Baru-baru ini saya diundang untuk menyertai “Jakarta Content Week 2021, To Gather Again!”.
Sebuah acara seni anjuran Yayasan 17000 Pulau Imaji dan Frankfurter Buchmesse (Pesta Buku Frankfurt).
Acara bual-bual ini dikendalikan Andreas Harsono, penggiat Hak Asasi Manusia terkemuka di Indonesia.
Ikut serta dalam program yang dinamai “Tyranny of Majority” itu adalah Ma Thida, pengarang dari Myanmar; dan Feby Indirani, seorang novelis berpangkalan di Jakarta.
Acara ini adalah bahagian dari LitFest, sebuah pesta sastera antarabangsa yang memberikan tumpuan terhadap rantau Asia Pasifik, dengan perhatian hubungan sastera dan layar perak.
Pokoknya perbualan kami adalah mengenai tirani, khusus keadaan di negara masing-masing.
Ada banyak persoalan sukar yang ikut disinggung dan kami para pembicara berusaha memberikan kefahaman kepada pemerhati apa yang menimpa masyarakat kami.
Feby Indirani, seorang Sunni menulis mengenai penindasan yang dihadapi oleh komuniti Ahmadiyah di Indonesia.
Saya pula dalam situasi yang sama, banyak membelakan minoriti agama dalam Islam, termasuk Syiah dan Ahmadiyyah.
Ma Thida, atau nama penanya Suragamika, dari Myanmar pernah dipenjara antara tahun 1993 ke 1999, menentang junta tentera.
Beliau masih melawan, meski dari luar.
Sejujurnya saya belum pernah membaca tulisan Feby, dan Ma Thida.
Untuk membela diri sendiri, saya melakukan PhD mengenai sastera Indonesia dengan tumpuan produk Sastra Islam seperti karya arwah Kuntowijoyo.
Saya juga punya ramai teman-teman pengarang, malah guru dari Indonesia.
Di/dari Myanmar, penyair Ko Ko Thett adalah teman seperjuangan saya sejak usia kami awal 20-an.
Jadinya saya memang cuba menjambatani pengarang dan seniman dari negara jiran.
Pun, dalam keterhadan usaha saya mengenali seniman dari negara jiran, saya harus akur; masih ada karya penting dari negara-negara rantau ini yang keciciran.
Mengapa kita masih belum mengenal sastera dan seni negara sebelah?
Maksud saya dalam lingkungan Asia Tenggara.
Saya tidak akan membocorkan intipati perbualan kami yang dirakam untuk Jakarta Content Week itu.
Nanti, akan ada hebahan bila ia bakal disiarkan secara dalam talian.
Pun, ada satu hal yang menarik disebutkan oleh Pak Andreas ketika kami menutup acara tersebut.
Saya ingin menjawab persoalan mengapa gamaknya kita masih tidak dapat mengenal kerja seni kawan-kawan dari negara lain.
Dalam konteks kami, pengarang sastera yang terlibat dalam kegiatan hak asasi manusia pun kami masih belum benar-benar mengetahui kerja masing-masing.
Itu sangatlah menyedihkan tentunya. Padahal kami melawan momok yang sama: Tirani.
Pak Andreas memetik kata-kata mendiang Profesor Benedict Anderson yang melihat rantau Asia Tenggara ini sebagai wilayah paling bergelora sekali di dunia.
Profesor Anderson, nama besar, menyatakan rantau ini menawarkan keberanekaan konflik dan keganasan ekoran tiga faktor.
Pertama, rantau ini menampung kepelbagaian bahasa-tulisan yang berbeza dan cukup beragam.
Untuk itu sukar untuk benar-benar mengenal satu sama lain.
Ini berbeza dengan benua Eropah misalnya, yang meskipun terdapat perbezaan yang nyata, masih berkongsi akar tradisi Judeo-Christian.
Perbezaan antara bahasa di benua tersebut juga dirapatkan oleh kerapatan hubungan ekoran kelonggaran sempadan politik dan budaya.
Ini tidak berlaku di Asia Tenggara.
Perbezaan bahasa dan tulisan di Malaysia-Indonesia dengan Thailand dan negara Indo-China misalnya terlalu ketara.
Kedua, rantau ini menampung semua agama terbesar di dunia.
Asia Tenggara menawarkan Kristian versi Filipina, juga Islam versi Indonesia, dan tentu Islam acuan Malaysia; diikuti tradisi Buddha dan Hindu di Thailand, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan Laos.
Identiti bahasa-budaya dan agama ini begitu rencam sehingga memisahkan kita dengan negara jiran.
Keterasingan ini menjadi lebih sengit apabila masing-masing punya arus kemajuan yang dikejar sendiri-sendiri.
Ketiga, identiti di atas menjadi lebih menjolok mata apabila sejarah yang membentuk sosio-politik dan iklim budaya masing-masing ini diwarnai oleh sejarah yang juga amat berbeza.
Indonesia misalnya dijajah Belanda, kita diduduki Inggeris.
Apabila merdeka, kita memburu mimpi berbeza.
Ada keganasan yang dirasai dan dikecapi juga dengan cara berlainan.
Negara jiran yang lebih kecil seperti Singapura, Brunei, atau Timor Leste sendiri ada sejarah yang demikian sengit jauhnya; apatah lagi jika kita merenung nasib Filipina di bawah Sepanyol dan Amerika Syarikat; dan kemudian apa yang menimpa Kemboja, Vietnam dan Laos.
Semua laluan dan simpang-siur sejarah ini memaut dan menarik gelombang kemodenan dan tafsiran hidup yang begitu “lain”.
Ini membuatkan kita benar-benar sukar mengerti antara satu sama lain.
Entiti Asean yang dibangunkan oleh negara-negara anggota belum cukup kental seperti Kesatuan Eropah.
Makanya, tidaklah menghairankan kita belum cukup mesra antara satu sama lain, waima ada anugerah SEA Write yang entah dikurniakan kepada siapa dalam zaman pandemik ini.
Kejauhan antara satu sama lain difahami tentulah turut menimpa dunia pengarang.
Akan tetapi, pengarang yang berkecimpung dalam gerakan hak asasi manusia seperti kami barangkali lebih bernasib baik kerana ada satu tanda memautkan kami.
Iaitu perlawanan dan tanggungjawab, serta keinginan untuk berperanan sebagai pengimbang naratif sedia ada.
Atas alasan itulah perbualan kami menjadi rancak dan ligat.
Setiap kami menawarkan konteks negara masing-masing.
Masalah identiti yang dihadapi, solusi yang mungkin, dan juga bagaimana kesusasteraan boleh menjadi agama dan pengarang itu sebagai “nabi sekular”.
Rantau Asia Tenggara menawarkan kekayaan yang menggiurkan jika pengarang-pengarang senasib boleh berpadu tenaga dan bergerak bersama-sama sebagai gerakan.
Pengarang Amerika Latin misalnya pernah duduk sebahtera merajut impian besar agar elitis sastera dunia memandang mereka.
Memang itu serasa mustahil dilakukan oleh penyair, sasterawan dan seniman rantau ini.
Itu kerana tiga faktor yang digariskan oleh Profesor Anderson tersebut.
Pak Andreas pula menghujahkan rantau ini belum cukup menderita untuk dipandang.
Oleh sebab keterpisahan itu yang menjadikan rantau ini unik, keterpisahan ini juga mungkin dapat menjadi kekuatan yang membara.
Meskipun berbeza, sedar tidak sedar, limpahan rakyat dan warga sesama kita di rantau ini semakin mengalir.
Seberang menyeberang antara warga Indonesia dan Malaysia (sejak berzaman), juga keberadaan migran ekonomi dari Vietnam, Myanmar dan Kemboja di Kuala Lumpur.
Atau hubungan orang Filipina dan Malaysia yang juga tidak kita sedari makin merapat (jangan pandang Sabah saja).
Semua ini boleh disepadukan menjadi tenaga gerakan seni, ya jika setiap kita benar-benar mahu.
Apatah lagi dalam era ada media sosial.
Ia boleh jadi saja berlaku.
Tahun-tahun 1970-an misalnya, ada banyak karya sesama kita berlegaran untuk saling mengenal.
Karya sastera agung Filipina, Noli Me Tangere misalnya diterjemah oleh Tjetje Jusuf diterbitkan di Jakarta dan dijadikan teks sekolah di Malaysia.
Demikian juga karya Indonesia, ketika orang Indonesia sama sekali tidak mengenal siapa Pramoedya Ananta Toer, Malaysia dengan selamba membaca Keluarga Gerilya di sekolah.
Ia boleh terjadi sekali lagi, aliran sastera yang deras itu.
Tapi ya, asalkan karyanya betul.