- Iklan -
Kolum

Sudut lain mengapa orang Melayu sensitif terhadap arak jenama Timah

Mengapakah orang Melayu tidak memperoleh manfaat yang besar dari timah seperti mana yang diraih oleh pihak British dan kaum Cina?

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ada sudut lain mengapa ada orang Melayu sensitif terhadap arak berjenama Timah dengan berikonkan Captain Speedy.

Pada mulanya kemarahan itu timbul kerana Timah itu adalah nama Melayu, yang merupakan singkatan daripada Fatimah dan gambar pada botol itu adalah seseorang yang berjanggut dan seperti memakai kopiah, maka dikaitkan dengan imej lelaki Muslim.

Tetapi kemudian dijelaskan bahawa nama Timah itu tiada kaitan dengan Fatimah.

Ia adalah semata-mata nama logam, iaitu timah yang mempunyai peranan bersejarah bagi mencorakkan penubuhan negara Malaya dan Malaysia yang maju dan moden.

Sementara gambar lelaki yang berjanggut itu adalah Captain Speedy, seorang tokoh British yang berperanan dalam pembangunan industri timah di Perak.

Beliau berjanggut dan penutup kepalanya itu bukanlah kopiah.

Maka gambaran pada label wiski itu tiada kaitan dengan orang Islam, jauh sekali untuk mengelirukan masyarakat.

Lagipun, janggut bukanlah monopoli orang Islam.

Sementara penutup kepala bulat yang seperti kopiah adalah juga suatu yang universal.

Umumnya orang Melayu tidak mengenali Captain Speedy.

Tetapi atas sebab isu ini, kisah mengenai sosok ini ditularkan dan kini lebih ramai orang mengenali siapakah Captain Speedy, dan apakah peranannya terhadap Taiping, industri timah, Perak dan seterusnya negara ini.

Menurut maklumat yang ditularkan Captain Tristram Charles Speedy adalah pengasas bandar Taiping yang bererti Aman Abadi atau perdamaian selama-lamanya dalam bahasa Hokkien.

Taiping mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah Malaysia kerana ia dianggap bandar tertua di negara ini.

Maknanya, sebelum adanya Taiping, tidak ada bandar lain.

Tentu orang kehairanan dengan kenyataan ini.

Tidakkah masa itu sudah ada Kuala Kangsar, Alor Setar, Kuala Selangor, Kota Tinggi, Pekan, Kuala Pilah, Kuala Terengganu, Kangar dan Kota Baru?

Ternyata tempat-tempat itu bukan bandar tetapi merupakan pekan kecil atau kota yang mana terdapat istana sultan.

Selepas Taiping ditubuhkan, ia dijadikan ibu negeri Perak, dari tahun 1876 hingga 1937.

Sebelum itu, ibu negeri Perak adalah di Kuala Kangsar di mana sultan bersemayam.

Di mana-mana pun, amalannya ialah ibu kota sesebuah negara adalah tempat di mana adanya istana raja.

Maka inilah pertama kali ibu negeri terletak di lain tempat di mana adanya raja.

Perkara ini memberi makna besar terhadap kuasa politik Melayu.

Tentunya pihak yang berpengaruh dalam hal ini adalah Residen British.

Nama Taiping sendiri bukan dari bahasa Melayu, berbanding dengan Kuala Kangsar.

Kepentingan ekonomi Taiping menjadikan ia lebih berpengaruh daripada Kuala Kangsar.

Selepas tahun, 1937, ibu negeri Perak dipindahkan dari Taiping ke Ipoh.

Selepas merdeka, Kuala Kangsar diisytiharkan sebagai bandar diraja Perak.

Maka amalan membezakan ibu-ibu kota dengan bandar diraja berlaku di kesemua Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS).

Kuala Lumpur adalah ibu negeri Selangor sedangkan bandar diraja adalah Klang.

Di Pahang, bandar diraja adalah Pekan sedangkan ibu negeri adalah Kuala Lipis, sebelum dipindahkan ke Kuantan.

Bagi Negeri Sembilan, ibu negeri adalah Seremban, dan bandar diraja adalah Seri Menanti.

Pada asasnya, bandar-bandar di Malaya adalah “Chinatown” yang mempunyai pelbagai kedai keperluan.

Ia menjadi rasmi apabila pentadbir British masuk dengan infrastruktur seperti jam besar, pejabat tanah, mahkamah, bank, balai polis, pejabat pos dan sebagainya.

Selepas itu barulah orang Melayu masuk apabila mereka menjadi kakitangan kerajaan seperti polis.

Barulah ada kuarters dan masjid.

Tetapi sebelum ditubuhkan Taiping, kawasan itu dikenali sebagai Klian Pauh.

Klian bermaksud lombong dan kemungkinannya ada kampung Melayu terpencil.

Tetapi untuk banyak tahun sejak penubuhan, tiada orang Melayu yang tinggal di bandar Taiping.

Walaupun Taiping dan banyak bandar di Malaya menjadi penempatan orang Cina yang digerakkan oleh industri timah tetapi penemuan awal bijih itu dilakukan oleh pembesar Melayu, Long Jaafar di Larut pada tahun 1848.

Penemuan timah dan industrinya sepatutnya memberi kekayaan pada orang Melayu Perak.

Pada masa itu, timah adalah seperti minyak pada hari ini.

Tetapi sebaliknya, timah ini membawa kepada perbalahan sesama sendiri, peperangan saudara, kehadiran orang bukan Melayu yang ramai dan akhirnya penjajahan.

Peperangan saudara itu bukan Melayu lawan Cina tetapi Melayu-Cina lawan Melayu-Cina. Kesemuanya adalah untuk merebut kawasan timah.

Sejarah Perak adalah kompleks dan ia boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut.

Tetapi apa yang berlaku di Perak mencorakkan rupa bentuk negara yang ada hari ini.

Sememangnya generasi sekarang tidak bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan oleh generasi terdahulu. Tetapi apa yang berlaku dahulu memberi kesan pada hari ini.

Proses penjajahan British tidak berlaku secara aman.

Perang antara British dengan orang Melayu berlaku juga hinggakan sultan dibuang ke Pulau Seychelles.

Jawatan pembesar dilucutkan dan harta sebahagian orang Melayu dirampas.

Residen British begitu berkuasa hinggakan mereka menentukan siapa yang patut jadi sultan.

Di sinilah peranan Captain Speedy.

Beliau lahir di Meerut, India pada tahun 1836, anak seorang pegawai tentera British dan mula berkhidmat di kawasan timur laut India sebelum ke Habsyah, Tanduk Afrika dan New Zealand.

Beliau menjadi superintendan polis di Pulau Pinang pada tahun 1971.

Beliau kemudian diminta oleh Menteri Besar Perak Ngah Ibrahim untuk menguruskan usaha mewujudkan keamanan di Larut.

Speedy mendapati polis yang terdiri daripada 40 orang Melayu tidak berkesan.

Lalu beliau menubuhkan satu pasukan negeri yang terdiri dari anggota Sikh dari Punjab.

Pada tahun 1874, Speedy dilantik sebagai pembantu Residen British bagi Larut.

Masa inilah beliau mengasaskan dan menamakan bandar Taiping.

Tahun berikutnya, beliau dan isterinya, Sarah menjelajah ke Sudan dan menulis buku mengenainya.

Speedy juga menyertai misi bagi menetapkan sempadan antara Habsyah dan Sudan di bawah perjanjian Inggeris-Habsyah.

Speedy adalah seorang tokoh menarik dan penuh warna-warni bukan saja di Perak tetapi juga di Afrika.

Beberapa karya sastera ditulis berasaskan kisah hidupnya.

Inilah apa yang hendak diraikan oleh arak berjenama Timah.

Gambar pada botol minuman sememangnya dari foto lama Speedy yang mengenakan pelitup kepala seakan-akan kopiah.

Namun jika dilihat dari kaca mata hari ini, timah di Malaya, dari Perak, Selangor hingga Negeri Sembilan memberikan kekayaan kepada pihak British dan banyak keluarga Cina.

Dari timah juga, Pulau Pinang dan Singapura membangun.

Kekayaan dari timah bercambah-cambah apabila pewaris jutawan menambah kekayaan melalui pelaburan, keusahawanan dan perniagaan dalam bidang lain seperti peladangan getah, pembalakan, pembuatan dan hartanah.

Ia menjadi asas kepada pembangunan ekonomi negara.

Tetapi tentu ia menjadi soal, mengapakah orang Melayu tidak memperoleh manfaat yang besar dari timah seperti mana yang diraih oleh pihak British dan kaum Cina?

Tentu ada kajian terhadap perkara ini.

Namun ketidakseimbangan ini terus menjadi cabaran dalam pembinaan negara.