- Iklan -
Rencana

Universiti bukan tempat sebarang lantikan politik

Apakah nilai tambah yang dapat diberikan pemimpin muda MIC Danesh Raj ketika beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Malaya?

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya
2 minit bacaan
Kongsi
Pintu masuk Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
Pintu masuk Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Pada 4 Oktober 2021, Universiti Malaya mengumumkan pelantikan Danesh Raj Nagarajan sebagai ahli lembaga pengarah universiti (LPU). Menteri berkata pelantikan itu dibuat selaras dengan kepercayaan kerajaan terhadap warga belia serta penglibatan aktif beliau dalam hal ehwal pengurusan universiti sebagai seorang  alumni.

Pertama sekali, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengalu-alukan idea untuk  memperkasakan golongan pemimpin muda. Namun begitu, terdapat satu syarat yang penting  dan tidak seharusnya diperlekehkan, iaitu kecekapan pemimpin tersebut untuk menggalas  tanggungjawab yang diberikan.

Pada ketika ini, KMUM gagal untuk melihat nilai tambahan  yang boleh diberikan berikutan dengan pelantikan Danesh ke dalam LPU. Walaupun Danesh merupakan seorang ahli Felo Perdana dan pembantu felo di kolej kediaman, adakah kita kekurangan calon yang lebih kompeten untuk memikul peranan tersebut, khasnya  setelah mempertimbangkan faktor-faktor seperti meritokrasi akademik, pengalaman industri, keseimbangan gender, pengantarabangsaan dan faktor-faktor lain?

Sekiranya penglibatan aktifnya dalam hal ehwal universiti adalah satu-satunya alasan yang dapat diberikan, KMUM  berpendapat bahawa alumni dari kalangan pegawai HEP dan ahli-ahli KMUM yang turut  mengambil bahagian dalam urusan universiti dengan aktif sepatutnya juga sesuai untuk  memasuki LPU melalui pengundian.

Kami juga mempersoalkan penglibatan politik beliau seperti jawatan yang pernah  disandangnya iaitu sebagai seorang pemimpin muda MIC di mana KMUM sangat percaya bahawa institusi pengajian tinggi haruslah bebas dari sebarang  pengaruh dan cengkaman politik.

Akan tetapi, perbincangan dan diskusi berkait politik boleh dilakukan bahkan diraikan atas nama kebebasan akademik untuk membudayakan pemikiran  matang di kalangan mahasiswa, tetapi pelantikan politik bagi posisi penting yang mampu  mempengaruhi operasi harian institusi pengajian tinggi seharusnya disangkal.

KMUM juga ingin mempersoalkan KPI atau garis panduan yang diguna pakai dalam memilih  anggota LPU. Bukankah lebih baik seseorang itu dilantik daripada latar belakang korporat, yang  dapat mempromosikan kolaborasi yang lebih signifikan antara Universiti Malaya dengan pemain industri serta mengasah kemahiran pelajar agar sesuai dengan pasaran pekerjaan  masa depan?

Mengapa bukan seseorang daripada warganegara lain yang membolehkan  agenda pengantarabangsaan dicapai dan mewakili suara mahasiswa antarabangsa UM?  Mengapa bukan seseorang dari latar belakang perundangan yang mampu menasihati universiti  mengenai perihal undang-undang?

Sehingga semua persoalan ini terjawab, kami menyatakan  ketidakyakinan kami terhadap pengalaman dan/atau kemampuan beliau yang diperlukan untuk  menyumbang kepada universiti dan warganya secara keseluruhan, terutamanya para  mahasiswa.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.