- Iklan -
Kolum

Satu malam di ranjang

Inilah pertemuan jantan mencari betina dan betina mencari jantan.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada tahun 1972 ketika aku di Universiti Malaya aku pernah mendengar Syed Husin Ali berkata: “London is a very lonely place.”

Ini pengalaman Syed Husin yang pernah tinggal di London ketika menyambung belajar untuk menyediakan thesis ijazah kedoktorannya.

Demi Zeus pada ketika aku mendengar kata-kata Syed Husin itu aku tidak faham apa yang dimaksudkan dengan perkataan “lonely”.

Apakah “lonely” bermakna terpencil, keseorangan atau bersendirian.

Duduk seorang diri dalam bilik, jasad bersendirian tanpa berkongsi bilik.

Pada hemat aku London kota terbesar dalam dunia. Warga kota 10 juta lebih mustahil menjadi pekan sunyi seperti Kuala Klawang, pekan kampung aku.

Bila aku sampai ke Wavre di Belgium dalam tahun 1982, aku tidak merasa keseorangan.

Tapi aku hanya merasa janggal kerana belum dapat bertutur bahasa Perancis atau Belanda.

Yang aku rasakan ketika itu hanya kerancakan darah muda aku diganggu oleh tembok bahasa.

Aku merasa sedang menjalani hidup yang tidak serancak ketika berada di Melbourne, Australia.

Ada 10,000 lebih siswa-siswi, warga kampus Universite Catholik Louvain-la-Neuve, hanya aku seorang pelajar dari Malaysia.

Ini tidak mematahkan semangat aku untuk terus berjihad memperkukuhkan kemudaan aku.

Mata aku masih liar melihat Mademoiselle Monique dan Nathalie yang langsing, bergetah dan cun.

Untuk aku usaha tangga kekayaan. Bahasa bukan halangan untuk mencari teman sebantal.

Falsafah ini lahir dari pengalaman yang aku kumpulkan.

Falsafah ini membuktikan bahawa untuk mencari teman ke ranjang tidak memerlukan kata bual yang banyak.

Ketika di atas ranjang aku bukan menyampaikan kuliah sejarah Perang Vietnam atau membuat drama minggu ini.

Justeru aku sentiasa bersendirian tetapi tidak pernah merasa keseorangan.

Ini bukan bermakna setiap malam aku di Wavre aku sentiasa berkongsi bantal dan tilam.

Ini fakta salah. Banyak juga hari, minggu dan bulan di mana aku tidur di bantal bersendirian sambil mata memandang ke dinding dan siling atap.

Tetapi aku tidak pernah kesunyian.

Aku faham kenapa Janina, perempuan Melayu dari Tanjung Tokong berani mengiklankan diri untuk mencari jantan di kota London.

Betina mencari jantan untuk merayakan nikmat seks. Keberahian seks adalah pemangkin utama perjalanan hidup manusia.

Untuk aku hidup ini wajib diulami oleh petai, kerdas dan jering. Dan disulami oleh seks.

Panggilan seks dan seruan seks dalam kota London tegak berdiri terpampang dan terkangkang.

Iklan, buku, poster, wayang, kelab dan teater semuanya melaungkan keberahian seks.

Warga kota diserang bertalu-talu dengan imej seks.

Dalam bas, dalam kereta api, di atas jalan, seks menari-nari dan menggamit di hadapan mata.

Iklan yang terpampang semua bertanya: “Bro… malam ini lu buat apa?”

Malah aku sendiri pun mengambil bahagian untuk menjadi budak jahat menyebar keberahian seks.

Aku diajar jadi budak jahat oleh Bobby anak muda Algeria yang bekerja di dapur Restoran Garuda. Ilmu ajaran Bobby ini tidak akan aku lupakan.

Lewat malam, terutamanya di hujung minggu setelah restoran ditutup, Bobby dan aku akan duduk di kaki lima depan Restoran Garuda.

Sebotol Bintang dalam tangan Bobby dan segelas air anggur merah dalam tangan aku.

Kami memerhatikan madame, makcik, kakak dan adik yang lalu lalang di lebuh Shaftesbury Avenue.

Mereka mungkin selesai makan malam, selesai menonton wayang atau teater.

Sedang meleser menikmati London di waktu malam.

Bila Bobby ternampak dua tiga minah cun yang berjalan, maka si Bobby ini akan melaungkan “Woit madam. How are you going to end up your night? Ha ha ha.” Bobby melaung dalam loghat Perancis.

Aku kemudian ikut mengulangi ayat Bobby dengan kuat.

Kemudian kami akan terbarai ketawa.

Laungan kami tidak pernah mendapat jawapan.

Untuk kami ini ayat romantik, lucu dan menganjing.

Sebenarnya Bobby dan aku juga akan pulang kosong hanya bertemu bantal dan kain selimut yang sudah basi.

“Macam mana date kamu dengan Christhoper Kelly? Jadi ke tak jadi?”

Aku terus bertanya sebaik saja berjumpa Janina di kedai kopi Cina di Charing Cross Road.

Aku mengangkat tangan memanggil amoi pelayan.

Bila amoi sampai aku memesan kuih pau kacang merah dan kopi panas.

Janina memesan air kacang soya panas.

“Kau nak tahu ke?” Janina tersenyum. Senyuman memanjang hingga sampai ke telinga.

Pada hemat aku ini tanda berjaya.

“How was your night ended madame? Di rumah dia atau di tempat kamu?” Aku gelojoh nak tahu.

“Cisss… tanyalah aku …. makan apa.” Janina membantah.

“Ok… cerita.” Aku cuba sabar menanti.

“Dia ok… cool… restoran Almalfi tu klasik… aku minta sup sayur dengan pizza cendawan … Kelly minta sup bawang dan risoto cendawan… garlic bread.”

Janina menerangkan perkara yang aku tidak berminat untuk mendengar dan mengetahui.

Apa yang aku nak tahu “score” atau “tak score”.

Score ini istilah anak muda bila dapat tidur dengan awek.

“Pizzanya best…. masak pakai dapur kayu.”

“Woit… buka seluar dalam atau tidak? Aku tak nak dengar cerita pizza … cerita sup ekor.”

Secara berseloroh aku mula menunjuk dah mula hilang sabar.

“Kami dah jumpa dua kali… belum ada apa-apa lagi… hujung minggu aku ada satu lagi date.” Janina menerangkan.

“Dengan yang mana? Ada gambar?”

Amoi sampai membawa pesanan kami.

“Ini spesial…. date spesial…single party … ada syarikat uruskan soiree dalam satu hotel yang ditempah khas… kena bayar kalau nak join ini…. hujung minggu ni…aku akan pergi.”

Maklumat baru dari Janina.

“Ini apa ni? Iklan dalam Time Out ke?”

“Ini dari akhbar The Guardian.” Janina memberitahu.

Bila aku dengar akhbar The Gurdian aku merasa lega.

Kerana aku sendiri melanggan akhbar ini.

Garis politiknya sosial demokrat, garis kiri liberal yang tidak radikal.

Warga London ada membuat pantun tentang pembaca yang melanggan The Guardian ini:

Lentil eating,
Wine drinking,
London living,
Labour voting,
Guardian reading.

Kebanyakan pembaca The Guardian ini vegeterian, vegan, ramai tinggal di London dan rata-rata menjadi penyokong dan pengundi Parti Buruh.

“Jadi semua yang datang nanti pembaca Guardian?” Aku meminta kepastian.

Ketika ini baru aku sedar apa yang dilafazkan oleh Syed Husin pada aku tahun 1972 dahulu “London is a very lonely place”.

Aku merasa agak terperanjat dan juga tersenyum apabila mendapat tahu tentang wujudnya syarikat yang menjalankan perniagaan untuk mempertemukan jantan dengan betina.

Ini bukan perniagaan rumah merah seperti di Lorong Haji Taib. Pertemuan ini dianggap lebih sopan dan ada kelas.

Aku terfikir dan bertanya kenapa dalam keramaian ini masih ada yang keseorangan.

London sentiasa penuh dengan makhluk.

Mereka berjalan berasak-asak di jalan raya atau duduk berhimpit-himpit sebelah menyebelah dalam tube.

Sayangnya mereka tidak bertegur sapa untuk kenal mengenali.

Badan berasak-asak raba meraba.

Pergi tersepak pulang terlanggar.

Tapi tidak pernah bertegur sapa. Kalau terlanggar hanya berkata “I’m sorry.” Tidak lebih.

Awas! Jangan cuba menegur sosok yang tidak dikenali.

Menegur sosok yang tidak dikenali dianggap perangai ganjil lagi salah.

Dan mungkin dianggap gila. Silap-silap boleh ditangkap polis kerana mengganggu orang ramai.

Aku ingat lagi emak dan abah aku datang melawat aku kali pertama musim panas tahun 1983, setelah 10 tahun aku menghilangkan diri.

Ketika itu aku duduk di Wavre.

Aku sambut emak dan abah aku di London.

Kami menumpang rumah Yunus Ali di Stratford E17.

Satu pagi ketika kami sekeluarga di stesen Stratford aku nampak ramai anak-anak muda Mat dan Minah Salleh.

Minah Salleh memakai baju kurang kain yang menampakkan tubuh badan mereka untuk menyambut sang suria.

Emak dan abah aku memerhatikan perangai jantan betina anak-anak Mat Salleh.

Mereka kucup mengucup. Peluk memeluk. Cium bercium.

Ada betina duduk atas riba jantan.

Ada jantan duduk atas riba betina.

Mereka bergonjeng gembira dalam perjalanan hendak masuk ke pusat kota London.

“Sam…. budak-budak ni… dopan kito ni … dah kahwin ko bolum?”

Soalan hakiki dari emak aku, seorang guru pencen.

“Eehehe. Mak.. mak ooi… jangan jangan… di sini pekara-pekara macam ini orang tak tanya. Ini bukan hal kita.”

Aku memberi jawapan ringkas.

Tetapi dalam masa yang sama, aku faham apa yang menimbulkan soalan dah kahwin atau belum ini.

Aku juga sedar apa yang sedang berlaku di hadapan mata Zaleha binti Sidek dan Rais bin Manaf satu yang menakjubkan.

Aku rasa emak dan abah aku tidak pernah melihat orang bercium secara terbuka.

Jauh sekali kucupan yang lama.

Aku rasa mak aku bukan nak jaga tepi kain orang, tapi ada naluri ingin nak tahu apa yang berlaku di hadapan mata.

Aku menggamit amoi pelayan.

“Mungkin ada yang lain…. yang bukan pembaca Guardian.”

Janina berkata dengan harapan “soiree” hujung minggu ini dia akan dapat bertemu jantan yang lebih ramai.

“Pasang laaa jala betul-betul… jangan bawa jala koyak… semua ikan terlepas lari.”

Aku ketawa memberi kata-kata metafora akhir untuk petang itu.

Amoi pelayan datang. Aku membayar bil dan kami terus beredar. Aku menapak pulang ke tempat kerja.

Ketika menapak pulang aku terfikir dan memahami pengalaman Janina ini.

Janina bukan pencari ONS (one night stand) hanya satu malam di ranjang. Aku yakin kawan aku Janina sedang mencari LTR (long terms relationship). Mencari bakal teman hidup.

Janina bukan macam aku. Aku lain. Aku ini binatang jalang, dari kumpulan terbuang. Setiap kali aku ternampak minah cun, aku akan memasang jala.

Pernah di satu musim panas ketika London dipenuhi oleh pelancong dari seluruh dunia, dua pelancong Amerika datang ke Restoran Garuda.

Seorang Minah Salleh dan seorang Minah Jepun warga Amerika Syarikat dari San Francisco.

Aku rasa umur mereka baru nak masuk 30-an.

Masih cun, bergetah dan mengancam.

Entah dari kitab mana aku pernah terbaca cara-cara mengayat perempuan.

Rukun pertama yang wajib dipatuhi jika ingin berjaya mengayat perempuan, jangan sesekali tanya umur mereka.

Pandang tubuh badan dan agak-agak sahaja umur si minah itu.

Mengikut ajaran kitab ini, bab umur ini amat sensitif untuk perempuan.

Malam itu ketika menghidangkan makanan ke meja pelancong Amerika ini kejantanan aku tergoda.

Mungkin kerana aku banyak makan sotong menjadikan testosteron aku melimpah.

Aku tak tahu kenapa Minah Jepun menjadi tarikan.

Mungkin Minah Salleh berambut “blonde” tidak menggelorakan testosteron aku.

Mungkin dah selalu minum Earl Grey, English Tea maka aku nak bertukar selera merasa Green Tea dari Jepun.

“Where you people staying?” Aku bertanya sambil memberi senyuman.

“Near Russell Square…lodging house.”

“That’s near SOAS, University of London… I’m a member of their library…. not far from here.”

Aku mula menjual diri. Aku sengaja mengumumkan bahawa aku juga kaki baca buku.

School of Oriental and African Studies (SOAS) ini aku tahu.

Memang benar aku menjadi ahli perpustakaan SOAS.

Ini kerana di London hanya perpustakaan SOAS yang melanggan majalah mingguan ERA yang terbit di Kuala Lumpur.

Majalah Era dikendalikan oleh sasterawan Baha Zain.

Aku pula menjadi penyumbang tulisan dari Eropah.

Esoknya ketika masa rehat aku pergi mencari rumah tumpangan di Russell Square.

Dua Minah Amerika tak ada di bilik. Aku tinggalkan nota kecil dan mempelawa mereka datang sekali lagi ke Restoran Garuda.

Ha Ha Ha. Malam itu jala aku terlekat. Minah Jepun, Ichika datang bersendirian.

“Where is your partner?” Aku bertanya dengan penuh kesyukuran.

“She need a rest.. too tired tonight.”

Ini jawapan yang aku tafsirkan sebagai “kerdas muda yang tersedia untuk dijadikan ulam.”

Setelah Restoran Garuda ditutup aku dan Ichika menapak ke Madam Jojo di Soho untuk mendengar muzik.

Air anggur melimpahkan lagi testosteron aku.

Bukan muzik yang aku dengar, tapi tangan aku merayap merayau mencari butang seluar Levis 501.

Akhirnya kami mengambil teksi dan pulang ke 44, New Mill House, Bromley-by-Bow.

Malam itu bukan Jepun melanggar Tanah Melayu tapi Tanah Melayu melanggar Jepun.

Esoknya aku lepas minum pagi aku hantar Ichika ke stesen kereta api bawah tanah Bronmley-by-Bow.

“Bye bye…. see you when I see you.”

Satu kucupan untuk selamat jalan. Nasib baik Cikgu Zaleha dan Rais Manaf tidak ada di stesen.

Inilah dinamakan ONS, “one night stand”.

Tidak ada dakwa-dakwi.

Tak ada janji-janji.

Inilah pertemuan jantan mencari betina dan betina mencari jantan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.