwa olehnya sebagai menghina.
Kekecohan yang ditimbulkan oleh satu keluhan yang kemudian menjadi tular itu jika tidak disiasat sedalam-dalamnya akan membuatkan orang yang tidak tahu apa akan ikut melenting.
Hanya mereka yang waras dan memikir sahaja akan mendapati apa yang dihebohkan itu sebetulnya adalah satu trivia yang disengajakan, demi mencipta perhatian dan kemasyhuran permukaan.
Istilah yang digunakan “menghina” membuatkan saya memikirkan, apakah yang masyarakat fahami mengenai perkataan hina?
Tambah di saat kita sedang memburu dan menciptakan seberapa banyak gejala yang dapat ditempelkan dengan nama Islam.
Sayangnya jenis Islam yang kita ketengahkan itu adalah Islam yang tiada berbuah.
Ini seterusnya mengingatkan saya kepada sebuah karya sosiologis terkemuka negara kita, Syed Hussein Alatas yang berjudul “Kita Dengan Islam – Tumbuh Tiada Berbuah” yang terbit pada tahun 1979.
Perkataan buah, kalau untuk sesetengah orang seperti Ustaz Cornetto mungkin dikaitkan dengan buah zakar.
Akan tetapi ingin saya ingatkan, buah dalam karya ini sama sekali tiada unsur kelaminan.
Perkara peri penting yang ingin ditekankan oleh almarhum Alatas ialah, di saat kegilaan mengejar Islam – ingat ia terbit pada tahun 1979 – ada satu yang kita perlu beri perhatian dengan bersungguh-sungguh.
Iaitu jenis Islam apakah yang sedang kita buru dan semaikan benihnya?
Untuk tiba kepada diskusi yang penting ini Syed Hussein Alatas, menyiasat ke hulu-hulunya aspek sosiologi agama.
Inilah yang tiada dalam kalangan agamawan, atau dalam kalangan ustaz ustazah di negara ini – kejahilan aspek sosiologi – yang sama sekali gersang dalam pengajian agama mereka.
Jadi analisis mereka bila kita baca, memang macam bangang.
Alatas menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai keperluan hidup lebih dari sekadar makan dan minum.
Bagi manusia yang sudah memenuhi keperluan tingkat pertama seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal seterusnya mereka akan mula mencapai keperluan lain seperti ketenteraman fikiran, mendapatkan penghargaan daripada orang lain, mencapai kepuasan dalam pekerjaan dan sebagainya.
Hal ini disebut oleh Alatas sebagai “sifat ingin mengatasi dunia kebendaan masuk ke lingkungan kerohanian.”
Dalam kanun moden ini, Alatas turut menyeru kepada keadilan, hormat-menghormati, saling memikirkan nasib yang lain dan mengamalkan gotong-royong.
Sebuah masyarakat yang memiliki anggota-anggota yang sentiasa berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan serta mengutamakan suasana keadilan adalah masyarakat yang maju.
Beliau turut menekankan agar sesebuah masyarakat membina hubungan kekeluargaan manusia dan menolak faham invidualisme.
Alatas menyatakan tentang peri pentingnya memupuk kesedaran masyarakat tentang pelajaran dan mengubah pandangan masyarakat tentang kemiskinan dan kemelaratan.
Pandangan tentang “kekurangan adalah suatu kebiasaan dalam dunia” perlu dibasmi, masyarakat harus dididik untuk membenci kemiskinan serta didorong agar sentiasa menguatkan usaha, semangat dan tekad untuk maju.
Dalam erti kata cara fikir “ini adalah tangan Tuhan” atau takdir semata-mata, merupakan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam yang sebenar.
Sekali dengan poin-poin di atas, Alatas menegaskan sikap taat buta ke atas seorang penguasa seperti raja yang tidak adil dan tiada sifat perikemanusiaan adalah tidak sesuai dengan ajaran Islam dan ajaran kemanusiaan zaman sekarang; bahkan membelakangi faham demokrasi sejati.
Oleh sebab itu Alatas menjelaskan bahawa masyarakat Melayu yang memilih Islam sebagai falsafah masyarakat hendaklah menghidupkan nilai-nilai Islam yang sebenar seperti toleransi, hidup damai bersama golongan lain, menghapuskan kemiskinan dan “korupsi akhlak” serta mengecam dan meninggalkan apa sahaja yang buruk dalam kebudayaan sendiri.
Antara yang buruk namun biasa dibuat ialah mendewakan orang atau manusia yang bukan pun Tuhan.
Juga mendewakan pejabat agama.
Dalam buku ini, Alatas menyatakan bahawa perlanggaran ke atas ajaran Islam telah berlaku dari kurun ke 19.
Pejabat agama hanya menggunakan duitnya untuk kepentingan negeri sendiri.
Duit zakat digunakan untuk menghias kota bagi tujuan menyambut perayaan, malah digunakan lagi untuk membina rumah pegawai-pegawai pejabat agama.
Sebagai seorang yang jelas mengenai Islam yang diingininya, dan Islam yang patut mendasari masyarakat, almarhum menjelaskan bahawa ganjaran dan kurniaan Tuhan itu bukan eksklusif, ataupun terbatas pada orang-orang Islam sahaja bahkan segala makhluk yang berbuat baik akan mendapat ganjaran.
Tuhan juga tidak mempunyai sifat pilih kasih di antara Muslim atau bukan Muslim.
Beliau turut menyatakan, pada masa itu (malah sekarang), negara dan masyarakat Islamlah yang paling banyak kejahilan dan melakukan penindasan.
Lihat sahaja sikap Taliban terhadap wanita, yang dipujapuji oleh PAS.
Sesuatu yang dibutakan oleh para lebai.
Untuk mendapatkan pohon Islam yang berbuah, Alatas menggariskan beberapa ciri-ciri semangat berfikir dan berfalsafah, antara lain ialah:
Pertama, keinginan mengetahui seluruh rangkaian sebab-sebab meliputi sesuatu persoalan.
Kedua, menghormati cara-cara ilmiah.
Ketiga, menggunakan akal seluas-luasnya.
Keempat, sedar tentang hubungan saling bergantung antara kejadian-kejadian, usaha-usaha dan persoalan-persoalan masyarakat ataupun alam.
Kelima, melihat persoalan dari segi keseluruhan.
Inilah yang tiada dalam pemikiran para agamawan kita.
Yang tiada dalam benak Ustazah Libressewatik.
Tiada keinginan untuk menyiasat dengan tenang.
Tiada kemahuan untuk merungkai dan menganalisis sesuatu dengan ilmiah, yang antara lain menggunakan sudut sosiologi.
Tiada kehendak untuk menghubungkan sesuatu insiden dengan kejadian serta sebab akibat lain dalam lingkungan.
Pendek kata tiada kemampuan dan keberdayaan untuk melihat gambaran lebih luas dari vulva.
Ketiadaan atau kegagalan melihat sesuatu mengatasi vulva, kelentit, puki, kopek, burit dan puting ialah kerana tiadanya keyakinan dan kebolehan untuk melihat agama lebih dari hukum-hakam atau aurat semata-mata.
Alatas menyatakan masyarakat Islam dicenderungkan dengan aliran dan pemikiran bahawa dunia lebih kecil daripada akhirat.
Akibat daripada ini, umat Islam tidak peduli pada kezaliman dan ketidakadilan.
Tidak menghiraukan kesengsaraan manusia lain, tidak berusaha menghapuskan kebuluran dan membanteras penindasan.
Yang menghapuskan cita-cita Islam untuk menegakkan masyarakat yang adil dan makmur adalah umat Islam itu sendiri.
Untuk itu, Alatas membawa pembacanya ke zaman Bani Umaiyah, merenung bagaimana agama Islam diperalatkan untuk kepentingan golongan penguasa yang tidak adil.
Alatas menyatakan ayat-ayat yang dipilih daripada al-Quran dan Hadith Nabi hanyalah untuk menguatkan aliran mereka.
Justeru ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi yang mengutuk rasuah dan kezaliman, yang memuliakan sains dan yang bertujuan menegakkan sebuah masyarakat dengan nilai-nilai kemanusiaan dibiarkan terabai.
Inilah yang sukar difahami oleh Ustazah Libressewatik dan sepesen dengannya.
Dunia mereka yang disempitkan oleh visi pantat dan faraj.
Sedangkan Islam itu sepertimana ditekankan oleh Syed Hussein Alatas menjelaskan bahawa, nilai-nilai Islam dapat dipraktikkan oleh semua orang walaupun dirinya bukan seorang Islam.
Ini kerana dasar Islam itu adalah bahawa semua kebaikan datangnya dari Tuhan.
Justeru setiap perkara atau perbuatan yang baik merupakan tindakan keislaman.
Hari ini jelasnya, umat Islam tidak lagi reti membezakan dua bahagian fikiran iaitu, agama Islam yang hanya diikuti oleh orang Islam dan nilai-nilai Islam yang boleh dipraktikkan oleh semua orang.
Istilah yang digunakan “menghina” oleh agamawan untuk sebuah iklan berpendidikan, membuatkan saya memikirkan, apakah yang masyarakat fahami mengenai perkataan hina?
Kita tidak rasa terhina ustaz atau ustazah dikaitkan dengan perangai tidak menepati janji, khianat, tidak adil, suka mencabul, tayang alat kelamin kecil kepada bukan mahram, melanggar undang-undang, pelahap, peliwat anak tahfiz, dan ada yang merasuah.
Ini tidak dianggap menghina.
Yang jenis otak kuning ini akan cepat rasa terhina bila apa sahaja yang lurus panjang berbentuk batang dikaitkan dengan zakar, makan cendawan butang dalam pinggan terbayang kepala kelamin lelaki; manakala apa saja yang menguntum mengembang dan berkelopak dihubungkan dengan cipap.
Tolonglah!