- Iklan -
Kolum

Ejekan politik yang memakan diri

Siapa lagi tak kenal arak Timah ini, walaupun namanya ditukar selepas ini?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Taktik politik yang usang tapi berkesan sepanjang zaman ialah mengejek.

Mengejek boleh mensensasikan isu. Isu pula diperbesarkan oleh media harian bergantung pada kiblat politik mereka.

Mereka yang diejek dipaksa memberikan reaksi.

Bergantung pada kebijaksanaan reaksi itu, ia boleh merugikan diri sendiri atau merugikan pihak yang diejek, atau mungkin menguntungkan sesetengah pihak dan merugikan sesetengah pihak yang tidak kena-mengena dengan ejekan terbabit.

Tiada sesiapa yang mengenali arak Timah.

Bahkan, komuniti bukan Islam majoritinya tidak mengenali arak Timah.

Arak Timah mula muncul di media apabila media melaporkan kejayaan arak buatan Malaysia itu memenangi anugerah antarabangsa.

Tiba-tiba muncul pihak pembangkang yang menggunakan nama arak Timah ini untuk menyerang kerajaan dan PAS dengan ejekan politik, kononnya ini adalah kejayaan kerajaan hari ini yang mana parti Islam itu menganggotainya menghasilkan nama arak berbahasa Melayu.

Isu ini digoreng, ditambah cili api dan disimbah minyak sehingga menjadi satu isu sensasi dalam semua laporan media.

Wartawan-wartawan pula diarah mendapatkan respons pihak kerajaan, terutamanya PAS.

Kerana isu ini menjadi panas, mereka terpaksa memberikan reaksi terhadap ejekan politik pihak pembangkang ini kerana ia menyentuh kesensitifan penyokong kerajaan dan PAS, yang rata-rata adalah golongan yang anti-arak.

Dan reaksi kerajaan dan PAS sudah tentunya tidak disukai oleh sesetengah golongan, terutamanya golongan pro-arak dan golongan yang mendakwa mereka sederhana.

Ketika itu, datanglah kritikan bertalu-talu di laman media pro-pembangkang terhadap reaksi kerajaan dan PAS di dalam isu arak Timah ini, menjadikan isu ini lebih sensasi.

Akhirnya, ejekan politik pembangkang akhirnya mengundang reaksi kerajaan dan PAS yang berjaya mententeramkan penyokong mereka, tapi mengusarkan penyokong pembangkang sendiri apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa syarikat pengeluar arak jenama “Timah” mempertimbangkan untuk menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka.

Masa ini akan muncullah pihak-pihak pembangkang yang cuba mencipta persepsi bagi mengalih persepsi.

Contohnya ada ahli Parlimen pembangkang yang sengaja membuat serangan terhadap menteri PAS yang menyentuh isu arak Timah, tapi kononnya beliau fokus terhadap isu arak Timah sehingga tidak melakukan tugasan kementerian sendiri.

Situasi ini yang dihadapi Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man, yang diserang ahli parlimen DAP Teresa Kok kerana menyentuh isu arak Timah selaku timbalan presiden PAS ketika merasmikan muktamar Pemuda Sabtu lalu.

Media pro-pembangkang pula akan membantu mensensasikan serangan ini kerana pihak kerajaan dan PAS sudah berjaya menangkis serangan isu arak Timah.

Namun, serangan dan persepsi sedemikian hanyalah untuk menyedapkan hati penyokong pembangkang yang terguris kerana isu arak Timah yang memakan diri.

Mereka barangkali terlupa Tuan Ibrahim adalah pemimpin PAS pertama yang cuba meredakan isu arak Timah yang dicipta ini, dengan menyatakan nama Timah itu adalah logam.

Serangan itu amat tumpul dan sebaliknya, hanya akan mengukuhkan sokongan penyokong kerajaan dan PAS terhadap Tuan Ibrahim.

Hanya dengan menyemak Facebook Tuan Ibrahim sudah pasti ramai mengetahui serangan persepsi itu jauh tersasar.

Begitulah satu contoh strategi ejekan politik, yang termakan diri tuan punya badan sendiri.

Silap siapa?

Mereka yang mencipta isu ini atau mereka yang terpaksa memberikan reaksi terhadap isu ini?

Pandai-pandailah membuat tafsiran sendiri.

Siapa lagi tak kenal arak Timah ini, walaupun namanya ditukar selepas ini?

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.