Restoran penuh. Pusat membeli belah turut penuh. Jalan raya dipenuhi kereta.
Kesusahan mencari tempat letak kereta.
Begitulah kisah hujung minggu yang lalu di kota Lembah Klang.
Rakyat Malaysia memulakan kehidupan bagaikan masalah Covid-19 sudah tiada sejurus kerajaan mengumumkan Lembah Klang memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Apa yang pasti, fasa hidup bersama Covid-19 sudah bermula.
Rakyat Malaysia sudah serik dikurung.
Anak-anak turut dibawa bersama ke sana, ke sini.
Diharap ibu bapa tidak melakukan protes apabila tibanya waktu anak-anak diwajibkan balik ke sekolah.
Jika ibu bapa boleh membawa anak-anak ke restoran dan melancong yang turut terdedah kepada Covid-19, apalah yang perlu dirisaukan untuk pulang ke sekolah apabila kerajaan mewajibkan semua guru menerima vaksin?
Sambil rakyat Malaysia menikmati kebebasan yang terhilang, marilah sama-sama kita belajar daripada negara jiran kita Singapura.
Wabak Covid-19 kembali mengganas di Singapura dengan catatan lebih 2,000 kes sehari meskipun lebih 82 peratus rakyatnya telah lengkap vaksinasi.
Terkena Covid-19 boleh menyebabkan hubungan dengan ahli keluarga terputus secara fizikal dan juga sumber rezeki terbantut.
Bukan itu sahaja, ia juga menyusahkan kehidupan diri, keluarga dan mereka yang rapat dengan diri sendiri.
Oleh itu, rakyat Malaysia perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keluarga dan rezeki masing-masing.
Jangan sesekali terasa di luar sana selamat sehingga pelitup muka, penjarakan sosial dan kebersihan tangan tidak dijaga.
Ia masih sangat tidak selamat.
Cuma kini kita dilindungi oleh perisai peluru, yang dipanggil vaksin.
Jika terkena, kemungkinan besar kita hanya terasa sakit dan pedih, tapi nyawa tidak dicabut kerana adanya perisai tersebut.
Masalahnya ialah berapa lamakah perisai itu mampu bertahan?
Apakah ia mampu terus mempertahankan kita dengan varian-varian baru Covid-19 yang terus diteknologikan virus itu secara sendiri?
Tidak pasti.
Yang pasti dunia kini menunggu ubat untuk mengubati Covid-19.
Kemunculan ubat itu akan menamatkan semua permainan Covid-19.
Mari kita sama-sama bertahan sehingga kemunculan ubat itu.