- Iklan -
Kolum

AirCon: Teater dalam talian

Lapis demi lapis persoalan terjawab apabila kita mendapati Burn (lakonan Zahiril Adzim) mempunyai hubungan dengan trans tersebut.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Pada tahun 2008, dunia pentas Malaysia sempat gempar oleh sebuah pementasan yang temanya, begitu berani.

Pementasan teater tersebut, dalam bahasa Melayu (berbaur dengan bahasa Inggeris) berjudul AirCon, mengetengahkan bakat-bakat filem kita hari ini yang paling luar biasa.

Antara lain mereka adalah Mohd Amerul Affendi, Zahiril Adzim, Nam Ron dan Chew Kin Wah; yang kita nikmati kehebatan lakonan mereka dalam One Two Jaga (2018) kemudiannya.

AirCon mengisahkan Chep dan Burn, dua orang pengawas dan kebetulan juga atlet berjaya di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Kedah yang diulit beberapa gangguan apabila seorang pekerja seks trans mati dibelasah tidak jauh dari sekolah mereka.

Lapis demi lapis persoalan terjawab apabila kita mendapati Burn (lakonan Zahiril Adzim) mempunyai hubungan dengan trans tersebut.

Di tengah-tengah kegilaan buli, keganasan, rogol dan liwat, ustaz gila hukum dan guru yang tiada motivasi; kita didedahkan dilema sekumpulan remaja yang berdepan dengan begitu banyak pertanyaan; iaitu seputar identiti.

Atau, siapakah aku?

Tentu pada tahun 2008, ia menggemparkan kerana ia mengkritik begitu banyak; sekolah, agamawan, feudal, pihak berkuasa, masyarakat; dan drama pentas tulisan Shanon Shah itu mengupas lapis-lapis menakutkan yang lain; perbincangan terus-terang tentang seks, politik kaum, kem meluruskan “anak-anak lembut” dan iklim agama yang merimaskan.

Tidaklah menghairankan AirCon menjadi bualan hangat pada tahun 2008 itu.

Pembunuhan trans di luar pagar sekolah itu ternyata berkait dengan tokoh pelajar sekolah elit tersebut yang punya skandal dengan pekerja seks ini.

Di tengah itu pelajar-pelajar “lembut” mencari udara untuk bernafas tetapi berdepan dengan pilihan yang tidak banyak.

Mereka dipaksa berubah dengan latihan cara berjalan atau bertutur yang maskulin dalam kem pemulihan.

Yang mana berakhir dengan ada di antaranya menjadi mangsa penderaan seks.

Lakonan Mohd Amerul Affendi, dan Nam Ron misalnya begitu kukuh terpahat di ingatan.

Jika kita mengingat kembali AirCon pada tahun 2008 itu, ada beberapa kekuatan melongokan dan kelemahan yang boleh dimaafkan.

Misalnya memang pembukaan Aircon itu menggemparkan; dengan kisah trans dibelasah.

Kemudian muncul Nam Ron sebagai ustaz di sela lagu Negaraku yang didendangkan.

Kita dibawa menghimbau memori lalu, saat di sekolah yang disuakan dengan pengumuman demi pengumuman di perhimpunan pagi.

Ciri khas lain yang menghimbau kenangan itu adalah dialog dengan dialek utara (negeri asal Shanon).

Ia membuatkan kita terliur dengan pertukaran adegan licin dan set praktikal.

Adegan pendek-pendek kadang mengkecamuk tetapi tetap menghiburkan.

Cuma ia sebuah pementasan yang panjang, mungkin kerana terasa sayang untuk dicantas di sana-sini dan ingin disumbat semua.

Ia juga mengejutkan kerana wacana LGBT yang transparen dalam kalangan remaja.

Kerana mereka mencari diri. Malah membincangkan identiti.

Perbincangan seputar seksualiti itu amat telanjang, dan polos sehingga kadang-kala terasa carut dan cemuh.

Hipokrasi establishment diminikan dalam sebuah sekolah membuatkan kita segera menghubungkan dengan dunia real di luar sana.

Kemudian ada jenayah kebencian, ada homofobia, ada persoalan kaum serta pertanyaan tentang pembunuhan.

Ada resah yang mencabar juga, Burn misalnya yang menikmati seluruh momen seksnya dengan seorang trans, ingin bertaubat; dan mendapati dirinya sungguh celaru kerana sudah jatuh cinta dengan seorang “pondan”.

Chep pula ada masalah dengan identiti Tengkunya yang ingin ditanggalkan.

Yang juga mengesankan ialah pengarahan Jo Kukathas dan Zalfian Fuzi jelas lagi teratur, membolehkan kita mengecami niat dan tujuan teater ini.

Malah arah seninya juga mengalir, ditambah dengan lakonan yang berkualiti.

AirCon meraih lapan pencalonan ketika 7th Boh Cameronian Arts Awards tahun 2009 dan beroleh pengiktirafan untuk Skrip Asli Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, dan Tatacahaya Terbaik.

Mungkin kerana sukses 2008 itu, The Instant Cafe Theatre (ICT) yang bernasib baik ada merekod dan mendokumentasikan pementasan itu memilih untuk membawanya kembali untuk ditonton.

Cuma, sayang kerana pandemik; ia disiarkan kembali di dalam talian dengan menggunakan platform teater digital CloudTheatre antara 24 ke 26 September lalu.

Pementasan lebih sedekad lalu ditampilkan semula dan membawa kita ke tahun 2008.

Apakah rupa Malaysia pra PRU14?

Atau, apakah rupa teater Malaysia sepuluh tahun lalu?

Saya percaya ramai audien muda yang kini lebih telus serba-serbi akan menghargai usaha dan penerokaan berani Shanon, dan The Instant Cafe Theatre (ICT) ketika itu.

Mereka menyumbang kepada keterbukaan dan perbincangan yang polos mengenai isu-isu payah yang masih belum selesai lagi hari ini.

Pembunuhan Aishwarya misalnya, akan cepat membawa kita kepada nasib ramai trans di negara ini (tentu termasuk Sajat); dan perihal buli yang belum pernah habis.

Kita akan berfikir kembali persoalan relevan dan tidak revelannya pendekatan sesetengah agamawan dan guru di sekolah.

Kita akan mempersoalkan kembali kemunafikan sesetengah kita.

Itu 10 tahun lepas dan didatangkan kembali pada tahun 2022.

Satu masa dahulu, dunia teater kita pernah sangat bertenaga dan hidup.

Dengan keramaian Cameronian Arts Awards tahun demi tahun anjuran KakiSeni (yang mana saya pernah ikut menulis untuk kakiseni.com) teater Melayu, Mandarin, dan Inggeris bersaing demi keunggulan mutu.

Naratif terbaik, dan mutu lakonan yang cemerlang sentiasa menjadi buruan.

Malah dapat dikatakan ia adalah tahun-tahun terbaik dunia pentas Malaysia.

The Instant Cafe Theatre (ICT), Actors Studio di Dataran Merdeka, Akademi Seni Kebangsaan dan Stor DBP, menghidangkan pementasan demi pementasan yang mencengangkan.

Apakah yang terjadi kepada dunia teater hari ini? Nahas.

Cukup untuk audien muda menonton kembali AirCon dan melihat kembali secebis dari tawaran luar biasa generasi terdahulu.

Saya percaya The Instant Cafe Theatre (ICT) atau The Actors Studio ada banyak lagi memori lama yang sedang dipilin dan dibaiki agar dapat diberikan mutu audio serta sari kata.

Moga-moga ada lagi putaran teater lama disuguhkan.

Ia sebagai satu isyarat, teater Malaysia belum mati, cuma lelap sekejap mencari tenaga untuk kembali bangkit.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.