- Iklan -
Rencana

Atasi segera masalah hakisan tebing sungai di Baling

Masalah tersebut sudah berlarutan sejak 15 tahun lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya.

Mohideen Abdul Kader
1 minit bacaan
Kongsi
Keadaan banjir di Yan, Kedah pada Ogos lalu. Hakisan tanah boleh menjadi punca banjir jika tidak dieselesaikan.Gambar:  Bernama
Keadaan banjir di Yan, Kedah pada Ogos lalu. Hakisan tanah boleh menjadi punca banjir jika tidak dieselesaikan.Gambar: Bernama

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah dan Pejabat Daerah Baling digesa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan tebing sungai yang berlaku di Kampung Rambung, Teluk Sanau.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kesal walaupun masalah tersebut sudah berlarutan sejak 15 tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil bagi mengatasinya.

Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia, 21 Oktober 2021, mengenai perkara ini CAP bimbang jika keadaan itu dibiarkan ia akan menjadi lebih buruk dan menjejaskan kawasan persekitaran dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

CAP percaya selain tanah perkuburan dan enam buah rumah di kampung tersebut telah terkesan dengan kejadian ini dan berada dalam keadaan tidak selamat mungkin tanah pertanian yang menghasilkan sumber pendapatan kepada penduduk di sini juga akan turut terancam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Roslan Mohd Akhir, penduduk yang terlibat telah membuat aduan mengenai masalah ini kepada pihak berkenaan tetapi tidak ada tindakan yang diambil.

Justeru, CAP meminta JPS dan Pejabat Daerah Baling menjalankan siasatan dan kajian menyeluruh punca berlakunya masalah hakisan tebing sungai di kampung itu.

Selain mendedahkan hasil siasatan dan kajian tersebut kepada umum, bantuan juga perlu disalurkan jika terdapat sebarang kerosakan harta benda yang melibatkan penduduk kampung terbabit.

Mohideen Abdul Kader Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow